Pakar Ekonomi Jangka Kadar Dividen KWSP Lebih Baik Pada 2023

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka akan mengagihkan kadar dividen lebih tinggi bagi 2023 sekiranya keadaan pasaran terus positif atau bertambah baik pada separuh kedua 2023, kata pakar ekonomi.

 Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata KWSP telah menunjukkan kecekapan dalam menjana pendapatan pelaburan melalui strategi pelaburan berhemat.

“Pengurusan portfolio aktifnya telah membuahkan hasil yang wajar dan terus berpandukan kepada peruntukan aset strategik (SAA),” katanya kepada Bernama.

Bagi separuh pertama tahun ini, KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM33.19 bilion, peningkatan sebanyak RM9.44 bilion berbanding RM23.75 bilion pada tempoh yang sama pada 2022.

Jumlah itu selepas mengambil kira penurunan nilai ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk tempoh dalam kajian dan daripada RM33.19 bilion jumlah pendapatan pelaburan, RM4.79 bilion dijana daripada ‘mark-to-market’ (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan.

Keuntungan MTM kebanyakannya disebabkan oleh turun naik kadar pertukaran asing.

Profesor Ekonomi Malaysia University of Science and Technology (MUST) Geoffrey Williams berkata keputusan separuh pertama 2023 KWSP adalah sangat kukuh, gabungan pengurusan mantap, hasil pulangan permodalan pantas dan beberapa pelarasan teknikal yang berkesan.

“Walaupun prestasi separuh kedua 2023 adalah sejajar dengan tahun lepas, pulangan keseluruhan harus lebih kukuh. Justeru, prospek dividen kelihatan positif dan ia diunjurkan lebih baik daripada 5.35 peratus pada 2022,” katanya.

KWSP merekodkan ahli aktif yang tinggi, pemulihan ekonomi berada pada landasan betul

KWSP mencatatkan 8.47 juta ahli aktif, paras tertinggi setakat separuh pertama 2023, ia menunjukkan pemulihan ekonomi berada di landasan yang betul dengan lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai pekerjaan, kata Mohd Afzanizam.

“Ini dicerminkan dalam penurunan kadar pengangguran daripada 3.6 peratus pada Januari 2023 kepada 3.4 peratus pada Jun 2023. Ia turut menunjukkan lebih ramai rakyat Malaysia menerima pendapatan tetap daripada pekerjaan mereka yang kemudian diterjemahkan kepada sumbangan yang lebih tinggi daripada ahli,” katanya.

Sementara itu, Williams berkata peningkatan ahli aktif adalah disebabkan oleh orang ramai yang cuba mengaktifkan semula akaun mereka selepas pengeluaran dan juga disebabkan langkah KWSP dalam meningkatkan kesedaran mengenai krisis persaraan.

“KWSP juga merupakan salah satu pelaburan terbaik dengan pulangan tetap antara 5.0 peratus dan 6.0 peratus berbanding deposit tetap pada hampir 3.0 peratus. Ia juga meluaskan produk dan perkhidmatannya kepada ahli dan aplikasi dalam talian baharunya membantu ahli menjejaki pelaburan mereka dengan lebih aktif,” katanya.

Skim persaraan bukan caruman dengan Malaysian Superfund baharu

Pada separuh pertama 2023, KWSP mencatatkan pertumbuhan 36 peratus dalam pencarum sukarela kepada 535,307 daripada 393,966 setahun yang lepas, jumlah caruman terkumpul ialah RM3.93 bilion, meningkat 46 peratus daripada RM2.70 bilion terkumpul dalam tempoh yang sama setahun lepas.

KWSP juga sedang aktif menghubungi majikan untuk menggalakkan mereka mempertimbangkan untuk mencarum lebih daripada 12 peratus, atau 13 peratus untuk pekerja yang berpendapatan RM5,000 sebulan atau ke bawah.

Williams berkata kerajaan harus mempertimbangkan skim persaraan bukan caruman dengan Malaysian Superfund baharu, ia boleh dikendalikan oleh KWSP memandangkan rekod prestasi mereka yang sangat kukuh dan berjaya.

“Pendekatan kepada majikan adalah berniat baik tetapi mungkin ia tidak mendapat perhatian serius. Majikan tidak mahu menaikkan caruman KWSP mereka terutamanya apabila kos gaji mereka akan meningkat disebabkan tahap minimum dan gaji progresif yang akan dilaksanakan pada masa depan,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata kempen sebegini akan menggalakkan celik kewangan yang lebih baik, satu langkah positif yang boleh membantu ahli untuk mengharungi kesulitan sekiranya berlaku pada masa hadapan.

