Sarawak Labur Lebih RM10 Bilion Untuk Jadikan Bintulu Sebagai Hab Gas Masam

BINTULU, 21 Sept (Bernama) — Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini berkata negeri itu melabur lebih RM10 bilion untuk menjadikan Bintulu sebagai hab gas masam dengan pembangunan Sistem Pemindahan Gas Masam Bersepadu Sarawak (SISGES) di Tanjung Kidurong.

Beliau berkata pembangunan itu yang berada dalam Taman Perindustrian Petrokimia (PIP) akan selari dengan cita-cita Sarawak untuk mencapai status negeri maju menjelang 2030.

“Gas masam dahulunya dianggap tidak menguntungkan jika dibangunkan kerana prosesnya mahal tetapi teknologi baharu telah mengurangkan kos itu dengan ketara,” katanya pada majlis pecah tanah Fasa Satu hab gas masam SISGES untuk Loji Gas Pesisir Rosmari-Marjoram Bintulu Shell di Tanjung Kidurong.

Gas masam ialah gas asli atau sebarang gas lain yang mengandungi sejumlah besar hidrogen sulfida.

Dalam pada itu, Abang Johari optimis dasar laut pelantar benua Sarawak masih mempunyai rizab gas yang besar walaupun ramalan awal yang dibuat pada awal 1990-an mendapati gas Sarawak hanya boleh bertahan selama 20 tahun lagi.

“Sudah lebih 30 tahun berlalu, semakin banyak medan minyak dan gas ditemukan di luar pesisir Sarawak, yang terbaru ialah enam medan di lima blok – SK306, SK411, SK313, SK301B dan SK315,” tambahnya.

Beliau juga berkata industri minyak dan gas di rantau ini masih kekal menarik dalam kalangan pelabur selepas minyak ditemukan di Miri lebih seabad lalu.

Beliau berkata penubuhan ibu pejabat Shell Malaysia Upstream di Miri Times Square, yang diharapkan dibuka tidak lama lagi, adalah satu lagi bukti keyakinan dan hubungan syarikat itu dengan kerajaan Sarawak.

“Bagaimanapun, kestabilan politik dan dasar kukuh Sarawak tidak boleh diketepikan sebagai faktor tambahan bagi pelabur seperti Shell untuk datang ke negeri ini bagi mengembangkan perniagaan mereka. Jika Shell buat duit, Sarawak juga akan buat duit kerana kita mengenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST),” kata beliau.

“Sejak 2019, pendapatan Sarawak melalui SST berjumlah RM13 bilion dan bukannya 5 peratus royalti yang biasa kita terima untuk minyak dan gas,” katanya.

 Sarawak komited untuk bekerjasama dengan Shell dan Petronas bagi memastikan kejayaan Rosmari-Marjoram dan inisiatif hab gas masam SISGES, dan negeri itu mengharapkan lebih banyak kerjasama di antara Shell dan entiti minyak dan gas negeri, Petros.

Selain minyak dan gas, Abang Johari berkata Sarawak juga berminat dengan penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) yang mana tiga takungan telah dikenal pasti di luar pesisir rantau ini.

Beliau berkata perancangan telah dibuat untuk memudahkan pembangunan takungan yang sepatutnya meletakkan Sarawak di barisan hadapan CCUS di rantau ini apabila ia mula beroperasi sebelum penghujung dekad.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

BMI Unjur Pertumbuhan Pinjaman Akan Perlahan Pada Separuh Kedua 2026

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) — BMI, sebuah unit Fitch Solutions, menjangkakan pertumbuhan pinjaman akan perlahan pada separuh kedua 2026, memandangkan momentum yang lebih kukuh daripada jangkaan setakat ini.

Susulan itu, firma penyelidikan itu menyemak semula unjuran pertumbuhan pinjaman Malaysia kepada 5.0 peratus menjelang akhir 2026, berbanding 4.6 peratus sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, ia memaklumkan bahawa pertumbuhan pinjaman bank meningkat sejak beberapa bulan lepas, daripada 4.7 peratus pada Januari kepada 5.7 peratus pada Mei.

Menurut BMI, pertumbuhan ekonomi Malaysia yang perlahan akan menjejaskan pertumbuhan kredit bagi beberapa suku tahun akan datang, dengan mengunjurkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar menyusut kepada 4.3 peratus pada 2026 daripada 5.2 peratus pada 2025, ia akan berada di paras bawah unjuran semakan kerajaan sebanyak 4.0-5.0 peratus.

Pada masa sama, konflik berterusan antara Amerika Syarikat dan Iran menimbulkan risiko penurunan terhadap pandangan (unjuran) ini.

“Pasukan global kami baru-baru ini menyemak semula unjuran mereka untuk pertumbuhan global kepada 2.4 peratus pada 2026, berbanding 2.8 peratus sebelum ini.

“Sehubungan itu, kami mengingatkan bahawa kelembapan pertumbuhan dalam rakan dagang utama Malaysia boleh mengatasi daya tahan permintaan domestik, sektor pembinaan akan menerima kesan paling teruk,” menurut BMI.

Bagaimanapun, menurut firma penyelidikan itu, bagi Malaysia, kelembapan dalam pertumbuhan kredit mungkin bukan satu perkembangan yang negatif sepenuhnya, terutamanya untuk isi rumah Malaysia yang merangkumi 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman.

Data daripada Bank of International Settlements menunjukkan kredit kepada isi rumah berada pada paras 69.8 peratus daripada KDNK pada suku keempat 2025, manakala nisbah khidmat hutang mencecah paras tertinggi dalam tempoh empat tahun iaitu 15.5 peratus setakat suku keempat 2025, menurut BMI.

Sementara itu, pinjaman isi rumah dijangka terus perlahan pada 2026, disokong oleh jangkaan bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus sehingga 2027, sekali gus membayangkan kadar pinjaman akan kekal tinggi untuk beberapa suku tahun kelak.

“Dalam persekitaran ini, kami percaya risiko kestabilan kewangan kekal rendah. Selain itu, BNM mengumumkan kemudahan bantuan kestabilan bernilai RM5 bilion untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai persediaan menghadapi kemungkinan konflik di Asia Barat akan membawa kepada lonjakan ‘pinjaman lapuk’ (pinjaman tidak berbayar) dalam kalangan bank tempatan.

“Bagaimanapun, buat masa ini, kebanyakan petunjuk menunjukkan sektor perbankan kekal berada dalam keadaan yang sihat,” menurut kenyataan itu.

Setakat suku pertama 2026, nisbah modal agregat sistem perbankan berada pada paras 18.1 peratus – jauh lebih tinggi daripada syarat minimum kawal selia sebanyak 10.5 peratus (8.0 peratus daripada jumlah nisbah modal dan 2.5 peratus penampan modal).

“Walaupun nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 dan nisbah Modal Tahap 1 menyusut sedikit pada 2025, ia kekal berada di atas keperluan Basel III, masing-masing ditetapkan pada 4.5 peratus dan 6.0 peratus,” menurut BMI.

— BERNAMA