Malaysia Perlu Belajar Dari China Untuk Lonjakkan Ekonomi – MITI

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) — Malaysia perlu belajar dari China untuk melonjakkan ekonominya, terutamanya dari segi inovasi teknologi dan pembuatan, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri  Liew Chin Tong.

Beliau berkata meskipun kelembapan ekonomi China menjejaskan sektor pembangunan dan pembinaan hartanah, sektor pembuatan dan teknologi negara itu masih mempamerkan prestasi yang sangat baik.

“Melonjakkan ekonomi bermakna anda tidak terus menghasilkan pada tahap yang sama. Anda mesti cuba meningkatkannya menerusi teknologi untuk menghasilkan dengan menggunakan automasi serta membuat perancangan digital.

“Kita perlu melakukannya dengan cara berbeza dan mencapainya pada tahap tertinggi dengan gaji tinggi, produktiviti tinggi dan pertumbuhan tinggi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan acara padanan bisnes perniagaan kepada perniagaan Malaysia-China Ke-5 bersempena dengan Ekspo China-Asean Ke-20 (CAEXPO) 2023, di sini, hari ini.

Liewa berkata rangka kerja Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini juga bertujuan untuk melonjakkan ekonomi Malaysia.

Mengenai CAEXPO 2023, beliau berkongsi bahawa Anwar akan menghadiri ekspo tersebut pada 17 Sept di Nanning, China, dan lawatan itu bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara serta sebagai persiapan bagi meraikan ulang tahun ke-50 hubungan Malaysia-China.

Sementara itu, pengarah kanan bahagian penggalakan eksport dan akses pasaran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Amran Yem dalam ucapannya berkata hubungan erat Malaysia dan China bukan sahaja memelihara malahan mendorong trajektori hubungan ekonomi yang kukuh dan dinamik antara kedua-dua negara.

“Ketika ini, hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan China berkembang dengan baik dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara pada 2022 berjumlah hampir RM500 bilion, meningkat 15.6 peratus berbanding 2021.

“Eksport Malaysia melepasi paras RM200 bilion buat pertama kali, berkembang sebanyak 9.4 peratus kepada RM211 bilion dan merupakan nilai tertinggi pernah direkodkan. Begitu juga, import merekodkan hampir RM300 bilion dengan pertumbuhan 20.7 peratus,” katanya.

Selepas hampir tiga tahun sempadan ditutup, tahun ini menandakan ulang tahun ke-20 CAEXPO dan begitu juga penyertaan Malaysia.

Sejak 2004, penyertaan Malaysia dalam CAEXPO telah berjaya membantu lebih daripada 2,000 syarikat dengan urusan perniagaan terkumpul berjumlah lebih US$1 bilion, katanya.

Banyak jenama Malaysia telah menyertainya dan malahan mengukuhkan kehadiran mereka di pasaran China melalui penyertaan mereka dalam CAEXPO dan ia menandakan ekspo tersebut sebagai platform penting bagi syarikat Malaysia untuk meneroka lebih jauh ke pasaran China yang amat besar, katanya.

Bagi CAEXPO tahun ini, Amran berkata, MATRADE sedang menyelaraskan sejumlah 107 syarikat Malaysia yang akan mempamerkan pelbagai rangkaian produk dan perkhidmatan bernilai tinggi mereka termasuk penjagaan kesihatan dan kesihatan, farmaseutikal, kosmetik dan peralatan mandian, minyak sawit sebagai biojisim, makanan dan minuman serta sektor perkhidmatan termasuk perakaunan, reka bentuk dalaman dan pendidikan.

“Bagi mesyuarat B2B tahun ini, ia dijangka menggunakan mod hibrid dengan sesi mesyuarat perniagaan maya bermula hari ini hingga 8 Sept 2023.

“Mesyuarat perniagaan fizikal akan diadakan dari 16 hingga 19 Sept sebagai susulan. Dijangkakan lebih 200 mesyuarat perniagaan akan diadakan untuk kedua-dua sesi fizikal dan maya,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Akta Sewa Beli Baharu Kukuh Hak Pengguna, Pembiayaan Lebih Telus

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang bermula bulan ini dilihat sebagai langkah penting untuk memperkukuh perlindungan pengguna, meningkatkan ketelusan pasaran pembiayaan serta memodenkan urusan sewa beli menerusi penggunaan teknologi digital.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata penguatkuasaan pindaan berkenaan memberi ruang kepada pengguna mengurangkan komitmen pinjaman sekiranya mereka membuat penyelesaian awal atau pembayaran tambahan terhadap pinjaman yang diambil.