“Oleh itu, kita tidak seharusnya menggunakan strategi yang berat sebelah. Saya tidak pasti mewajibkannya akan menyelesaikan masalah. Isu asas adalah berhemat dalam pengurusan kewangan dan menyedari ancaman yang berpotensi wujud daripada penipuan kewangan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

KWSP Suami Meninggal: Boleh Isteri Tuntut Sebagai Harta Sepencarian?

Selama ini, apabila seorang suami meninggal dunia, ramai mungkin menganggap wang KWSP yang ditinggalkan akan terus menjadi harta pusaka dan dibahagikan kepada waris mengikut faraid.

Namun, perkembangan hukum dan keputusan Mahkamah Syariah menunjukkan perkara ini sebenarnya lebih kompleks.

Pada September 2025, Muzakarah Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-128 memutuskan bahawa tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP oleh ahli beragama Islam adalah diharuskan, tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan ini membawa satu implikasi penting kepada pasangan yang berkahwin.

Wang KWSP tidak semestinya keseluruhannya menjadi harta pusaka untuk difaraidkan.

Sekiranya Mahkamah Syariah memutuskan sebahagian wang tersebut merupakan hak harta sepencarian pasangan, bahagian itu akan diberikan kepada pasangan terlebih dahulu. Bahagian yang diperintahkan sebagai harta sepencarian tersebut pula tidak dikira sebagai harta pusaka pencarum dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid.

Tetapi sebenarnya, isu ini bukan bermula pada 2025

Menariknya, beberapa negeri sudah mempunyai perkembangan berkaitan isu ini sebelum keputusan Muzakarah Kebangsaan tersebut.

Kelantan: kes KWSP sebagai harta sepencarian sejak 2000-an

Antara kes yang sering dirujuk ialah Norhayati binti Yusoff lwn Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kes tersebut, wang KWSP suami menjadi antara aset yang dituntut sebagai harta sepencarian.

Mahkamah mengiktiraf konsep sumbangan tidak langsung isteri. Walaupun isteri mungkin tidak membuat caruman KWSP secara langsung, sumbangan kepada rumah tangga boleh menjadi faktor dalam menentukan hak harta sepencarian.

Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa persoalan harta sepencarian bukan semata-mata tentang siapa yang memasukkan duit ke dalam akaun.

Sumbangan pasangan kepada rumah tangga juga boleh mempunyai nilai dari sudut undang-undang Syariah.

Selangor pula mempunyai pendirian yang jelas

Dalam panduan Jabatan Mufti Selangor pada 2020 berkaitan wang KWSP selepas kematian suami, dinyatakan bahawa isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian sepanjang tempoh perkahwinan dengan arwah suami sebelum lebihan harta tersebut dibahagikan mengikut faraid.

Kemudian pada 2023, Selangor mempunyai fatwa khusus berkaitan harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan. Rujuk Fatwa Tentang Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor.

Ini menunjukkan konsep tuntutan harta sepencarian selepas kematian bukan sesuatu yang hanya muncul selepas keputusan MKI pada 2025.

Johor: daripada pendirian lama kepada pendekatan baharu

Pendirian terdahulu di Johor menyatakan wang KWSP pencarum yang meninggal dunia merupakan harta pusaka dan tidak boleh dianggap sebagai harta sepencarian. Fatwa Johor yang lebih lama, dikeluarkan pada 2013, menyatakan:

“Apabila pencarum KWSP meninggal, wang KWSP ialah harta pusaka dan perlu difaraidkan; ia tidak boleh dijadikan harta sepencarian.

Namun, selepas keputusan MKI 2025, Johor mengambil pendekatan baharu yang membenarkan tuntutan harta sepencarian terhadap wang KWSP bagi ahli beragama Islam yang layak, tertakluk kepada keputusan Mahkamah Syariah. Rujuk Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor.

Perubahan ini menunjukkan bagaimana pendirian berkaitan KWSP dan harta sepencarian boleh berkembang mengikut keputusan hukum dan kerangka undang-undang semasa.

NegeriKedudukan yang ditemuiTahun / status
KelantanAda kes Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan tuntutan terhadap KWSP sebagai harta sepencarian; turut ada fatwa berkaitan tuntutan harta sepencarian selepas kematianKes 2006; Fatwa Negeri 2002
SelangorSecara rasmi mengiktiraf bahawa selepas kematian salah satu pihak, pasangan boleh menuntut harta sepencarian. Soal jawab Mufti Selangor juga secara jelas menyebut isteri boleh menuntut harta sepencarian terhadap KWSP arwah sebelum baki difaraidkanFatwa 2023; panduan 2020
JohorDahulu berpendirian sebaliknya: KWSP ialah harta pusaka dan tidak boleh dijadikan harta sepencarian. Tetapi pada 2026, Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengeluarkan keputusan baharu yang membenarkan tuntutan KWSP sebagai harta sepencarian, selaras dengan MKI 20252013 → berubah 2026
SarawakPernah memutuskan wang caruman KWSP tidak boleh dianggap harta sepencarian, sebaliknya harta pusaka yang difaraidkanKeputusan terdahulu

Jadi, apa maksudnya kepada pasangan?

