GST Bukan Tiada Kelemahan: 7 Isu Yang Perlu Diperbaiki Jika Mahu Diperkenalkan Semula

GST lebih baik atau SST lebih baik?

Tetapi sebelum itu, ada satu perkara yang tidak boleh kita abaikan.

GST pernah dilaksanakan di Malaysia. Kita sudah mempunyai pengalaman tentang kelebihan dan kelemahannya.

Jika kerajaan bercadang memperkenalkan semula GST, persoalannya bukan sekadar berapa banyak hasil tambahan yang boleh dikutip. Sebaliknya, apakah kelemahan pelaksanaan terdahulu yang perlu diperbaiki supaya pengguna dan peniaga tidak mengulangi pengalaman yang sama?

Berikut tujuh isu yang wajar diberikan perhatian.

1. Kelewatan bayaran balik GST

Antara isu paling besar ketika pelaksanaan GST terdahulu ialah tuntutan bayaran balik yang tertunggak.

Pada 2019, Kementerian Kewangan melaporkan bahawa setakat 31 Mei 2018, sebanyak RM19.4 bilion tuntutan bayaran balik GST melibatkan lebih 121,000 syarikat masih belum dibayar.

Bagi syarikat besar, kelewatan ini mungkin boleh diuruskan melalui kemudahan pembiayaan.

Tetapi bagi PKS, wang tersebut mungkin merupakan modal kerja untuk membayar gaji pekerja, pembekal, sewa premis dan komitmen bulanan.

Kerajaan perlu menetapkan tempoh pemprosesan bayaran balik yang jelas, melaksanakan penilaian berasaskan risiko dan memastikan tuntutan yang sah tidak tertangguh tanpa alasan munasabah.

2. Masalah aliran tunai apabila pelanggan belum membayar

Ini isu yang sangat penting dalam sektor pembinaan.

Di bawah kaedah perakaunan GST berasaskan invois, liabiliti cukai boleh timbul sebelum pembayaran diterima, tertakluk kepada peraturan masa pembekalan.

Bayangkan kontraktor sudah membeli bahan binaan, membayar pekerja dan menyiapkan projek.

Tetapi pelanggan, khususnya jabatan kerajaan, masih belum menjelaskan invois.

Persoalannya, siapa yang perlu mendahulukan wang untuk membayar GST?

Peniaga mungkin terpaksa menggunakan modal sendiri untuk membayar cukai atas transaksi yang wangnya belum diterima.

Kerajaan perlu mempertimbangkan skim Cash Accounting Scheme untuk perniagaan yang layak, tertakluk kepada kawalan dan syarat tertentu.

3. Kesukaran mendapatkan semula GST bagi hutang lapuk

Bagaimana jika pelanggan tersebut gagal membayar invois?

Lebih buruk lagi, bagaimana jika pelanggan diisytiharkan muflis atau syarikat dibubarkan?

Peniaga bukan sahaja kehilangan hasil jualan, malah mungkin telah menanggung liabiliti GST yang berkaitan dengan transaksi tersebut.

Memang terdapat mekanisme Bad Debt Relief dalam sistem GST terdahulu.

Namun, proses tuntutan, syarat kelayakan dan tempoh pemprosesannya perlu dinilai semula supaya tidak membebankan peniaga yang benar-benar menjadi mangsa hutang tidak berbayar.

4. Kesan GST terhadap harga barang dan perkhidmatan

GST merupakan cukai penggunaan yang dikenakan pada pelbagai peringkat rantaian bekalan, dengan mekanisme kredit cukai input.

Namun, itu tidak bermakna semua harga akan turun atau kekal apabila GST diperkenalkan.

Harga akhir turut dipengaruhi oleh kos operasi, margin keuntungan, tahap persaingan, struktur rantaian bekalan dan layanan cukai terhadap sesuatu barang atau perkhidmatan.

Kerajaan perlu menyediakan simulasi perbandingan GST dan SST berdasarkan bakul perbelanjaan isi rumah yang sama.

