BMI: Bank Negara Dijangka Kekalkan OPR Pada 3 Peratus Sehingga Akhir 2024

KUALA LUMPUR, 14 Sept  (Bernama) — BMI, unit di bawah agensi penarafan kredit Fitch Solutions, menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalamannya (OPR) pada 3.00 peratus sehingga akhir 2024 memandangkan inflasi domestik terus mereda di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang perlahan.

Menurut BMI, bank pusat Malaysia pada mesyuarat dasar monetari bertarikh 7 Sept telah mengekalkan OPR pada paras semasa yang mana ia selari dengan konsensus dan jangkaannya.

“Kami terus mengunjurkan BNM mengekalkan OPR di mesyuarat seterusnya pada 6 November (mesyuarat terakhir untuk 2023) dan sehingga akhir 2024,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BMI berkata inflasi domestik negara berada pada trajektori penurunan yang stabil, dengan inflasi utama berkurangan daripada 2.8 peratus tahun ke tahun pada Mei kepada 2.0 peratus pada Julai 2023.

“Inflasi yang bertambah baik menunjukkan kadar dasar sebenar Malaysia kini berada dalam zon positif. Justeru, kami percaya bahawa pendirian dasar semasa adalah mencukupi untuk mengekalkan inflasi terkawal,” katanya.

Menurut BMI, penurunan harga yang lebih pantas daripada jangkaan telah mendorongnya merendahkan unjuran inflasi akhir 2023 kepada 1.8 peratus daripada 2.0 peratus sebelum ini.

Sehubungan itu, ia telah melaraskan unjuran inflasi kepada purata 2.6 peratus pada 2023 daripada 2.7 peratus sebelum ini.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA