Mydin Komited Kepada Pembinaan Negara Bangsa Sejak 1957

KUALA LUMPUR, 30 Ogos (Bernama) — Mydin Mohamed Holdings Bhd, nama untuk produk isi rumah dalam industri rantaian pemborongan dan peruncitan Malaysia, akan terus meningkatkan komitmennya terhadap pembinaan negara bangsa.

Pengarah Urusan Datuk Ameer Ali Mydin berkata, Mydin sering kali mengorbankan marginnya dan mengutamakan orang ramai berbanding meraih keuntungan bagi membantu membina hubungan jangka panjang dengan pelanggan, sekali gus membantu syarikat itu kekal berdaya tahan.

Berkecimpung dalam perniagaan sejak permulaannya yang sederhana pada Ogos 1957, beliau berkata syarikat itu telah menempuh banyak cabaran dalam perjalanannya, seperti krisis ekonomi pada 1998, bencana alam seperti banjir besar pada 2021 dan yang paling sukar ialah krisis pandemik Covid-19 pada tahun 2020.

Mengimbas kembali fasa sekatan pergerakan yang mencabar, beliau berkata adalah sukar untuk membayar sewa dan gaji pekerja apabila jualan syarikat berkurangan atau mencatatkan hasil yang lebih rendah, katanya.

“Kami banyak belajar melalui pandemik. Kami mula membincangkan cara untuk mengurangkan kos operasi dan mempelbagaikan kaedah jualan barangan di platform e-dagang untuk menarik lebih ramai pengguna dan mengukuhkan jenama Mydin,” katanya kepada Bernama.

Sokongan daripada kerajaan dan kesatuan perniagaan dari segi libat urus dan dialog juga membantu mengurangkan impak dan membina daya tahan untuk ke arah pemulihan.

Inisiatif Rahmah

Sebagai sebahagian daripada komitmen pembinaan negara bangsa, Ameer Ali berkata Mydin adalah perintis inisiatif Rahmah kerana ia menawarkan diri untuk memulakan Menu Rahmah selepas bekerjasama dengan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menjawat jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup ketika itu bagi membendung inflasi makanan dan membantu orang ramai berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi.

Menu Rahmah, yang menawarkan hidangan berharga RM5 dan ke bawah, mula dilancarkan di Pasar Raya Besar Mydin Subang Jaya pada 31 Jan, 2023.

“Masalahnya ialah sukar untuk membuat program makanan yang lebih murah, tetapi saya memberitahu Datuk Seri Salahuddin bahawa ia boleh dilakukan dan memberitahu beliau, mari kita cuba.

“Pada mulanya, banyak kedai makan bimbang keuntungan mereka akan tersepit kerana orang ramai mungkin memilih Menu Rahmah, tetapi selepas beroperasi selama dua atau tiga bulan, kami mendapati hanya 10 peratus hingga 15 peratus pelanggan memilih makanan yang lebih murah.

“Secara keseluruhannya, saya boleh katakan Menu Rahmah adalah mampan kerana peratusan mereka yang membeli makanan yang lebih murah tidak begitu tinggi, dan ia tidak menjejaskan perniagaan yang lain kerana mereka mengaut keuntungan daripada menu biasa yang lain,” katanya.

Inisiatif tersebut kemudiannya diteruskan dengan inisiatif Payung Rahmah, seperti Jualan Rahmah, Bakul Rahmah dan kempen ‘Kasih Sayang Ibu dan Si Manja’, bagi mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar.

Asalan

Beliau berkata perniagaan di bawah nama Mydin Mohamed Bros dimulakan oleh arwah bapanya, Mydin Mohamed Ghulam Hussein, yang berhijrah dari Pulau Pinang ke Kota Bharu, Kelantan.

Bapanya mula menjual pelbagai barangan di kaki lima dan dari sebuah kedai kayu kecil di Jalan Tok Hakim, Kota Bharu.

Abangnya, Datuk Murad Ali Mydin, mengembangkan perniagaan dengan membuka kedai kayu yang kedua di Kuala Terengganu pada 1979, katanya sambil menambah kedai itu akhirnya berkembang menjadi rangkaian pasar raya dengan nama Mydin.