Beliau berkata, penjimatan yang diperoleh bergantung kepada jumlah bayaran awal atau tambahan yang dibuat oleh pengguna sepanjang tempoh pembiayaan.

“Apabila penguatkuasaan ke atas pindaan Akta Sewa Beli bermula, ia akan memberi ruang kepada pengguna untuk mengurangkan komitmen pinjaman mereka jika mereka mengambil keputusan membuat penyelesaian awal atau pembayaran tambahan terhadap pinjaman.

“Penjimatan yang diperoleh bergantung kepada jumlah bayaran awal atau tambahan yang dibuat,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, pindaan berkenaan turut membantu pengguna membuat keputusan kewangan yang lebih memihak kepada kepentingan mereka, namun manfaat itu hanya dapat dimaksimumkan sekiranya pengguna mempunyai kefahaman dan literasi kewangan yang mencukupi.

Katanya, pengguna perlu memahami sepenuhnya perubahan yang diperkenalkan menerusi akta baharu itu supaya mereka dapat menilai pilihan pembiayaan dengan lebih tepat dan berkesan.

Beliau turut menjelaskan, pindaan yang membenarkan penggunaan dokumentasi serta tandatangan digital dalam urusan sewa beli akan memberikan manfaat daripada pelbagai sudut termasuk mempercepatkan proses transaksi dan meningkatkan tahap keselamatan.

“Transaksi dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan selamat selain membantu mengurangkan kos transaksi yang ditanggung oleh pengguna dan pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, dalam jangka panjang, pindaan berkenaan dijangka meningkatkan perlindungan kepada pengguna selain mendorong industri menawarkan perkhidmatan yang lebih mesra pelanggan serta kadar pembiayaan yang lebih kompetitif.

Sementara itu, Pengarah Pakar Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPP Wealth Managers Ltd, Mohd Sedek Jantan berkata, pindaan itu tidak semestinya menjamin penjimatan automatik kepada semua peminjam dari segi jumlah ansuran atau kadar pembiayaan yang ditawarkan.

Namun, beliau berkata, perubahan itu mewujudkan struktur pengiraan faedah yang lebih adil kerana ia mencerminkan kos pembiayaan sebenar yang ditanggung oleh pengguna melalui penggunaan kaedah baki berkurangan atau ‘reducing balance’.

“Di bawah kaedah lama, faedah dikira berdasarkan jumlah pinjaman asal sepanjang tempoh pembiayaan menyebabkan sebahagian besar bayaran pada tahun-tahun awal digunakan untuk membayar faedah.

“Sebaliknya, di bawah kaedah baki berkurangan, faedah hanya dikenakan ke atas baki prinsipal semasa. Oleh itu, setiap bayaran tambahan yang dibuat akan terus mengurangkan prinsipal dan seterusnya mengurangkan jumlah faedah yang perlu dibayar pada masa hadapan,” katanya.

Mohd Sedek berkata, sebagai contoh, pengguna yang mengambil pembiayaan kenderaan sebanyak RM100,000 bagi tempoh sembilan tahun dan membuat bayaran tambahan RM10,000 selepas lima tahun akan menikmati pengurangan baki prinsipal yang seterusnya mengurangkan caj faedah pada tahun-tahun berikutnya.

Katanya, kesan paling ketara akan dinikmati oleh pengguna yang mengamalkan disiplin kewangan yang baik termasuk membuat penyelesaian awal, bayaran tambahan secara berkala atau memilih tempoh pembiayaan yang lebih pendek.

Beliau menjelaskan, antara perkara paling penting yang perlu diberi perhatian oleh pengguna bukanlah kadar faedah yang kelihatan rendah, sebaliknya jumlah sebenar yang perlu dibayar sepanjang tempoh pinjaman.

Katanya, penggunaan kadar faedah efektif (EIR) dan kaedah baki berkurangan membolehkan pengguna melihat gambaran lebih jelas mengenai kos sebenar pembiayaan, sekali gus membantu mereka membuat keputusan berdasarkan kemampuan kewangan sebenar dan bukan sekadar tertumpu kepada jumlah ansuran bulanan.

“Ketelusan yang lebih tinggi membantu pengguna membuat keputusan yang lebih bermaklumat, mengelakkan komitmen hutang yang berlebihan dan menggalakkan amalan peminjaman yang lebih bertanggungjawab.

“Ini bukan sekadar soal formula pengiraan faedah, tetapi membantu rakyat memahami implikasi kewangan sesuatu pinjaman sebelum mereka membuat komitmen yang mungkin berlangsung sehingga tujuh atau sembilan tahun,” katanya.

— Berita Harian