Pelaksanaan Semula HSR Menjanjikan Pemangkin Pembangunan Malaysia, Singapura – Pengerusi MSBC

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) — Pelaksanaan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan yang akan memberi kesan pengganda bagi Malaysia dan Singapura, kata Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-Singapura (MSBC) Tan Sri Nik Norzrul Thani.

“Memandangkan masa perjalanan yang dikurangkan, ini pasti akan mengubah corak perniagaan di rantau ini beroperasi,” katanya dalam kenyataan bersama antara Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) dan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) hari ini.

Pengerusi Eksekutif YCH Group Robert Yap berkata MSBC akan terus menjadi platform strategik yang mana syarikat-syarikat Singapura dan Malaysia dapat berkumpul untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing dan meneroka peluang perniagaan dalam sektor utama yang mempunyai kepentingan bersama.

“Daripada keputusan Kaji Selidik Perniagaan Kebangsaan Persekutuan Perniagaan Singapura 2022/2023, Malaysia kekal sebagai antara tiga negara teratas untuk pengantarabangsaan masa depan oleh syarikat Singapura,” katanya.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat bersama MSBC ke-24 dipengerusikan bersama oleh Nik Norzrul dan Yap, yang diadakan secara maya pada 11 Sept 2023.

“Semasa mesyuarat bersama itu, pembentangan telah dikongsikan mengenai perkembangan terkini Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang, Wilayah Ekonomi Pantai Timur, dan hasil kaji selidik pasaran Singapore’s Action for Community Entrepreneurship’s Malaysia serta kemas kini inisiatif terkini Persekutuan Pekilang Singapura di Malaysia.

“Terdapat juga perbincangan mengenai kemungkinan kerjasama dalam projek HSR, pembangunan modal insan dan ekonomi digital,” katanya.

Ditubuhkan pada Julai 2004 untuk menggalakkan aktiviti perniagaan dan pelaburan antara Singapura dan Malaysia, MSBC terus berfungsi sebagai platform kerjasama yang bermanfaat bagi komuniti perniagaan kedua-dua negara dalam memulakan projek yang saling menguntungkan dan meneroka peluang bersama.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA