Aset Rizab Rasmi Malaysia Berjumlah US$112.46 Bilion Pada Akhir Ogos – BNM

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) — Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$112.46 bilion pada akhir Ogos 2023, berdasarkan format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Dalam kenyataan pada Jumaat mengenai Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa pada Akhir Bulan Ogos 2023, Bank Negara Malaysia (BNM) turut menjelaskan aset mata wang asing lain berjumlah US$1.7 juta.

“Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir Ogos 2023 tetap boleh guna,” jelasnya.

Menurut BNM mengikut format SDDS IMF, butiran terperinci rizab antarabangsa memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain,  jangkaan serta prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang.

“Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit mata wang asing berjumlah US$17.56 bilion.

“Aliran keluar jangka pendek ini termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negara oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara,” tambahnya.

Bank pusat juga memaklumkan kedudukan jualan hadapan bersih adalah sebanyak US$22.89 bilion pada akhir Ogos 2023, mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang.

Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data itu tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek, jelasnya.

Unjuran aliran masuk mata wang asing berjumlah US$2.23 bilion untuk tempoh 12 bulan akan datang, tambahnya.

Menurut BNM satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negera dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah US$369.5 juta.

“Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, serta tidak mempunyai kemudahan kredit dan kemudahan kredit tanpa syarat yang belum digunakan yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” jelasnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

OPR Dijangka Kekal 2.75 Peratus Pada 2026 Susulan Kekuatan Permintaan Domestik – Kenanga IB

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) — Ketahanan permintaan domestik serta tekanan inflasi yang masih terkawal dijangka membolehkan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras semasa 2.75 peratus sepanjang 2026, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).

Dalam nota penyelidikannya, bank pelaburan itu berkata inflasi keseluruhan kekal sederhana, namun gangguan berterusan di sekitar Selat Hormuz masih berpotensi menimbulkan risiko kenaikan inflasi menerusi peningkatan kos bahan api import, baja dan logistik

“Penstabilan dasar monetari dijangka terus menjadi objektif utama, manakala ketidaktentuan luaran yang semakin meningkat serta kedudukan ringgit yang agak kukuh memberi ruang yang mencukupi kepada bank pusat untuk mengekalkan kadar faedah semasa,” katanya.

Bagi unjuran kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS)-ringgit pada akhir tahun, Kenanga IB mengekalkan sasaran pada RM3.95 berbanding dolar AS, yang didorong bukan semata-mata oleh bilangan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS, sebaliknya oleh jangkaan kelemahan struktur mata wang dolar AS yang lebih meluas.

Unjuran itu turut disokong oleh kepelbagaian rizab antarabangsa, pengagihan semula portfolio pelaburan serta kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kemampanan fiskal AS.

Bank pelaburan itu berkata asas ekonomi domestik kekal menyokong, dengan deposit mata wang asing mencecah paras tertinggi baharu sebanyak RM305.8 bilion pada April, sekali gus mencerminkan potensi besar penukaran kepada ringgit dalam tempoh jangka panjang.

“Bagaimanapun, risiko kini dilihat lebih seimbang. Meskipun ketegangan geopolitik di Asia Barat boleh menyebabkan harga minyak, jangkaan inflasi dan permintaan terhadap dolar AS kekal tinggi untuk tempoh lebih lama, kami berpandangan perkembangan politik domestik semakin menjadi faktor penting yang mempengaruhi sentimen pasaran,” katanya.

— BERNAMA