SC Teroka Penubuhan Bursa Sosial Islam Perkukuh Program ESG

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam usaha menubuhkan Bursa Sosial Islam bagi mengukuhkan program tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG), terutamanya untuk menyokong golongan miskin dan yang memerlukan.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata dengan senarai produk kewangan Syariah yang meluas dan komprehensif yang tersedia hari ini, tumpuan harus beralih ke arah menilai sejauh mana kesan dan keberkesanan saluran itu dalam merealisasikan matlamat kewangan Islam.

“Matlamat sedemikian termasuk membina ekonomi pemegang kepentingan yang menyokong keadilan dan menangani isu seperti kemiskinan dan keterangkuman kewangan.

“Dengan menilai kesan inisiatif kami, bukan sahaja kami dapat mengenal pasti jurang dan kawasan untuk penambahbaikan tetapi yang lebih penting, kami akan lebih sejajar dengan objektif Maqasid al-Syariah,” katanya dalam ucapan alu-aluannya pada persidangan Meja Bulat 2023 Pusat Pengajian Islam SC-Oxford ke-14 (OCIS) 2023 yang bertemakan “Melabur Ke Arah Kebaikan Bersama: Kesan, Pengawasan dan Pertimbangan Etika” di sini hari ini.

Awang Adek berkata SC merancang untuk melancarkan panduan berasaskan prinsip Maqasid al-Syariah sebelum akhir tahun untuk menyelaraskan inisiatif pasaran modal Islam mengikut piawaian Syariah.

 Beliau berkata SC juga akan mengeluarkan Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat 2021-2023 (CG Keutamaan Strategik) untuk mempromosikan ESG dan kepimpinan lembaga pengarah dalam syarikat yang tersenarai. 

“Ia (CG Keutamaan Strategik) menggariskan 11 inisiatif termasuk menggalakkan kesedaran, pembinaan kapasiti dan penglibatan, menyasarkan pengarah, pelabur dan belia,” katanya.

Awang Adek berkata SC juga telah mengemas kini Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCGG) untuk memasukkan amalan terbaik baharu dalam syarikat tersenarai apabila menangani risiko dan peluang ESG.

“Ini adalah untuk mewujudkan impak positif melalui kewangan Islam,” katanya.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

FCPO: Lantunan Melawan Arus Namun Trend Menurun Masih Berlangsung

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO mencatat lantunan melawan arus trend semalam apabila menaik MYR13 untuk ditutup pada paras MYR4,551. Komoditi ini membuka sesi dagangan pada paras lebih rendah iaitu sebanyak MYR4,534. Ia jatuh kepada paras terendah sesi hari itu sebanyak MYR4,528 sebelum minat pembelian yang kuat muncul, lalu membawanya kepada paras tertinggi berjumlah MYR4,580. Akhirnya, ia menutup dagangan berhampiran paras tertinggi berkenaan dan membentuk corak lilin menaik. Pergerakan harga yang positif ini dianggap sebagai lantunan yang melawan arus trend. RSI sekarang semakin meningkat, sekali gus menunjukkan momentum menaik kembali muncul.

Walaupun mengalami kenaikan harga, komoditi ini masih lagi berada di bawah garisan SMA 50 hari, yang mengesahkan bahawa struktur pasaran menurun dalam jangka sederhana masih kuat. Kami ramalkan tekanan jualan akan kembali menghampiri garisan SMA 50 hari sekiranya momentum menaik bertahan. Buat masa sekarang, kami tetap berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO melepasi paras MYR4,700.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei, iaitu MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi kekal kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan pertama sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840.