MDEC Tekankan Tiga Bidang Penting Dalam Fokus Ekonomi Digital Islam

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) — Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) akan memberi  penekanan kepada tiga bidang penting dalam fokus Ekonomi Digital Islam (IDE) iaitu kewangan Islam, halal dan gaya hidup.

Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata ini telah dirancang dengan strategik untuk memudahkan ekosistem tersebut berkembang maju.

Menurutnya peranan MDEC dalam memacu inisiatif IDE ini meliputi pelbagai aspek dan agensi ini komited untuk menyokong syarikat-syarikat IDE dengan menyediakan ekosistem yang komprehensif dari segi bimbingan, pembiayaan, padanan perniagaan dan akses pasaran.

“Kami sedang menjalinkan usaha yang menggalakkan kerjasama dan perkongsian efektif antara bekalan, permintaan dan pengupaya,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada Persidangan Industri IDE 2023 di sini hari ini.

Syed Ibrahim berkata persidangan hari ini berperanan sebagai satu platform yang bukan sahaja membincangkan potensi dan meningkatkan lagi hala tuju bidang IDE, malah, untuk memeterai memorandum persefahaman yang akan menjadi asas kepada usaha kerjasama yang selanjutnya.

“Ini hanyalah langkah pertama dalam melaksanakan projek perintis yang diharapkan mewujudkan pembuktian konsep yang berjaya supaya boleh dikomersialkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata menerusi inisiatif seperti Malaysia Digital, MDEC komited untuk melahirkan ekosistem digital yang mendorong inovasi, memperkasa perniagaan dan membolehkan rangkuman digital.

“Kami sedang merangka Program Mangkin Malaysia Digital atau Pemangkin yang bertujuan memangkin dan mempercepat pertumbuhan dalam sektor ini.

“MDEC juga memainkan peranan sebagai penghubung antara industri Islam tradisional dan digital dengan bekerjasama erat dengan badan pensijilan halal, institusi kewangan Islam dan pihak berkepentingan lain untuk mengintegrasikan teknologi ke dalam proses pihak berkenaan, sekali gus meningkatkan kecekapan, ketelusan dan pematuhan. 

“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan kualiti perkhidmatan, malah turut memperkukuh ekosistem halal dan capaian terhadap kewangan Islam,” kata Syed Ibrahim.

Menurut laporan Horizon – Penerbitan Ekonomi Digital 2022 MDEC, ekonomi digital adalah antara tunjang ekonomi utama negara, menyumbang sebanyak 23.2 peratus atau RM348 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara pada 2021.

Sumbangan ini dijangka mencapai 25.5 peratus menjelang 2025 atau melebihi RM382 bilion.

Pada 2022, ekonomi digital terus menunjukkan momentum yang teguh dengan pelaburan digital langsung asing baharu dan pelaburan digital langsung domestik diluluskan, masing-masing bernilai RM42 bilion dan RM4.76 bilion. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Asia Barat Kembali Tegang, Tuntut Malaysia Tingkat Usaha Bendung Ketirisan

KUALA LUMPUR: Situasi antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang kembali tegang meningkatkan semula tekanan terhadap harga minyak serta kebimbangan berterusan terhadap rantaian bekalan dan kos sara hidup akan datang.

Penganalisis melihat kesan berpanjangan konflik akan terus memberi tekanan terhadap harga minyak, rantaian bekalan dan kos sara hidup, justeru Malaysia sebagai ekonomi terbuka yang bergantung kepada perdagangan, tenaga, import makanan tertentu dan rantaian bekalan antarabangsa kekal terdedah kepada gangguan luar.

Sehubungan itu, penganalisis berpendapat bahawa langkah sedia ada yang dilaksanakan kerajaan perlu diperkukuh dengan strategi jangka panjang yang bukan saja menangani kesan segera kenaikan kos, malah membina sistem ekonomi yang kurang bergantung kepada sumber luar.

