Kabinet Lulus Dasar Gaji Progresif, Butiran Akan Dibentangkan Dalam Belanjawan 2024 – Rafizi

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) — Dasar sistem gaji progresif telah diluluskan di peringkat Kabinet dan butirannya akan dibentangkan dalam Belanjawan 2024 pada Oktober ini.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata sistem itu dijangka akan dilaksanakan pada April atau Mei tahun depan, dan atas alasan itu dasar tersebut perlu dimasukkan dalam pembentangan Belanjawan 2024.

“Dasar ini telah diluluskan secara prinsip serta pendekatannya dan kemudian kami perlu melalui pelbagai proses termasuk melibatkan semua pihak berkepentingan dan tahap liputan untuk kumpulan tertentu.

“Seterusnya, kami akan menterjemahkannya kepada komitmen kewangan yang kerajaan perlu lakukan dan kami akan melalui proses belanjawan,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Program Kepimpinan Digital Eksekutif di sini hari ini. 

Beliau berkata kerajaan memberi lebih banyak tumpuan kepada pembangunan negeri dalam belanjawan tersebut sebagai usaha untuk merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri-negeri di Malaysia.  

“Kita ada tiga kategori, satu yang telah diberi keutamaan (Sarawak, Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis); kedua ialah negeri-negeri dengan pertumbuhan yang mempunyai kemajuan ekonomi sendiri tanpa banyak suntikan daripada Kerajaan Persekutuan (Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur); ketiga ialah negeri yang berada di tengah-tengah (Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka).

“Ini juga perubahan yang kita perhalusi kerana kita juga perlu berlaku adil kepada negeri-negeri tertentu seperti Perak, Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya. 

Belanjawan 2024 telah dijadualkan untuk dibentangkan di Parlimen pada 13 Okt.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Bank Dunia Turunkan Unjuran Pertumbuhan Global 2026 Kepada 2.5 Peratus

Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan global kepada 2.5 peratus bagi 2026 pada Khamis, daripada 2.9 peratus pada 2025, sekali gus mencatatkan kadar terendah sejak akhir 2019, lapor Agensi Berita Xinhua.

Laporan Prospek Ekonomi Global separuh tahun bank itu memetik faktor kenaikan harga tenaga, inflasi yang lebih tinggi dan peningkatan kos pinjaman di tengah-tengah konflik Asia Barat sebagai punca kepada pengurangan unjuran pertumbuhan berkenaan.

Laporan itu turut memberi amaran bahawa risiko kemerosotan adalah signifikan. Pertumbuhan global boleh terus menyederhana kepada 2.1 peratus jika gangguan bekalan tenaga berlarutan lebih lama dan harga minyak secara purata mencecah US$115 setong tahun ini, yang akan memacu inflasi kepada 4.4 peratus.

Laporan berkenaan menurunkan unjuran pertumbuhan bagi dua pertiga negara berbanding laporan Januari tahun ini, dengan negara-negara Teluk mencatatkan pengurangan paling besar daripada 3.9 peratus pada 2025 kepada hampir sifar pada 2026.

Asia Selatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan paling kukuh berbanding mana-mana wilayah lain pada kadar 6.3 peratus bagi tahun 2026, walaupun angka itu menunjukkan penurunan berbanding tujuh peratus pada 2025.

Selain itu, laporan berkenaan mengekalkan unjuran pertumbuhan sebanyak 2.2 peratus bagi ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada 2026, biarpun ia menarik perhatian bahawa angka terbabit boleh menyusut kepada 2.1 peratus pada 2027 dan dua peratus pada 2028.

Ekonomi di zon euro pula dijangka berkembang pada kadar 0.8 peratus pada 2026, turun daripada 1.4 peratus pada 2025. Bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun, ia diunjurkan berkembang 0.7 peratus pada 2026 berbanding 1.1 peratus pada 2025.

Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan global kembali meningkat kepada 2.8 peratus pada 2027, namun kadar itu kekal 0.4 mata peratusan di bawah purata yang direkodkan pada dekad 2010-an.

Walaupun risiko terus memihak kepada kemerosotan ekoran peningkatan permusuhan, gangguan pasaran komoditi dan ketegangan geopolitik yang bertambah, pihak bank menegaskan bahawa tindakan dasar adalah sangat kritikal.

Pada peringkat global, Bank Dunia menggesa negara-negara terbabit untuk melindungi keselamatan tenaga dan makanan serta memajukan peralihan tenaga. Bagi peringkat domestik pula, semua negara digesa mengawal inflasi, memperkukuh kemampanan fiskal dan menyokong pewujudan peluang pekerjaan.

–BERNAMA