Maybank Islamic, Lembaga Zakat Selangor Bekerjasama Tingkat Kutipan Dan Agihan Zakat

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) — Maybank Islamic Bhd dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah memeterai perjanjian kerjasama bagi memastikan kelancaran pelanggan membayar zakat selain memperkasa mereka untuk memberi impak sosial yang positif menerusi sumbangan masing-masing.

Perjanjian itu yang secara rasmi menyaksikan pelantikan Maybank Islamic sebagai bank operasi utama bagi LZS, dijangka dapat meningkatkan lagi sumbangan untuk program pembasmian kemiskinan dengan bank terbabit mengukuhkan usaha berkenaan menerusi saluran dalam taliannya.

“Menerusi kerjasama ini, kami menawarkan LZS dengan khidmat pengurusan tunai lebih cekap dan menyeluruh daripada kutipan zakat sehingga agihannya dengan memanfaatkan rangkaian perkhidmatan dan perbankan digital Maybank yang meluas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican.

LZS akan melaksanakan kutipan zakat tersebut menerusi pelbagai saluran kutipan seperti M2U, aplikasi dompet elektronik e-Maybank atau MAE, JomPay selain kad kredit dan debit manakala zakat yang diterima di kaunter pula dideposit melalui sistem jarak jauh di cawangan masing-masing.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata pada masa ini agensi terbabit menyediakan lebih daripada 10 kaedah untuk umat Islam di negeri itu menunaikan kewajipan membayar zakat.

“Kerjasama dengan Maybank Islamic ini hanya melengkapkan lagi kemudahan rangkaian perkhidmatan kami,” katanya.

Mohd Sabirin berkata sebagai platform saluran pembayaran, Maybank memainkan peranan dalam peningkatan kutipan zakat di Selangor, termasuk RM52.8 juta pada tahun lepas yang menyumbang 63 peratus daripada keseluruhan kutipan daripada platform saluran pembayaran institusi kewangan lain yang dilantik oleh LZS.

Pada tahun lepas, LZS meraih kutipan zakat tertinggi mencecah RM1.07 bilion serta mengagih RM1.05 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 350,000 individu asnaf.

Daripada jumlah tersebut, majoriti atau RM885 juta telah disalurkan kepada institusi sosial, pendidikan dan agama manakala lebih RM700 juta diperuntukkan bagi pembangunan sosial untuk komuniti asnaf di Selangor.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Wakaf: Cara ‘Pro’ Untuk Kurangkan Cukai Pendapatan

Bagi kebanyakan orang, musim e-Filing adalah musim kena keluarkan duit. Waktu inilah bermulanya episod memburu resit. Kita selongkar setiap laci dan emel, mencari segala resit buku, alatan sukan, SSPN, hinggalah ke caruman takaful semata-mata mahu memenuhkan setiap ruang pelepasan cukai yang ada. (situasi ini tidak lagi sesuai di zaman e-invois)

Persoalannya, adakah itu sahaja pelepasan cukai yang ada?

Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, membayar cukai adalah sumbangan kita untuk pembangunan negara. Namun, sebagai pembayar cukai yang bijak, kita pasti mahu memanfaatkan setiap insentif yang disediakan oleh kerajaan untuk mengoptimumkan aliran tunai kita.

Sebenarnya, kerajaan melalui Akta Cukai Pendapatan 1967 telah menyediakan satu instrumen yang sangat istimewa namun jarang dimanfaatkan sepenuhnya: iaitu Wakaf Tunai. Di bawah Subseksyen 44(11D), sumbangan wakaf bukan sekadar satu ibadah harta, malah ia adalah instrumen perancangan cukai (tax planning) yang sangat efektif.

1. Kenapa Wakaf Lebih “Padu” Daripada Pelepasan Cukai Biasa?

Kebanyakan pelepasan cukai (relief) ada had yang kecil (RM2,500 – RM3,000). Tapi Wakaf di bawah Subseksyen 44(11D) membolehkan anda menolak sehingga 10% daripada pendapatan agregat. Makin tinggi pendapatan, makin “berbisa” kesan potongan Wakaf ni berbanding pelepasan (relief) biasa yang ada had. Jika pendapatan setahun anda RM100,000, pelepasan gaya hidup tetap terhad pada RM2,500. Tetapi melalui Wakaf, anda boleh memotong sehingga RM10,000 terus daripada pendapatan anda.

  • Pelepasan biasa: Mengurangkan pendapatan selepas dikira untung (kesannya kecil).
  • Wakaf: Mengurangkan pendapatan agregat (kesannya besar!). Ia boleh merendahkan tax bracket anda ke tahap yang jauh lebih rendah.

2. Simulasi

Bila anda sedang mengisi e-Filing, cari bahagian bertajuk DERMA / HADIAH / SUMBANGAN.