Meneruskan legasi keluarga, Ameer Ali berkata beliau mengambil langkah untuk membawa perniagaan itu ke Kuala Lumpur dan membuka kedai di Jalan Masjid India pada 1989.

Disebabkan permintaan yang tinggi, Mydin kemudiannya membuat lonjakan besar dengan membuka pusat beli-belah dan pasar raya besar pertamanya di Subang Jaya, Selangor, pada 2006 dan pasar raya besar di Kota Bharu dikenali sebagai Mydin Tunjong pada 2022.

Pada masa ini, Mydin mempunyai 61 cawangan dengan hampir 7,000 pekerja di seluruh negara dan 130,000 unit penyimpanan stok, termasuk 100 jenama pengeluar peralatan tulen Mydin.

Prospek

Sempena sambutan Kemerdekaan negara, Ameer Ali berkata beliau optimis tentang perniagaan walaupun berdepan masalah ekonomi yang berlarutan seperti inflasi, kadar pertukaran yang lebih lemah dan kuasa beli yang semakin berkurangan.

“Kita telah melalui banyak halangan seperti sekatan dan larangan import produk berikutan perang Rusia-Ukraine, serta kelemahan ringgit berbanding dolar AS pada tahun ini.

Bagaimanapun, beliau menyifatkan ia adalah kejutan yang sementara.

Beliau menyuarakan harapan agar ekonomi Malaysia kekal stabil selepas pilihan raya negeri manakala kerajaan pula memberi tumpuan kepada membangunkan negara dan membawa lebih banyak pelaburan untuk memulihkan keyakinan pelabur.

“Pada tahun depan, Mydin merancang untuk mengguna pakai kecerdasan buatan (AI), analitik data dan penyelesaian teknologi perniagaan pintar untuk meningkatkan pengalaman pelanggan.

“Kami berhasrat untuk berkembang lagi dengan membuka cawangan baharu di Perlis menjelang akhir 2025 untuk menjana lebih banyak hasil dan pulangan,” katanya sambil menambah Mydin akan sentiasa menjadi jenama Malaysia yang boleh dibanggakan yang telah wujud sejak 1957.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Generali Malaysia Lancar Pelan Perlindungan Baharu untuk Keluarga Kurang Berkemampuan

Kuala Lumpur – Generali Malaysia, dengan kerjasama Amanah Raya Berhad (“AmanahRaya”), Pemegang Amanah Awam Tunggal di Malaysia, hari ini melancarkan Gen Sinar, pelan insurans kemalangan diri mampu milik yang direka untuk memperkasa keluarga kurang berkemampuan dengan perlindungan kewangan. Pelan ini bertujuan memastikan kesinambungan pendidikan anak-anak sekiranya penyara keluarga meninggal dunia atau mengalami hilang upaya kekal akibat kemalangan.

Majlis pelancaran yang dianjurkan oleh Generali Malaysia ini diadakan di Kompleks Komuniti Muhibbah dan dihadiri oleh AmanahRaya, wakil Kedutaan Itali di Malaysia, Persatuan Insurans Am Malaysia(PIAM), rakan UNDP, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin komuniti, ahli media dan masyarakat  tempatan

Gen Sinar dibangunkan berasaskan pemahaman terhadap cabaran dan aspirasi komuniti kurang berkemampuan yang sentiasa berusaha memastikan anak-anak mereka mendapat peluang pendidikan yang lebih baik. Walaupun keperluan asas harian terus menjadi keutamaan bagi kebanyakan keluarga, terutamanya keluarga dengan penyara tunggal, mereka juga memikirkan kestabilan kewangan jangka panjang dan situasi tidak dijangka yang boleh menjejaskan sumber pendapatan dan kesejahteraan keluarga

Di Malaysia, akses terhadap perlindungan kewangan yang mencukupi dan mampu milik bagi keluarga kurang berkemampuan masih terhad, sekali gus mewujudkan jurang perlindungan yang menyebabkan mereka lebih terdedah kepada risiko kewangan yang tidak dijangka. Menyedari cabaran ini, Gen Sinar diperkenalkan bagi membantu merapatkan jurang tersebut dengan menyokong kesinambungan pendidikan anak-anak dan memperkukuh daya tahan kewangan keluarga untuk masa hadapan.

