Turkiye Setuju MAHB Terus Kendali Lapangan Terbang Sabiha Di Istanbul – PM Anwar

NEW YORK, 21 Sept (Bernama) – Turkiye telah bersetuju supaya Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) terus mengendalikan  Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata persetujuan itu disampaikan sendiri oleh Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada pertemuan mereka di sini, hari ini.

“Beliau (Presiden) setuju MAHB teruskan (kendali) Lapangan Terbang Sabiha di Istanbul. Mereka puas hati dengan kejayaan MAHB pada peringkat pertama, sebab itu mahu sambungan dengan runway (landasan) yang lebih panjang,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat dua hala dengan Erdogan.

Anwar yang berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-78 berkata Turkiye merasakan ada keupayaan untuk operasi lapangan terbang itu dikendalikan oleh syarikat yang sama, iaitu MAHB. 

Walaupun persetujuan meneruskan operasi oleh MAHB telah diumumkan, Anwar berkata ia akan melalui proses biasa oleh kementerian yang berkenaan.

“Ini satu sokongan yang cukup besar dan keyakinan kepada syarikat Malaysia untuk membangun dan menguruskan Lapangan Terbang Sabiha,” tambah beliau.

Dimiliki sepenuhnya oleh MAHB, lapangan terbang tersebut merupakan pintu masuk keenam paling sibuk di Eropah, dengan jumlah penumpang mencecah 25 juta pada 2021, yang merupakan 70 peratus daripada angka prapandemik COVID-19.

Pada pertemuan itu yang turut dihadiri menteri-menteri Kabinet daripada kedua-dua pihak, Anwar berkata mereka turut membincangkan usaha untuk meningkatkan kerjasama dua hala dari segi  pelaburan dan  perdagangan. 

Malaysia adalah rakan dagangan terbesar Turkiye di ASEAN dengan jumlah perdagangan sebanyak US$4.7 bilion (US$1=RM4.51) pada 2022, pertumbuhan 35 peratus dari 2021. 

Angka eksport Malaysia ke Turkiye pada 2022 mencecah paras RM17.39 bilion, yang sebahagian besarnya terdiri daripada minyak sawit, produk pertanian berasaskan minyak sawit, pembuatan logam, tekstil, pakaian, kasut, produk elektrik dan elektronik serta produk perkilangan berasaskan minyak sawit.

Jumlah import pada 2022 direkodkan sebanyak RM2.86 bilion yang merangkumi produk petroleum, barang kemas, produk besi dan keluli, kimia dan produk kimia , tekstil, pakaian serta kasut.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TP-Link Dan UiTM Bekerjasama Tangani Jurang Bakat Rangkaian Enterprise

SHAH ALAM – TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. (“TP-Link Malaysia”) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran rangkaian yang relevan dengan industri, pengalaman praktikal enterprise serta pensijilan bertaraf global.

Kerjasama selama tiga tahun ini direka untuk merapatkan jurang antara pembelajaran akademik dan keperluan sebenar industri, membolehkan pelajar UiTM menamatkan pengajian dengan keupayaan praktikal yang selari dengan keperluan semasa enterprise, sekali gus mengukuhkan kolaborasi antara industri dan institusi pendidikan.

Di teras kerjasama ini ialah pelaksanaan penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link di makmal UiTM, yang memberikan pendedahan langsung kepada pelajar terhadap infrastruktur yang sama digunakan dalam persekitaran perniagaan. Inisiatif ini turut disokong dengan program latihan berstruktur, bengkel teknikal serta akses kepada laluan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA).

Pelajar juga akan mendapat manfaat daripada peluang latihan industri dan praktikal bersama TP-Link, sekali gus membuka laluan yang lebih jelas daripada universiti ke alam pekerjaan dalam ekonomi digital Malaysia yang semakin berkembang.

Inisiatif ini membina kerjasama terdahulu TP-Link Malaysia dengan Universiti Malaya, di mana lebih 500 pelajar telah menyertai program pensijilan pada tahun 2025, menunjukkan permintaan tinggi terhadap kemahiran rangkaian dan pensijilan yang selari dengan kehendak industri.

Hugo Cai, Pengarah Serantau TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. berkata, “Dalam pelbagai industri, organisasi sedang memperluaskan infrastruktur digital mereka, namun ketersediaan profesional dengan kepakaran rangkaian enterprise tidak berkembang seiring. Kerjasama ini bertujuan merapatkan jurang tersebut dengan melengkapkan pelajar dengan kemahiran praktikal yang disokong pensijilan dan relevan dengan keperluan industri sejak hari pertama.”

“Memastikan graduan kami dilengkapi dengan pengetahuan akademik serta kemahiran praktikal yang relevan dengan industri adalah sangat penting dalam landskap digital yang berkembang pesat hari ini. Kerjasama seperti ini membolehkan kami menyelaraskan program dengan lebih dekat kepada kemajuan teknologi dan jangkaan industri,” tambah Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor Universiti Teknologi MARA.

Selain pembangunan bakat, kedua-dua organisasi juga akan meneroka inisiatif bersama dalam penyelidikan, perundingan dan perkongsian ilmu, sekali gus mengukuhkan kerjasama antara jurutera TP-Link dan tenaga pengajar UiTM.

Seiring Malaysia terus memperkukuh aspirasi ekonomi digital, inisiatif yang menghubungkan pendidikan dengan keperluan industri secara langsung akan memainkan peranan penting dalam memastikan negara kekal kompetitif dalam membangunkan serta mengekalkan infrastruktur digital moden.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian rangkaian enterprise Omada oleh TP-Link, sila layari:
https://www.omadanetworks.com/us/business-networking/consult/