PayNet Beri Penjelasan Berhubung Pengenaan Yuran Transaksi DuitNow QR

KUALA LUMPUR, 28 Sept  (Bernama) — Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) hari ini menjelaskan mengenai pengenaan yuran transaksi untuk pembayaran DuitNow QR dan transaksi yang dibuat dengan kad kredit berkuat kuasa 1 Nov 2023.

Dalam satu kenyataan hari ini, pengendali DuitNow QR itu mengesahkan bahawa vendor akan dikenakan yuran transaksi untuk pembayaran yang diterima melalui platform kod DuitNow QR tetapi terdapat beberapa kekeliruan yang perlu dijelaskan.

“Kebimbangan dibangkitkan mengenai kesan yuran yang bakal dikenakan ke atas peniaga dan impak kepada harga barangan dan perkhidmatan boleh difahami. Bagaimanapun, dua jenis e-pembayaran yang berbeza telah disifatkan oleh media sebagai sama, iaitu kadar diskaun pedagang (MDR) dan yuran 50 sen untuk transaksi melebihi RM5,000.

“Liputan tersebut telah secara tidak tepat menggambarkan dua jenis e-pembayaran yang berbeza sebagai satu yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PayNet berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan media tentang sebuah institusi perbankan tempatan yang memaklumkan pelanggannya mengenai pengenaan yuran transaksi untuk pembayaran DuitNow QR dan transaksi yang dibuat dengan kad kredit berkuat kuasa 1 Nov 2023 dan beberapa bank kononnya tidak tahu menahu perkara ini.

PayNet berkata seorang peniaga akan menerima bayaran yang dibuat oleh pelanggan mereka selepas ditolak MDR.

“Pada masa ini pembayaran kad debit dan kredit dikenakan MDR manakala terdapat penepian MDR pada pembayaran QR. Mulai 1 Okt, penepian MDR untuk pembayaran DuitNow QR ini akan ditarik balik,” katanya. 

Sebaliknya, ia menambah yuran 50 sen untuk urus niaga melebihi RM5,000 adalah sebenarnya untuk pemindahan dana rakan setara (peer-to-peer) daripada QR peribadi ke QR peribadi lain, bukan pembayaran kepada peniaga.

“Ini sama sekali tidak berkaitan dengan pembayaran QR kepada pedagang dan kedua-dua yuran tidak akan dikenakan untuk transaksi yang sama dalam apa-apa situasi,” kata PayNet.

Ia seterusnya menjelaskan MDR terkumpul akan dikongsi antara PayNet dan bank pemeroleh yang berkaitan atau pemeroleh pihak ketiga untuk menampung penyelenggaraan rangkaian serta kos ditanggung oleh bank dan pemeroleh pihak ketiga untuk memperoleh penyertaan peniaga bagi menikmati perkhidmatan ini. 

“Sebagai insentif galakan penggunaan ketika tempoh pengenalan pembayaran QR pada 2019, MDR telah diketepikan. Penepian ini  dilanjutkan lagi berikutan penularan pandemik  COVID-19. Ia bukanlah suatu yuran baharu mahupun caj tambahan,” jelas pengendali itu.

Ia berkata 1 Okt, 2023 adalah permulaan kepada penamatan pengecualian MDR yang sepatutnya dilakukan lebih sembilan bulan yang lalu. 

Selain itu, dana rizab bakal diwujudkan dengan MDR yang dikutip oleh PayNet untuk memberi insentif kepada pemeroleh supaya tidak mengenakan sebarang MDR kepada para peniaga kecil.

“Walaupun PayNet tidak berada dalam kedudukan untuk menentukan harga pasaran yang dikenakan kepada peniaga, beberapa bank pemeroleh dan pemeroleh pihak ketiga berhasrat untuk sama ada terus menangguhkan pengenaan MDR atau menyerapnya untuk peniaga kecil.

“Dalam hal ini, peniaga perlu menyemak dengan bank atau pemeroleh pihak ketiga mereka untuk mengesahkan perkara ini,” katanya.

Mengenai caj 50 sen pula, PayNet menjelaskan adalah tidak tepat untuk menyatakan caj dikenakan kepada pembayaran yang dibuat kepada peniaga dan juga tidak tepat untuk menyatakan MDR dicaj untuk pemindahan dana menggunakan QR peribadi. 

“Caj 50 sen itu adalah untuk pemindahan dana melebihi RM5,000 menggunakan DuitNow QR peribadi,” katanya

PEMBELIAN GUNA KAD KREDIT, DEBIT SUDAH TERTAKLUK KEPADA MDR

PayNet turut menjelaskan pembelian menggunakan kad kredit dan debit sudahpun tertakluk kepada MDR. Produk dan perkhidmatan yang dibeli dengan kad kredit atau debit adalah pada harga yang sama dengan pembelian tunai.

“Oleh itu, kami tidak menjangkakan harga barangan dan perkhidmatan akan terjejas oleh pembelian menggunakan DuitNow QR selepas MDR dikenakan,” tegasnya.

