
KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) — Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) memperkenalkan produk baharunya – Better White Clear White Sugar (Better White) ke pasaran, melengkapkan rangkaian produk gula berkualiti tinggi semasanya.
Dalam kenyataan, CSR memaklumkan bahawa Better White adalah hasil daripada proses penapisan yang meluas menawarkan produk lebih tulen dan menarik dari segi visual, di samping penampilan yang dipertingkatkan.
“Dengan kualiti premium dan penampilan yang dipertingkatkan, Better White sesuai untuk sebarang detik manis. Sama ada secawan kopi, pencuci mulut buatan sendiri atau minuman yang menyegarkan, gula premium ini meningkatkan rasa dan persembahan sebarang masakan.
“Khusus untuk industri bakeri, Better White akan menghasilkan produk bakeri yang lebih putih dan kelihatan lebih baik yang lebih menarik minat pengguna,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif CSR Mohamad Zuki Wan Abdullah berkata Better White merupakan satu lagi komitmen daripada syarikat untuk memenuhi jangkaan pengguna yang meningkat dan menawarkan kepada pasaran dengan produk gula yang lebih berkualiti dan pada harga berpatutan.
“Kami sentiasa berusaha untuk memastikan pengguna kami menikmati produk gula yang terbaik yang melengkapkan rasa makanan dan minuman mereka, serta pengalaman kulinari mereka,” katanya.
Better White boleh didapati oleh pengguna di seluruh negara pada harga RM3.85 untuk pek 800 gram (Malaysia Barat) dan RM4.05 (Malaysia Timur) mulai pertengahan Ogos ini.
Untuk maklumat lanjut mengenai Better White dan produk CSR lain, layari www.csr-malaysia.com.my.
— BERNAMA
TAG: Central Sugars Refinery, Better White, gula putih, Mohamad Zuki Wan Abdullah