Alton Industry Berpangkalan Di Amerika Syarikat Akan Labur RM2 Bilion Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) — Alton Industry Ltd Group (Alton) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) sedang mengembangkan tapak pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke Malaysia di samping merancang untuk melabur lebih RM2 bilion dalam tempoh tujuh tahun akan datang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, David Lu berkata pembinaan kemudahan pembuatan baharu Alton di Johor Bahru telah mula dilaksanakan dan dijadualkan siap pada 2024 sebelum berperanan sebagai pusat R&D global bagi platform teknologi baharu.

“Apabila siap, Alton bersedia untuk terus berkembang bagi meyokong kapasiti pengeluaran dan memenuhi permintaan yang pelbagai dan permintaan yang sentiasa meningkat daripada jumlah pelanggan global,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kenyataan itu susulan mesyuarat beliau dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di New York, AS.

David berkata pihaknya gembira untuk mengembangkan jejak global ke Malaysia.

“Kemudahan baharu ini akan membolehkan kami menyokong pelanggan global kami dan membolehkan pengembangan ke pasaran lain dengan pantas.

“Insentif daripada kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan, sebagai tambahan akan menyokong dari segi infrastruktur sekali gus menjadikan ini satu langkah pelaburan yang baik untuk syarikat,” katanya.

Menurut kenyataan yang sama, Tengku Zafrul mengalu-alukan pengembangan global yang besar oleh Alton, di samping komitmen pelaburan fasa satunya bernilai RM500 juta.

“Keputusan Alton untuk mengembangkan pangkalan pembuatan dan R&D di Malaysia mencerminkan keyakinannya terhadap daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan,” katanya.

Beliau berkata pelaburan itu juga sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang dilancarkan Malaysia baru-baru ini, yang bertujuan mewujudkan persekitaran mesra pelaburan selain dengan pesat menerima guna teknologi untuk meningkatkan ekosistem sektor pembuatan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata MIDA bersedia memberikan sokongan yang diperlukan kepada Alton untuk memastikan pelaksanaan projek pelaburan yang lancar di negara ini.

Alton membuat pelbagai jenis alatan komersial dan pengguna, perkakasan dan kelengkapan, selain perkakasan rumah dan produk penjagaan lantai.

Syarikat ini beroperasi di lebih 75 negara di seluruh dunia, dengan pejabat di China, Jepun, Hong Kong, Eropah dan AS.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

BMI Unjur Pertumbuhan Pinjaman Akan Perlahan Pada Separuh Kedua 2026

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — BMI, sebuah unit Fitch Solutions, menjangkakan pertumbuhan pinjaman akan perlahan pada separuh kedua 2026, memandangkan momentum yang lebih kukuh daripada jangkaan setakat ini.

Susulan itu, firma penyelidikan itu menyemak semula unjuran pertumbuhan pinjaman Malaysia kepada 5.0 peratus menjelang akhir 2026, berbanding 4.6 peratus sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, ia memaklumkan bahawa pertumbuhan pinjaman bank meningkat sejak beberapa bulan lepas, daripada 4.7 peratus pada Januari kepada 5.7 peratus pada Mei.

Menurut BMI, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang perlahan akan menjejaskan pertumbuhan kredit bagi beberapa suku tahun akan datang, dengan mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar menyusut kepada 4.3 peratus pada 2026 daripada 5.2 peratus pada 2025, ia akan berada di paras bawah unjuran semakan kerajaan sebanyak 4.0-5.0 peratus.

Pada masa sama, konflik berterusan antara Amerika Syarikat dan Iran menimbulkan risiko penurunan terhadap pandangan (unjuran) ini.

“Pasukan global kami baru-baru ini menyemak semula unjuran mereka untuk pertumbuhan global kepada 2.4 peratus pada 2026, berbanding 2.8 peratus sebelum ini.

“Sehubungan itu, kami mengingatkan bahawa kelembapan pertumbuhan dalam rakan dagang utama Malaysia boleh mengatasi daya tahan permintaan domestik, sektor pembinaan akan menerima kesan paling teruk,” menurut BMI.

Bagaimanapun, menurut firma penyelidikan itu, bagi Malaysia, kelembapan dalam pertumbuhan kredit mungkin bukan satu perkembangan yang negatif sepenuhnya, terutamanya untuk isi rumah Malaysia yang merangkumi 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman.

Data daripada Bank of International Settlements menunjukkan kredit kepada isi rumah berada pada paras 69.8 peratus daripada KDNK pada suku keempat 2025, manakala nisbah khidmat hutang mencecah paras tertinggi dalam tempoh empat tahun iaitu 15.5 peratus setakat suku keempat 2025, menurut BMI.

Sementara itu, pinjaman isi rumah dijangka terus perlahan pada 2026, disokong oleh jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus sehingga 2027, sekali gus membayangkan kadar pinjaman akan kekal tinggi untuk beberapa suku tahun kelak.

“Dalam persekitaran ini, kami percaya risiko kestabilan kewangan kekal rendah. Selain itu, BNM mengumumkan kemudahan bantuan kestabilan bernilai RM5 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai persediaan menghadapi kemungkinan konflik di Asia Barat akan membawa kepada lonjakan ‘pinjaman lapuk’ (pinjaman tidak berbayar) dalam kalangan bank tempatan.

“Bagaimanapun, buat masa ini, kebanyakan petunjuk menunjukkan sektor perbankan kekal berada dalam keadaan yang sihat,” menurut kenyataan itu.

Setakat suku pertama 2026, nisbah modal agregat sistem perbankan berada pada paras 18.1 peratus – jauh lebih tinggi daripada syarat minimum kawal selia sebanyak 10.5 peratus (8.0 peratus daripada jumlah nisbah modal dan 2.5 peratus penampan modal).

“Walaupun nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 dan nisbah Modal Tahap 1 menyusut sedikit pada 2025, ia kekal berada di atas keperluan Basel III, masing-masing ditetapkan pada 4.5 peratus dan 6.0 peratus,” menurut BMI.

— BERNAMA