Kita ambil contoh mudah.

Katakan seorang suami meninggal dunia dan meninggalkan RM500,000 dalam KWSP.

Isteri membuat tuntutan harta sepencarian.

Jika Mahkamah Syariah selepas mempertimbangkan tuntutan tersebut memutuskan bahawa RM150,000 adalah hak harta sepencarian isteri, maka RM150,000 itu bukan lagi sebahagian daripada harta pusaka suami untuk difaraidkan.

Baki RM350,000 pula barulah menjadi sebahagian daripada harta pusaka, tertakluk kepada proses pengurusan pusaka dan pembahagian mengikut faraid.

Jadi bukan bermaksud:

“Isteri automatik dapat separuh KWSP.”

Tidak.

Yang betul ialah:

“Isteri yang layak boleh membuat tuntutan, dan jumlah yang menjadi harta sepencarian bergantung kepada keputusan Mahkamah Syariah.”

Kenapa perkara ini penting untuk perancangan pusaka?

Sebab ramai orang melihat KWSP hanya daripada sudut simpanan persaraan.

Tetapi apabila berlaku kematian, ia menjadi sebahagian daripada proses pengurusan harta si mati.

Dalam konteks pasangan Islam, terdapat beberapa perkara yang perlu dibezakan:

Pertama, harta sepencarian.

Ini ialah tuntutan pasangan terhadap harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan, tertakluk kepada undang-undang dan keputusan Mahkamah Syariah.

Kedua, harta pusaka.

Selepas hak-hak yang berkaitan seperti harta sepencarian ditentukan, baki harta si mati boleh menjadi harta pusaka.

Ketiga, faraid.

Baki harta pusaka kemudiannya dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.

Sebab itu seseorang tidak boleh terus melihat angka KWSP dan berkata:

“Ini semua akan difaraidkan.”

Ia bergantung kepada keadaan dan, bagi tuntutan harta sepencarian, keputusan Mahkamah Syariah.

Namun, jangan salah faham

Keputusan MKI 2025 bukan bermaksud setiap isteri automatik mendapat sebahagian daripada KWSP suami.

Ia hanya membuka ruang bahawa tuntutan tersebut diharuskan.

Tuntutan masih perlu dibuat dan dipertimbangkan oleh Mahkamah Syariah.

Jumlahnya juga tidak semestinya 50:50.

Mahkamah boleh melihat kepada pelbagai faktor dan bukti berkaitan sumbangan pasangan serta keadaan harta yang dituntut.

Satu lagi perkara penting ialah status keputusan hukum tersebut di setiap negeri. Keputusan Muzakarah MKI perlu dilihat bersama peruntukan dan proses undang-undang Syariah negeri masing-masing.

Daripada “siapa dapat KWSP?” kepada “apa hak setiap pihak?”

Ini sebenarnya perubahan cara kita melihat perancangan pusaka.

Bila seorang suami meninggal dunia, persoalannya bukan semata-mata:

“Berapa banyak isteri dapat?”

Tetapi:

“Apakah hak isteri sebagai pasangan? Apakah yang menjadi harta sepencarian? Apakah yang benar-benar menjadi harta pusaka? Dan siapa yang berhak menerima baki tersebut melalui faraid?”

Perbezaan ini nampak kecil, tetapi dari sudut nilai harta, ia boleh menjadi sangat besar.

Lebih-lebih lagi bagi keluarga yang mempunyai simpanan KWSP jutaan ringgit.

Maka, bagi pasangan yang beragama Islam, memahami kedudukan harta sepencarian dan faraid semasa masih hidup jauh lebih baik daripada cuba memahami semuanya selepas berlaku kematian.

KWSP bukan sekadar soal berapa banyak kita berjaya kumpul. Kita juga perlu tahu bagaimana wang itu akan diurus apabila kita sudah tiada.

Penafian: Artikel ini bertujuan memberikan maklumat umum dan bukan nasihat undang-undang, fatwa atau nasihat kewangan. Kedudukan harta sepencarian, tuntutan wang KWSP dan proses pembahagian harta pusaka boleh berbeza mengikut negeri, fakta kes dan keputusan Mahkamah Syariah. Pembaca disarankan mendapatkan nasihat daripada peguam syarie, pihak berkuasa agama negeri atau pihak yang berkelayakan sebelum membuat sebarang tuntutan atau keputusan berkaitan harta pusaka.