Antara langkah utama yang dicadangkan ialah memperkemas pelaksanaan rasionalisasi subsidi supaya bantuan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan, khususnya ketika harga komoditi global terus tidak menentu.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mustazar Mansur, berkata pemberian subsidi bahan api perlu menggunakan pendekatan lebih bersasar berdasarkan keadaan kewangan sebenar rakyat, termasuk mengambil kira pendapatan boleh guna, jumlah tanggungan keluarga serta komitmen kewangan.

Beliau berkata, pendekatan itu dilihat dapat mengurangkan ketirisan apabila golongan berpendapatan tinggi tidak lagi menerima manfaat subsidi yang sama seperti kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana yang lebih terkesan dengan peningkatan kos kehidupan.

“Bagi saya, pemberian subsidi kena betul-betul bersasar. Elakkan kepada golongan maha kaya dan golongan yang berpendapatan tinggi dan mereka perlu membayar harga minyak pada harga tanpa subsidi.

“Penentuan golongan ini perlu berdasarkan kepada data atau sistem bersepadu yang mengikut pendapatan boleh guna atau pendapatan bersih selepas mengambil kira tanggungan anak-anak mereka di mana mereka berada, bekerja dan juga jumlah tanggungan dari segi liabiliti, hutang dan sebagainya,” katanya kepada BH.

Ketegangan di Asia Barat memuncak selepas serangan AS ke atas selatan Iran dan tindakan balas Tehran yang menyasarkan aset ketenteraan AS di beberapa lokasi di rantau Teluk.

Dilaporkan komando tertinggi tentera Iran mengumumkan penutupan penuh Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak dunia itu kepada semua kapal susulan serangan AS.

Pada sesi dagangan semalam, niaga hadapan Brent meningkat AS$1.48 atau 1.59 peratus kepada AS$94.58 setong pada 0243 GMT, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS meningkat AS$1.71 atau 1.90 peratus kepada AS$91.74.

Mengulas lanjut, Mustazar yang juga Timbalan Pengarah Eksekutif (Pengurusan Fasiliti dan Digital), Pusat Pengurusan Penjanaan UKM berkata, kerajaan disaran mempercepatkan peralihan kepada sumber tenaga alternatif seperti kenderaan elektrik (EV), tenaga solar serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Beliau berkata, langkah menyediakan insentif cukai, rebat atau kemudahan pembiayaan kepada rakyat yang beralih kepada penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) dilihat mampu mengurangkan kebergantungan kepada petrol dan diesel dalam tempoh panjang.

Katanya, selain membantu isi rumah mengawal perbelanjaan tenaga, peralihan itu juga dapat memperkukuh agenda kelestarian negara serta mengurangkan risiko kejutan harga minyak global terhadap ekonomi domestik.

“Penggunaan tenaga solar di rumah dan tempat kerja, selain penggalakan penggunaan pengangkutan awam, boleh menjadi antara pilihan praktikal untuk rakyat mengurangkan kos harian mereka,” katanya.

Bagi industri pula, Mustazar mencadangkan supaya kerajaan mengadakan rundingan bersama pemain industri bagi mencari sumber alternatif bahan mentah dari negara yang kurang terkesan akibat konflik geopolitik.

Beliau berkata, pendekatan meja bulat antara kerajaan dan industri boleh membantu mengenal pasti penyelesaian lebih cepat sebelum tekanan kos merebak kepada pengguna akhir.

Katanya, sektor industri dan perniagaan perlu diberi perhatian kerana peningkatan kos bahan mentah, logistik dan tenaga boleh memberi kesan besar kepada operasi syarikat.

“Sekiranya tekanan kos berterusan tanpa intervensi, syarikat mungkin terpaksa mengurangkan operasi bagi mengekalkan kelangsungan perniagaan, sekali gus memberi risiko kepada peluang pekerjaan rakyat,” katanya.

— Berita Harian