Berkaitan dakwaan urus niaga secara tunai adalah percuma, PayNet berkata kajian oleh firma penyelidikan global Roubini Thoughtlab pada 2018 mengesahkan bahawa tanggapan ini jauh tersasar kerana anggaran faedah dari tanpa penggunaan tunai kepada para perniagaan jauh melebihi kos. 

“Manfaat bersih terkumpul 15 tahun (2017-2032) dianggarkan sekitar US$4.2 bilion (US$1=RM4.705) berikutan penjimatan daripada pengurangan kerja manual dan faedah dari e-pembayaran (iaitu peningkatan faedah/kadar keuntungan bank yang diperoleh, tiada penyesuaian manual, tiada kerugian berkaitan kekurangan, pengurangan keperluan pekerja dan penjimatan daripada mengendalikan wang tunai),” katanya.

Menurut PayNet, sebarang perbincangan atau dialog mengenai perkara ini harus berteraskan pemahaman yang tepat, betul dan termaklum sepenuhnya berasaskan fakta sahih dan cara sebenar bagaimana industri pembayaran digital beroperasi.

— BERNAMA 

Baca juga: Penjelasan Berita Berkenaan Pengenaan Yuran Transaksi QR DuitNow Ke Atas Peniaga Mulai 1 Nov Baru-Baru Ini

Previous ArticleNext Article

PROTON Cemerlang Jual 16,995 Unit Pada Mei, Saga Model Terlaris Malaysia Bulan Lalu

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd (PROTON) terus menguasai pasaran automotif Malaysia dengan jumlah jualan sebanyak 16,995 kenderaan pada Mei.

Prestasi itu dicapai walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) Malaysia dianggarkan susut 15.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Prestasi kukuh itu meningkatkan jualan PROTON bagi setakat tahun ini kepada 84,294 unit dalam lima bulan pertama 2026.

Jumlah itu mewakili peningkatan 38 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dan memberikan syarikat pegangan pasaran dianggarkan 26.7 peratus.

Pertumbuhan itu dicatatkan ketika TIV keseluruhan dianggarkan menguncup 1.4 peratus dalam tempoh yang sama, sekali gus menunjukkan keupayaan pengeluar automotif itu untuk meningkatkan pegangan pasaran dalam persekitaran pasaran yang mencabar.

Pemacu utama prestasi Mei ialah kebangkitan semula model Proton Saga, yang kembali menjadi kenderaan paling laris di Malaysia dengan 7,398 unit didaftarkan pada bulan lalu, sekali gus meningkatkan jualan setakat tahun ini sebanyak 41 peratus kepada 37,375 unit.

Syarikat itu turut melaporkan permintaan kukuh bagi model Proton S70 dan Proton X50, masing-masing mencatat jualan 2,350 unit dan 2,793 unit.

Jualan terkumpul Proton S70 meningkat kepada 10,525 unit, manakala Proton X50 mencapai 12,967 unit, sekali gus menjadi model dengan jualan tertinggi dalam segmen kenderaan utilitik sukan (SUV).

Sementara itu, Proton X90 terus mengukuhkan kedudukannya dalam segmen SUV D dengan jualan mencecah 402 unit pada Mei, menjadikan jumlah jualan YTD meningkat 38.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Abdul Rashid Musa, berkata prestasi itu mencerminkan keyakinan pengguna yang berterusan terhadap kenderaan yang menawarkan nilai, teknologi dan pengalaman pemilikan yang baik.

Selain itu, perniagaan kenderaan elektrifikasi PROTON turut mencatat keputusan memberangsangkan apabila penghantaran gabungan model e.Mas mencecah 3,022 unit pada Mei merangkumi pasaran domestik dan eksport.

Jualan bagi model e.Mas setakat tahun ini pula mencapai 14,687 unit selepas lima bulan pertama tahun ini.

Model hibrid plug-in (PHEV) baharu Proton e.Mas 7 PHEV mencatat jualan 1,181 unit pada Mei, iaitu bulan kedua berturut-turut mencipta rekod baharu, sekali gus menjadikannya PHEV paling laris di Malaysia.

Jualan terkumpul model itu mencecah 2,936 unit sejak dilancarkan pada Februari lalu.

Versi elektrik sepenuhnya Proton e.Mas 7 turut kembali menjadi EV paling laris di Malaysia bagi bulan berkenaan, dengan penghantaran melonjak kepada 958 unit selepas pengeluaran pemasangan tempatan mencapai tahap yang lebih stabil.

Sementara itu, Proton e.Mas 5 kekal sebagai EV paling laris di negara ini bagi tempoh setakat tahun ini, dengan 9,357 unit telah dihantar setakat ini pada 2026.

Penghantaran bulanan model itu sedikit menurun kepada 883 unit menjelang permulaan operasi pemasangan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, berkata permintaan pengguna terhadap EV dan PHEV mencerminkan penerimaan yang semakin meningkat terhadap mobiliti elektrifikasi di Malaysia.

“Ketika operasi pemasangan tempatan untuk Proton e.Mas 7 terus dipertingkatkan dan pemasangan tempatan Proton e.Mas 5 mula dijalankan, kami sedang memperkukuhkan keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan sambil menyokong pembangunan ekosistem EV Malaysia,” katanya.