“Gen Sinar bukan sekadar pelan insurans, malah satu inisiatif perlindungan sosial berteraskan matlamat yang dibangunkan berasaskan model bukan untung. Kami berkongsi aspirasi komuniti dan percaya bahawa pendidikan ialah kunci dalam memutuskan kitaran kemiskinan. Dengan menjadikan perlindungan lebih mudah diakses oleh keluarga yang kurang berkemampuan, kami berhasrat untuk memastikan anak-anak mereka dapat meneruskan pendidikan walaupun dalam keadaan yang sangat mencabar,” ujar Fabrice Benard, Ketua Pegawai Eksekutif Generali Insurance Malaysia Berhad.

Gen Sinar diwujudkan dengan matlamat untuk membantu melindungi masa hadapan kanak-kanak melalui sokongan pendidikan yang berterusan. Matlamat ini selaras dengan The Human Safety Net (THSN), sebuah gerakan global Generali yang komited untuk memperkasa komuniti rentan. Dengan bayaran serendah RM91.28 bagi tahun pertama dan RM59.40 bagi tahun-tahun berikutnya termasuk duti setem, kos penyerahan mutlak dan surat ikatan amanah serta cukai perkhidmatan 8%, Gen Sinar menyediakan sokongan kewangan yang praktikal bagi membantu keluarga yang berdepan situasi tidak dijangka. Sekiranya penyara keluarga meninggal dunia atau mengalami hilang upaya kekal akibat kemalangan, pelan ini menyediakan manfaat bayaran sekali gus sebanyak RM20,000 bagi membantu meringankan beban kewangan keluarga. Selain itu, setiap anak turut layak menerima elaun pendidikan bulanan sebanyak RM250 sehingga berumur 18 tahun, dengan jumlah manfaat keseluruhan sehingga RM100,000.       

Selain itu, Gen Sinar turut menawarkan manfaat rundingan teleperubatan percuma bagi isu kesihatan fizikal dan mental yang bertujuan membantu komuniti kurang berkemampuan mendapatkan akses awal kepada nasihat perubatan. Melalui kemudahan ini, peserta dan ahli keluarga mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada pengamal perubatan yang berkelayakan menerusi panggilan telefon atau video. Kemudahan ini menyediakan sehingga dua sesi rundingan setahun dengan nilai manfaat sehingga RM60 bagi setiap sesi, sekali gus membantu memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih mudah dan mampu milik.

Semua manfaat pendidikan di bawah Gen Sinar diuruskan oleh AmanahRaya selaku Pemegang Amanah. Inisatif ini mencerminkan kerjasama erat antara Generali dan AmanahRaya yang dibina berlandaskan aspirasi bersama untuk memperkukuh kesejahteraan komuniti dan masa hadapan anak-anak. Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak komited untuk memastikan dana yang diperuntukkan dilindungi, diurus secara telus dan dipegang secara amanah bagi tujuan pendidikan anak-anak.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama bagi memastikan keluarga kurang berkemampuan tidak ketinggalan dalam mendapatkanperlindungan kewangan dansokongan pendidikan untuk anak-anak mereka. Sebagai Pemegang Amanah Awam Tunggal di Malaysia, AmanahRaya memikul tanggungjawab yang lebih luas, bukan sahaja dalam melindungi kepentingan benefisiari, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan komuniti secara lebih menyeluruh. Melalui Gen Sinar, kami berharap dapat memberikan ketenangan fikiran kepada keluarga yang memerlukan, di samping memastikan dana yang diperuntukkan bagi pendidikan anak-anak dilindungi dan diurus dengan telus untuk manfaat masa hadapan  mereka,” ujar Jack Yap Ngee Heong, Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Perniagaan dan Operasi Kumpulan Amanah Raya Berhad.

Untuk maklumat lanjut mengenai Gen Sinar, sila layari https://www.generali.com.my/travel-personal-accident/gen-sinar-bm