Rakyat cuma mahu tahu selepas semua cukai diambil kira, adakah perbelanjaan bulanan mereka akan meningkat atau berkurang?

5. Kos pematuhan kepada perniagaan kecil

GST memerlukan sistem perakaunan, rekod transaksi, pengeluaran invois, pengemukaan penyata dan pengiraan cukai input serta output.

Bagi syarikat besar, perkara ini mungkin boleh diuruskan.

Tetapi bagi peniaga kecil, kos sistem, latihan dan pengurusan dokumentasi boleh menjadi beban tambahan.

Malaysia sebenarnya sudah mempunyai asas infrastruktur digital melalui MyInvois Portal dan MyInvois e-POS yang disediakan secara percuma oleh LHDNM.

Sekiranya GST diperkenalkan semula, kerajaan boleh memanfaatkan infrastruktur sedia ada ini dengan menambah fungsi pengiraan GST input dan output, penyediaan penyata GST serta pemantauan tuntutan bayaran balik.

Dengan cara ini, PKS tidak semestinya perlu membeli perisian perakaunan tambahan semata-mata untuk memenuhi keperluan pematuhan GST.

6. Risiko cukai berganda dan kekeliruan semasa peralihan SST kepada GST

Ini penting kerana sekiranya GST diperkenalkan semula, kerajaan bukan bermula daripada sistem kosong. Perniagaan sudah mempunyai stok, kontrak pembekalan, perjanjian jangka panjang dan transaksi yang tertakluk kepada SST.

Apabila sistem cukai berubah, kerajaan perlu menentukan dengan jelas layanan cukai terhadap:

  • Stok barangan yang telah dibeli dan dikenakan SST.
  • Bahan mentah yang masih berada dalam simpanan.
  • Kontrak pembekalan yang ditandatangani sebelum GST berkuat kuasa.
  • Projek pembinaan yang masih berjalan.
  • Invois yang dikeluarkan sebelum GST tetapi bayaran diterima selepas GST diperkenalkan.

Pengalaman peralihan GST pada 2015 dan pengembalian SST pada 2018 menunjukkan bahawa isu stok, kredit cukai input dan tarikh transaksi memerlukan peraturan peralihan yang terperinci.

7. Pentadbiran dan penguatkuasaan yang perlu diperkemas

Pengalaman lalu juga menunjukkan bahawa kejayaan GST bukan sekadar bergantung kepada undang-undang dan kadar cukai.

Ia bergantung kepada kecekapan pentadbiran, sistem teknologi, pengurusan tuntutan dan keupayaan mengesan ketidakpatuhan.

Jika GST diperkenalkan semula, Malaysia sebenarnya sudah mempunyai kelebihan yang belum wujud ketika pelaksanaan GST pada 2015, iaitu ekosistem e-Invois.

Data e-Invois boleh dimanfaatkan sebagai mekanisme check and balance untuk:

  • Memadankan GST output dan GST input.
  • Mengesan tuntutan bayaran balik yang mencurigakan.
  • Mengenal pasti transaksi yang tidak dilaporkan.
  • Mengesan ketidakpadanan antara invois dan pengisytiharan cukai.
  • Memantau transaksi dalam rantaian bekalan.

Malah, kerajaan boleh mempertimbangkan supaya pentadbiran GST diletakkan di bawah LHDNM, dengan memanfaatkan kepakaran pentadbiran cukai, audit, analisis data dan infrastruktur e-Invois sedia ada.

Jangan ulang kelemahan yang sama

Perdebatan sepatutnya tidak terhenti pada persoalan sistem mana yang mampu mengutip lebih banyak cukai.

Kita perlu melihat kesan sebenar kepada pengguna, peniaga dan ekonomi negara.

Jika GST mahu diperkenalkan semula, pastikan ada pembaharuan dalam pengurusan bayaran balik, perlindungan aliran tunai, pelepasan hutang lapuk, kos pematuhan dan ketelusan pentadbiran.

Gunakan teknologi e-Invois sebagai mekanisme kawalan dan pengesahan.