Anda perlu cari ayat: “Hadiah wang dalam bentuk wakaf kepada pihak berkuasa agama / badan agama / universiti awam…”. Masukkan JUMLAH (RM) sumbangan wakaf yang sepanjang tahun tersebut (berdasarkan resit rasmi yang anda terima).

Katakan pendapatan tahunan anda adalah RM60,000.

Tanpa Wakaf (RM)Dengan Wakaf (RM)
Pendapatan Agregat60,00060,000
Sumbangan Wakaf0(6,000)
Baki Pendapatan Agregat60,00054,000
Tolak Pelepasan Diri/KWSP/Gaya Hidup(15,000)(15,000)
Pendapatan Bercukai (A)45,00039,000

Pengiraan Cukai

Sekarang kita kira cukai berdasarkan baki (A) tadi:

Kes 1: Tanpa Wakaf (RM45,000)

  • RM35,000 pertama = RM600
  • Baki RM10,000 seterusnya (x 6%) = RM600
  • JUMLAH CUKAI KENA BAYAR = RM1,200

Kes 2: Dengan Wakaf (RM39,000)

  • RM35,000 pertama = RM600
  • Baki RM4,000 seterusnya (x 6%) = RM240
  • JUMLAH CUKAI KENA BAYAR = RM840

Dengan berwakaf, cukai anda menjadi RM840 sahaja. Anda jimat RM360 dan pada masa yang sama, anda sudah ada RM6,000 pelaburan akhirat yang pahalanya mengalir sampai kiamat.

Kalau orang kata: “Aku bayar zakat pun dah cukup kot…”

“Betul bos, Zakat itu wajib. Dalam Islam, 2.5% daripada harta kita itu bukan milik kita. Ia adalah hak asnaf yang “menumpang” dalam harta kita. Jika kita tak bayar, kita seolah-olah “memegang” harta orang lain. Wakaf itu pula macam kita buat “simpanan tetap” (fixed deposit) yang bagi dividen pahala sampai kiamat. Kalau sedekah itu macam bagi orang ikan, wakaf itu macam kita buatkan kolam.

Kalau boleh buat dua-dua, kenapa nak pilih satu? LHDN bagi tolakan untuk kedua-duanya.

PerkaraSituasi A (Zakat Sahaja)Situasi B (Zakat + Wakaf)
Pendapatan AgregatRM100,000RM100,000
Sumbangan WakafRM0(RM10,000)
Baki Pendapatan AgregatRM100,000RM90,000
Tolak Pelepasan Individu(RM15,000)(RM15,000)
Pendapatan Boleh DicukaiRM85,000RM75,000
Cukai Kasar (Anggaran)RM8,200RM6,100
Tolak Rebat Zakat(RM2,500)(RM2,500)
Cukai Perlu BayarRM5,700RM3,600

Pengiraan ini adalah sekadar ilustrasi sahaja. Nilai sebenar bergantung kepada pelepasan individu dan kadar cukai semasa.

2. Cara Nak Berwakaf (Saluran Rasmi)

1. Portal Rasmi (Paling Senang)

Layari laman web Wakaf Wilayah Persekutuan (www.wakafwilayah.com.my).

  • Boleh pilih projek spesifik yang nak dibantu.
  • Bayar terus guna FPX (online banking).
  • Resit digital biasanya akan dihantar terus ke emel.

2. Kaunter Zakat & Wakaf MAIWP/PPZ

Geng bisnes yang suka urusan face-to-face boleh terus ke kaunter PPZ-MAIWP yang berdekatan.

  • Cakap sahaja: “Saya nak buat Wakaf Tunai untuk potongan cukai.”
  • Dapat resit fizikal on-the-spot.

Semua negeri di Malaysia mempunyai institusi Wakaf masing-masing di bawah Majlis Agama Islam Negeri dan peraturan Subseksyen 44(11D) ini terpakai di seluruh Malaysia, bukan di Wilayah Persekutuan sahaja. Maksudnya, kalau anda duduk di Selangor, Johor atau Pulau Pinang anda tetap boleh guna strategi ini melalui institusi wakaf negeri masing-masing.

  • Selangor: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS)
  • Johor: Saham Wakaf Johor (Yayasan Wakaf Johor)
  • Pulau Pinang: Wakaf Pulau Pinang
  • Perak: Wakaf Perak Ar-Ridzuan (WPAR)
  • Kedah: Wakaf Kedah
  • Negeri Sembilan: Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan
  • Melaka: Wakaf Melaka
  • Pahang: Wakaf Pahang
  • Kelantan: Wakaf Tunai MAIK
  • Terengganu: Wakaf MAIDAM
  • Sabah: Wakaf Sabah (MUIS)
  • Sarawak: Tabung Baitulmal Sarawak