Laporan Wiki Impact: 20 Syarikat Teratas Bursa Malaysia Derma RM129.25 Juta Secara Tunai Pada 2022

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) — 20 syarikat teratas Bursa Malaysia mendermakan RM129.25 juta secara tunai pada 2022, menurut laporan Wiki Impact bertajuk Bursa Top 20: Who’s The Most Charitable?.

Menurut laporan itu Sime Darby Bhd, Tenaga Nasional Bhd, IOI Corp Bhd, Telekom Malaysia Bhd dan CIMB Group Holding Bhd adalah kalangan penyumbang utama pada 2022.

Laporan itu menjelaskan bahawa maklumat tersebut adalah berdasarkan data yang tersedia secara umum, dan terdapat penurunan berbanding dengan jumlah derma pada tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM159.69 juta, mencerminkan corak pemberian korporat yang berubah-ubah.

“Nisbah purata tunai kepada untung bersih bagi kesemua 20 syarikat itu pada masa ini adalah 0.26 peratus, menunjukkan sedikit penurunan daripada purata 0.29 peratus pada 2021,” tambahnya.

Laporan itu memaklumkan bahawa Sime Darby, dengan RM20 juta daripada RM1.10 bilion keuntungan bersihnya disalurkan kepada badan amal serta inisiatif sosial dan alam sekitar yang lain, sekali lagi membezakannya sebagai penyumbang tunai terbesar pada 1.81 peratus (pemberian tunai daripada keuntungan bersih), yang lebih tinggi daripada pemberian tunai berjumlah 1.40 peratus pada 2021.

“Selain itu, Tenaga Nasional Bhd memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM3.46 bilion dan mendermakan kira-kira RM153.71 juta, menyumbang 4.44 peratus daripada pendapatan bersih syarikat,” tambah laporan itu.

Laporan itu menjelaskan 20 syarikat itu mengutamakan pendidikan sebagai bidang utama untuk pemberian amal, membentuk 33.6 peratus daripada sumbangan mereka, dikuti penajaan pada 15.6 peratus dan kebajikan pada 12.5 peratus, manakala sukan menerima bahagian terendah iaitu 1.8 peratus.

Pengasas Bersama Wiki Impact, Terence Ooi berkata 20 syarikat Bursa Malaysia teratas itu menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap tanggungjawab sosial dan alam sekitar korporat, memperluas impaknya kepada pekerja, komuniti dan masyarakat secara amnya.

Beliau berkata laporan itu menetapkan dasar dan visi untuk syarikat lain mencontohi atau mengatasi dari segi sumbangan.

“Pelaporan berasaskan bukti ini bukan sahaja menggambarkan pemberian korporat di Malaysia malah juga memberi peluang untuk menimbulkan perbualan di dalam bilik lembaga pengarah mengenai keperluan dan kepentingan syarikat yang membuat keuntungan untuk menyumbang dalam bentuk tunai dan barangan serta telus mengenai cara mereka membuat perubahan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Menyasarkan Semula Paras MYR4,680 Apabila Rentak Kenaikan Mengukuh

  • Kekalkan pegangan belian

FCPO mengalami permintaan yang kukuh pada hari Rabu dengan meningkat MYR42 untuk ditutup pada paras lebih tinggi sebanyak MYR4,578. Selepas membuka sesi dagangan pada harga lebih rendah iaitu MYR4,527, ia susut ke paras terendah intrahari pada MYR4,491 dan meningkat ke paras tertinggi pada MYR4,583. Sesi dagangan ini ditamatkan dengan corak lilin menaik, yang menandakan kembalinya minat belian. RSI yang bergerak ke atas semula menunjukkan bahawa momentum kembali menyebelahi para pedagang yang meramalkan kenaikan harga.

Mengikut pemerhatian kami, keadaan teknikal yang lebih meluas masih positif, dengan garisan SMA 50 dan 200 hari mengekalkan pergerakan ke atas. Sekiranya komoditi ini bergerak ke paras lebih tinggi, ia membuka ruang untuk penembusan paras rintangan melepasi harga MYR4,680. Hal ini patut menyambung trajektori kenaikan untuk menguji paras MYR4,800. Kami tetap berpegang pada bias dagangan positif melainkan harga jatuh bawah paras sokongan MYR4,400.

Para pedagang disarankan untuk mengekalkan pegangan belian yang dimulakan pada penutupan 6 Mac, iaitu MYR4,367. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,400.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,500 dan diikuti oleh paras MYR4,400. Sebaliknya, paras rintangan terdekat ialah MYR4,680 dan diikuti oleh MYR4,800.