Akhirnya, ukuran kejayaan sistem percukaian bukan sekadar berapa banyak wang berjaya dikutip kerajaan.

SST atau GST, janji rakyat mendapat manfaat dan boleh berjimat.

Dah selesai baca tentang GST? Satu lagi perkara yang boleh mempengaruhi perbelanjaan bulanan anda ialah insurans/takaful kereta. Kalau kereta hanya digunakan pada hujung minggu, adakah anda patut membayar premium yang sama seperti mereka yang memandu setiap hari?

Baca selanjutnya: Insurans Kereta Ikut Jarak Pandu: Untung Atau Rugi?

Previous Article

Rawatan Gigi Yang Mana Tidak Boleh Dituntut Sebagai Pelepasan Cukai?

Ramai yang tidak tahu bahawa kos rawatan pergigian sebenarnya boleh dituntut sebagai pelepasan cukai pendapatan.

Bukan setakat rawatan hospital, pemeriksaan kesihatan atau pembelian ubat-ubatan tertentu. Rawatan gigi seperti scaling, tampalan dan cabutan gigi juga termasuk dalam senarai perbelanjaan yang layak mendapat pelepasan cukai.

Pelepasan cukai bukan bermaksud kita boleh tuntut semula wang yang dibayar kepada klinik gigi. Sebaliknya, perbelanjaan yang layak akan ditolak daripada pendapatan agregat bagi mengira pendapatan bercukai.

Untuk Tahun Taksiran 2026, pembayar cukai boleh menuntut pelepasan sehingga RM1,000 bagi pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak.

Tetapi tidak semua rawatan gigi layak dituntut.

Ada yang pergi klinik gigi untuk scaling, tampalan, cabutan gigi dan pemeriksaan rutin. Ada juga yang memasang braces, membuat veneer atau menjalani rawatan pemutihan gigi.

Persoalannya, adakah semua perbelanjaan ini boleh dimasukkan dalam e-Filing?

Jawapannya, tidak.

Jom kita lihat rawatan pergigian yang perlu diberi perhatian sebelum membuat tuntutan pelepasan cukai.

1. Pemutihan gigi (Teeth Whitening)

Rawatan pemutihan gigi bertujuan menjadikan gigi kelihatan lebih putih dan menarik.

Ia lazimnya dikategorikan sebagai rawatan kosmetik dan bukannya rawatan pergigian untuk tujuan kesihatan.

Oleh itu, kos pemutihan gigi tidak boleh dituntut sebagai pelepasan cukai.

2. Pemasangan Veneer

Veneer ialah lapisan nipis yang dipasang pada permukaan hadapan gigi untuk memperbaiki warna, bentuk atau penampilan gigi.

Walaupun dilakukan oleh doktor gigi, rawatan ini lazimnya bersifat kosmetik.

Jadi, jangan anggap semua rawatan yang dilakukan di klinik pergigian secara automatik layak mendapat pelepasan cukai.

3. Rawatan Kosmetik Pergigian

Antara rawatan lain yang bertujuan semata-mata untuk memperbaiki penampilan gigi juga perlu diberi perhatian.

Contohnya:

  • Pembentukan semula gigi untuk tujuan kosmetik.
  • Rawatan estetik untuk memperbaiki senyuman.
  • Prosedur kosmetik yang tidak mempunyai indikasi perubatan.

Prinsipnya mudah: rawatan kosmetik semata-mata tidak termasuk dalam skop pelepasan rawatan pergigian.

4. Bagaimana pula dengan pemasangan pendakap gigi (braces)?

Ini antara perkara yang sering mengelirukan pembayar cukai.

Braces atau pendakap gigi digunakan untuk membetulkan kedudukan gigi dan masalah gigitan.

Walaupun rawatan ini dilakukan oleh pakar ortodontik, jangan terus menganggap kos pemasangan braces layak mendapat pelepasan cukai.

Ketetapan Umum LHDN tidak menyenaraikan braces secara khusus sebagai rawatan yang layak.

