Pernas Labur RM5 Juta Bantu Bubbles 02 Tembusi Pasaran Luar

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) — Pengeluar air minuman mineral jenama Bubbles O2 bakal menembusi pasaran domestik dan dieksport ke luar negara dalam tempoh tiga tahun bermula dari 2023 hingga 2025.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Bubbles O2 Sdn Bhd Ain Azizah Arifin berkata sasaran negara tersebut adalah Thailand, Indonesia, Kanada dan Timur Tengah.

“Untuk pengetahuan produk Bubbles O2 telah berada di Brunei dan Dubai. Selain itu kami juga dalam persediaan menembusi pasaran melalui kolaborasi dan rakan kongsi di San Francisco, Amerika Syarikat dan Puerto Rico menjelang suku pertama 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Pelancaran Jom Cari Pernas di Reruai Bubbles O2 sempena Le Tour De Langkawi 2023 di Menara Pernas di sini hari ini.

Pada 13 Sept, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) giat membantu jenama Bubbles O2 mengembangkan perniagaan di dalam dan di luar negara melalui suntikan pelaburan berjumlah RM5 juta.

Pelaburan itu merangkumi perluasan kawasan kilang serta perbelanjaan operasi dan modal kerja.

Pasa masa ini, Bubbles O2 mengeluarkan pembungkusan baharu yang menggunakan botol kaca premium selain mempunyai perancangan untuk menghasilkan air mineral berperisa dengan vitamin.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PNB Institusi Pelaburan Keempat Terbaik Global Dalam Skor GSR

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) mencatat pencapaian baharu apabila menduduki tempat keempat terbaik di peringkat global dalam Papan Skor Governance, Sustainability and Resilience (GSR) 2026 yang diterbitkan oleh Global SWF.

PNB turut mengekalkan kedudukan sebagai institusi pelaburan milik negara dengan penarafan tertinggi di Malaysia dalam penilaian yang membabitkan lebih 200 institusi pelaburan milik kerajaan di seluruh dunia.

Dalam penarafan itu, PNB memperoleh markah keseluruhan 88 peratus, merangkumi 90 peratus bagi tadbir urus, 100 peratus untuk kelestarian dan 60 peratus bagi aspek daya tahan.

Pencapaian berkenaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding kedudukan ke-17 yang direkodkan pada tahun lalu, sekali gus mencerminkan usaha berterusan organisasi memperkukuh tadbir urus serta amalan perniagaan yang bertanggungjawab.

Menurut PNB, skor penuh bagi komponen kelestarian diberikan berdasarkan kekuatan rangka kerja tadbir urus, ketelusan pendedahan maklumat, komitmen terhadap agenda iklim dan penerapan pertimbangan kelestarian dalam aktiviti pelaburan.

PNB juga memaklumkan bahawa pihaknya memperbaharui Rangka Kerja Kelestarian dengan memberi tumpuan kepada tiga teras strategik iaitu Kelestarian Organisasi, Kepengurusan Bertanggungjawab dan Pembangunan Negara.

Selain itu, antara faktor yang menyokong pencapaian itu ialah kejayaan memenuhi sasaran Perusahaan Sifar Bersih bagi pelepasan Skop 1 dan Skop 2 pada 2025 serta usaha memperkukuh aspirasi Portfolio Sifar Bersih menjelang 2050.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rizal Rickman Ramli, berkata peningkatan daripada tangga ke-17 kepada tangga keempat global dalam tempoh setahun mencerminkan usaha kolektif organisasi memperkukuh tadbir urus dan daya tahan institusi.

“Pencapaian ini mencerminkan kemajuan yang telah kami capai dalam memperkukuh tadbir urus, menerapkan amalan yang bertanggungjawab dan membina organisasi yang lebih berdaya tahan.

“Pencapaian skor kelestarian sempurna ini merupakan pengiktirafan yang amat bermakna kepada PNB kerana ia mencerminkan komitmen dan usaha berterusan kami untuk mengintegrasikan pertimbangan kelestarian ke dalam cara kami beroperasi, melabur dan melaksanakan kepengurusan.

“Menerusi Rangka Kerja Kelestarian yang telah diperbaharui, kami terus memperkukuh pendekatan yang lebih holistik, berteraskan kelestarian organisasi, kepengurusan bertanggungjawab dan pembangunan negara,” katanya.

— Berita Harian