Bank Muamalat Sasar Transaksi Rentas Sempadan RM5 Bilion Tahun Depan Di Platform Visa B2B Connect

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) — Bank Muamalat Malaysia Bhd menyasarkan transaksi rentas sempadan bernilai RM5 bilion menjelang akhir 2024 dengan memanfaatkan platform Visa Business to Business Connect (Visa B2B Connect).

Ketua Pegawai Operasinya Zury Rahimee Zainal Abiden berkata menyedari jumlah nilai transaksi rentas sempadan yang tinggi di Malaysia, bank itu mengambil peluang untuk memudahkan permintaan kiriman wang antarabangsa, menawarkan peluang perniagaan untuk pengembangan global melalui transaksi yang lancar.

“Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini kami telah melakukan transaksi bernilai RM3 bilion dan dengan memanfaatkan platform B2B ini, kami berharap dapat menambah RM500 juta nilai transaksi sehingga akhir tahun,” katanya kepada Bernama selepas melancarkan Visa B2B Connect hari ini.

Bank Muamalat juga mengumumkan perkongsian strategiknya dengan syarikat teknologi pembayaran utama global, Visa.

Kerjasama ini menandakan mercu jaya penting dalam usaha Bank Muamalat menjadi bank pertama di Malaysia untuk melaksanakan platform Visa B2B Connect, yang membolehkan ia menjadi saluran utama bagi pembayaran rentas sempadan, dengan platform Society for Worldwide Interbank Financial Telecommunication (SWIFT) menjadi alternatif kepada pelanggan.

Langkah Bank Muamalat menyepadukan Visa B2B Connect ke dalam Platform Perniagaan Bank Muamalat (iBiz) menawarkan peluang yang tidak pernah diberikan sebelum ini kepada syarikat, agensi, kementerian dan perniagaan bagi pengembangan di peringkat global, sekali gus meletakkan Bank Muamalat di hadapan dalam inovasi industri.

Zury Rahimee berkata, dana boleh dipindahkan dengan pantas dan selamat, secara terus daripada bank pengeluar kepada bank penerima, pada kos yang lebih rendah.

“Proses ini mengurangkan kadar kelewatan dan kerumitan transaksi antarabangsa yang berkaitan.

“Pelanggan juga dapat membuat semakan status pembayaran hampir dalam masa sebenar, meningkatkan ketelusan dan juga aliran transaksi,” katanya.

Menurutnya, sejajar dengan langkah ini, Bank Muamalat kini merupakan sebahagian daripada kumpulan institusi kewangan yang terkemuka di 109 negara seluruh dunia, dengan komitmen untuk menyokong usaha kerajaan merangsang pertumbuhan ekonomi, menggiatkan perdagangan antarabangsa, dan menggalakkan keterangkuman kewangan di dalam negara. 

Keutamaan yang diberikan kepada mata wang penting seperti dolar AS, euro, pound Britain, yen Jepun, dolar Singapura, yuan China, dolar Australia, rupee India dan rupiah Indonesia memastikan transaksi pembayaran yang lancar untuk perniagaan yang beroperasi di pasaran global. 

Selain itu, penyepaduan ini yang memberikan tumpuan strategik terhadap negara-negara G7 iaitu Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom, dan Amerika Syarikat menyokong perniagaan untuk memanfaatkan peluang antarabangsa dan memacu pertumbuhan mantap di peringkat global.

Sementara itu, Pengurus Visa Negara bagi Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata seiring usaha berterusan perniagaan Malaysia mengembangkan sayap di peringkat global, penyelesaian inovatif kini muncul untuk mencetus transformasi dalam kaedah pembayaran B2B.

“Lazimnya, transaksi rentas sempadan menggunakan kaedah lama, mengambil masa yang lama dan menelan kos yang tinggi. Kami percaya bahawa kami perlu memudahkan pembayaran rentas sempadan untuk perniagaan kecil dan sederhana dan syarikat korporat di Malaysia.

“Visa B2B Connect mengguna pakai pendekatan inovatif dan mengenepikan segala kerenah transaksi rentas sempadan dengan menggunakan teknologi lejar tersebar untuk meningkatkan kepantasan, keselamatan dan kebolehpercayaan transaksi tersebut,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

seeNI Memperkenalkan Hala Tuju Baharu Menghubungkan Kandungan, Komuniti dan Komersial

PETALING JAYA, 29 Oktober 2026 – Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, menyatukan portfolio jenama medianya di bawah jenama seeNI sebagai sebahagian daripada strategi untuk membuka peluang pertumbuhan baharu melalui kandungan berjenama, penajaan, kempen yang melibatkan bakat dan kerjasama komersial.

Berteraskan Komuniti, Kandungan dan Komersial, peralihan ini menggantikan identiti Nu Ideaktiv kepada seeNI. Langkah ini menyediakan satu pintu masuk kepada pengiklan dan agensi untuk mengakses jenama media, bakat komuniti dan kepakaran kreatif syarikat bagi mencapai matlamat perniagaan yang sama.
Portfolio ini merangkumi antaranya seeNI Creator Academy, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Remaja, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan kekuatan jenama ini bertujuan memperluas nilai komersial merentas minat dan peringkat kehidupan khalayak, melangkaui penawaran berasaskan satu jenama atau penempatan iklan secara berasingan.

Melalui tiga tunjang tersebut, Komuniti menghubungkan khalayak melalui minat dan pengalaman bersama; Kandungan menggabungkan jenama media, penceritaan, kepakaran produksi dan bakat; manakala Komersial menterjemahkan hubungan itu kepada peluang kempen bersepadu, penajaan dan kerjasama. Gabungan ini menjadi asas untuk memadankan matlamat pelanggan dengan khalayak serta pendekatan interaksi yang bersesuaian.

Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn. Bhd., Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata,
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekali gus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami.

Menerusi Komuniti, Kandungan dan Komersial, kami mahu melangkaui penempatan iklan secara berasingan dengan menawarkan peluang yang lebih menyeluruh kepada jenama untuk berhubung dengan khalayak melalui kandungan yang relevan, bakat dan penglibatan yang bermakna. Dalam melangkah ke fasa baharu ini, keutamaan kami adalah untuk memperkukuh kerjasama, membuka peluang pendapatan baharu dan membina perniagaan yang lebih mampan untuk masa hadapan.”

Menerusi seeNI Collective, seeNI menggabungkan kekuatan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik untuk membuka peluang kerjasama melangkaui pengiklanan konvensional. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions dalam usaha memperkasa bakat baharu industri kreatif menerusi seeNI Story Lab, serta Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen dan gaya hidup. Kesemua kerjasama ini bertujuan memperluas peluang untuk jenama berhubung dengan audiens melalui pelbagai platform dan pengalaman.

Sementara itu, seeNI Talent dirangka untuk memadankan bakat yang sesuai dengan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial berdasarkan rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan bakat untuk terlibat. Kedua-dua penawaran ini menyokong penyelesaian yang lebih bersepadu kepada keperluan pelanggan dengan menggabungkan keupayaan mengikut khalayak sasaran dan matlamat komersial.

The New World of seeNI – mengetengahkan hala tuju seeNI hari ini di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City. Acara ini memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri lain.

Acara ini menandakan satu pencapaian komersial penting dalam transformasi berterusan seeNI. Berpandukan More Begins Here, seeNI berhasrat menyediakan sebuah destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak kandungan, di samping membuka peluang baharu untuk perniagaan berkembang.