Jika rawatan mempunyai keperluan klinikal atau perubatan, dapatkan pengesahan LHDN berdasarkan keadaan sebenar rawatan sebelum membuat tuntutan.

Rawatan gigi apa yang boleh dituntut?

Antara rawatan pergigian yang termasuk dalam skop pelepasan cukai ialah:

  • Pemeriksaan pergigian.
  • Scaling dan pembersihan karang gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Cabutan gigi.

Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (MDC) dan disokong dengan resit rasmi.

Boleh tuntut untuk isteri dan anak-anak?

Ya sudah tentu!

Di bawah perenggan 46(1)(g)(iv), Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai layak menuntut pelepasan bagi perbelanjaan pemeriksaan dan rawatan pergigian untuk:

  • Diri sendiri.
  • Suami atau isteri.
  • Anak-anak.

Pelepasan yang dibenarkan adalah terhad kepada RM1,000 secara terkumpul, bukannya RM1,000 untuk setiap individu.

Contohnya:

Anda membelanjakan RM500 untuk scaling dan tampalan gigi sendiri, RM400 untuk rawatan gigi isteri dan RM300 untuk rawatan gigi anak.

Jumlah perbelanjaan ialah RM1,200.

Namun, jumlah maksimum yang boleh dituntut hanyalah RM1,000.

Bagaimana pula rawatan gigi untuk ibu bapa?

Ini lebih menarik.

Rawatan pergigian ibu bapa dan datuk nenek mempunyai kategori pelepasan cukai yang berbeza.

Di bawah perenggan 46(1)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967, perbelanjaan rawatan perubatan dan pergigian ibu bapa serta datuk nenek boleh dituntut sehingga RM8,000 setahun. Ibu bapa atau datuk nenek hendaklah bermastautin di Malaysia.

Antara rawatan yang dinyatakan termasuk:

  • Cabutan gigi.
  • Tampalan gigi.
  • Scaling.
  • Gigi palsu.
  • Rawatan akar (root canal).
  • Rawatan menggantikan gigi.
  • Pembaikan gigi.

Had RM8,000 ini dikongsi dengan perbelanjaan perubatan lain yang layak untuk ibu bapa dan datuk nenek.

Jangan lupa simpan resit!

Sebelum meninggalkan klinik pergigian, pastikan anda mendapatkan resit rasmi yang menyatakan jenis rawatan yang dilakukan.

Pastikan juga maklumat klinik atau doktor gigi dapat dikenal pasti.

Simpan semua resit dan dokumen sokongan selama tujuh tahun kerana LHDN boleh meminta dokumen tersebut sekiranya tuntutan dipilih untuk semakan atau audit.

Satu lagi perkara penting: jika kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh majikan atau syarikat (klinik panel), jangan tuntut semula perbelanjaan yang sama sebagai pelepasan cukai individu.

Bila tarikh akhir untuk mendapatkan pelepasan cukai?

Perbelanjaan yang dibuat dari 1 Januari hingga 31 Disember 2026 akan diambil kira untuk Tahun Taksiran 2026.

Maksudnya, jika anda memang bercadang untuk membuat pemeriksaan atau rawatan gigi, jangan tangguh sehingga tahun hadapan.

Pergi buat pemeriksaan. Kalau ada karang gigi, buat scaling. Kalau ada gigi berlubang, buat tampalan sebelum masalah menjadi lebih serius.

Ajak sekali pasangan dan anak-anak. Jangan lupa periksa keadaan gigi ibu bapa juga.

Kesimpulannya, pelepasan cukai bukan alasan untuk berbelanja secara berlebihan. Tetapi kalau memang ada keperluan rawatan, manfaatkan pelepasan yang telah disediakan oleh kerajaan.

Jaga kesihatan gigi, jaga poket dan jangan biarkan pelepasan cukai yang layak dituntut begitu sahaja.

Sumber: Ketetapan Umum No. 7/2025, Pencukaian Individu Bermastautin Bahagian I – Hadiah atau Sumbangan dan Potongan yang Dibenarkan.