Bursa Malaysia Sertai Kempen WIW Global Perangi Penipuan Kewangan, Pelaburan

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) — Bursa Malaysia Bhd mengumumkan penyertaannya dalam kempen World Investor Week (WIW) global, yang bermatlamat memerangi penipuan kewangan dan pelaburan, sebagai sebahagian daripada usaha yang berterusan untuk mendidik para pelabur.

Bursa itu menyatakan bahawa WIW, yang berlangsung dari 2 hingga 8 Okt ini, merupakan kempen yang diterajui oleh Organization of Securities Commissions (IOSCO) untuk menggalakkan pendidikan dan memberi perlindungan kepada para pelabur.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bursa Malaysia berkata tahun ini merupkan tahun keempat berturut-turut IOSCO dan World Federation of Exchanges bekerjasama dalam kempen  “Ring the Bell for Financial Literacy”.

Bursa Malaysia berkata ia akan membunyikan loceng pada pembukaan pasaran pada 4 Okt, 2023, sebagai tanda bermulanya bengkel penipuan kewangan dan pelaburan itu, bengkel separuh hari yang akan membincangkan kebimbangan yang mendesak mengenai penipuan kewangan dan pelaburan.

“Pakar-pakar akan membincangkan cabaran semasa termasuk selok-belok jenayah siber, peningkatan ancaman yang ditimbulkan oleh penipuan media sosial, kerumitan yang berkaitan dengan penipuan perbankan, serta penggunaan teknologi dalam mencipta penipuan yang canggih,” katanya.

Penceramah jemputan termasuk wakil dari Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Persatuan Bank-Bank Malaysia dan Ensign InfoSecurity, katanya.

“Kesedaran tentang penipuan kewangan dan penipuan pelaburan adalah komponen penting dalam program celik kewangan 2 Sens-Ability Bursa Malaysia.

“Program pendidikan pelabur itu memberi tumpuan kepada pengurusan wang peribadi, belanjawan, simpanan, penjimatan pelaburan dan penipuan kewangan, untuk membantu individu dan komuniti meningkatkan kesejahteraan kewangan mereka,” katanya.

Program ini menganjurkan 109 sesi, memanfaatkan seramai 16,174 individu sejak ia dilancarkan pada Januari 2021.

Mengulas mengenai inisiatif itu, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Muhamad Umar Swift  berkata Bursa Malaysia berbesar hati untuk menyokong kempen global yang menyokong pendidikan dan kesedaran pelabur sebagai cara untuk meningkatkan keyakinan pelabur dalam pasaran.

“Sama seperti negara lain, Malaysia juga telah menyaksikan peningkatan dalam penipuan kewangan, yang menimbulkan risiko besar kepada orang ramai.

“Oleh itu, adalah penting agar pelabur dilengkapi dengan pendidikan asas kewangan yang diperlukan untuk membuat keputusan kewangan dan melindungi diri mereka daripada skim penipuan,” katanya.

Bengkel itu akan diadakan dari 8 pagi hingga 12.15 tengah hari di Bursa Malaysia. Orang ramai dijemput hadir dan mendaftar untuk bengkel percuma ini melalui pautan ini: https://forms.office.com/r/cJ2DjnupJX.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.