Pertumbuhan Ekonomi 2023 Malaysia Dijangka Menyederhana Kepada 3.9 Peratus — Bank Dunia

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) — Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyederhana kepada    3.9 peratus pada 2023 daripada unjuran 4.3 peratus pada April tahun ini di tengah-tengah penyusutan permintaan luar, demikian menurut Bank Dunia.  

Bagaimanapun, permintaan domestik dijangka terus menyokong daya tahan ekonomi Malaysia tahun ini manakala ruang fiskal yang terhad kekal menjadi cabaran utama kepada negara, kata ketua ekonomi Bank Dunia Apurva Sanghi.

“Pertumbuhan bagi tahun ini sebenarnya 0.4 mata peratusan lebih rendah daripada unjuran kami sebelum ini disebabkan oleh faktor-faktor yang tidak mengejutkan — pertumbuhan global yang lebih rendah dan permintaan luar yang lemah pada tahun ini.

“Ia dapat dilihat daripada angka eksport Malaysia, yang menguncup sebanyak 3.3 peratus (pada suku pertama) dan 9.4 peratus (pada suku kedua) tahun ini,” katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman Kemas Kini Oktober Ekonomi Bank Dunia Asia Timur dan Pasifik (EAP) Oktober 2023 dan bahagian pertama Malaysia Economic Monitor (MEM) bagi bulan September 2023, di sini, hari ini.

Apurva berkata ekonomi Malaysia sensitif terhadap perubahan permintaan luar, terutamanya berkaitan rakan dagang terbesar negara, iaitu Amerika Syarikat (AS) dan China.

Bank Dunia menganggarkan bahawa penurunan satu mata peratusan dalam kadar pertumbuhan AS boleh mengurangkan pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 0.82 mata peratusan, dan penurunan 1.0 mata peratusan dalam kadar pertumbuhan KDNK China boleh menyeret turun KDNK Malaysia sebanyak 0.45 mata peratusan.

“Bukan hanya faktor luaran yang mempengaruhi pertumbuhan Malaysia tetapi juga faktor domestik, termasuk kesan asas daripada pertumbuhan tinggi tahun lepas dan keadaan cuaca yang ekstrem. Keadaan cuaca panas telah menjejaskan pengeluaran pertanian pada awal tahun ini.

“Ia memberi implikasi, dan perlu diingat bahawa kebanyakan pengeluaran beras tertumpu di bahagian wilayah utara Malaysia. Keadaan cuaca ekstrem boleh memberi kesan yang tidak seimbang kepada pertanian dan keterjaminan makanan,” katanya.

Walaupun pertumbuhan ekonomi Malaysia telah melepasi paras sebelum pandemik, Apurva berkata kadar kemiskinan mutlak di Malaysia berada pada 6.2 peratus dan masih tinggi daripada kadar kemiskinan sebelum pandemik sebanyak 5.6 peratus.

“Tidak semua isi rumah mengalami pemulihan yang seragam. Keluaran dalam negara kasar (KDNK) telah melepasi paras sebelum pandemik, tetapi hampir setengah juta isi rumah kekal berada di bawah garis kemiskinan.

“Manfaat pertumbuhan tidak tersebar sepenuhnya kerana kira-kira setengah juta isi rumah kekal di bawah garis kemiskinan,” katanya.

Menurutn Bank Dunia, kira-kira 490,000 isi rumah Malaysia masih terdedah dan bergelut dengan kesan COVID-19, justeru, negara perlu menekankan kepentingan program perlindungan sosial yang berkesan dan disasarkan dengan baik.

Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang kepada 4.3 peratus pada 2024, katanya.

Industri Semikonduktor, FDI dan ringgit

Apurva berkata sektor semikonduktor Malaysia merupakan salah satu penyumbang utama kepada ekonomi kerana sektor itu membentuk lebih separuh daripada jumlah eksport industri elektrik dan elektronik dan 22 peratus daripada jumlah eksport negara.

“Apa yang kami dapati ialah ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China telah meningkatkan eksport semikonduktor ke China dan juga AS.

“Menariknya, ketegangan perdagangan itu juga telah meningkatkan import semikonduktor Malaysia dari China, tetapi ini boleh menjadi faktor risiko pada masa hadapan jika sekatan AS mengganggu bekalan China dan seterusnya memberi kesan kepada keupayaan Malaysia untuk mengeluarkan lebih banyak produk semikonduktor berkaitan hiliran,” katanya.

Mengenai pelaburan langsung asing (FDI), Apurva berkata nisbah pelaburan Malaysia berbanding KDNK secara konsisten menurun sejak Krisis Kewangan Asia daripada paras tertinggi melebihi 40 peratus daripada KDNK kepada di bawah 20 peratus pada hari ini.

“Kami percaya Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 akan memberi dorongan baharu kepada FDI dan pelaburan langsung domestik, tetapi terdapat juga keperluan untuk meliberalisasikan perkhidmatan, yang akan membantu NIMP 2030 mencapai objektifnya,” katanya.

Apurva juga menggesa Malaysia mengurangkan jurang tenaga kerjanya untuk terus menarik aliran masuk FDI.

Mengenai ringgit, pakar ekonomi itu berkata mata wang tempatan menyusut sebanyak 15 peratus berbanding dolar AS dari Januari 2021 hingga Jun 2023. 

Beliau berkata tiga penyebab utama kejatuhan nilai ringgit ialah harga minyak, perbezaan kadar faedah dan kedudukan pelaburan antarabangsa.

“Antara tiga faktor itu, pengetatan Dasar Monetari AS adalah pemacu nombor satu yang membawa kepada penurunan nilai ringgit,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Signature Memperkasa Pusat Kechara Soup Kitchen Di Jalan Imbi Untuk Memperluas Impak Komuniti

KUALA LUMPUR: Signature International Berhad (“Signature”) hari ini memperkenalkan Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1 yang pertama seumpamanya diterajui oleh korporat, hasil kerjasama bersama Kechara Soup Kitchen (KSK).

Inisiatif ini menyaksikan pusat KSK di Jalan Imbi dinaik taraf menjadi sebuah kemudahan khusus yang menggabungkan pengagihan makanan dengan pemerkasaan komuniti.

Inisiatif ini mencerminkan kepercayaan Signature bahawa perniagaan mampu mewujudkan impak sosial yang lebih besar dengan menerapkan kepakaran yang telah dibangunkan selama bertahun-tahun.

Bagi Signature, yang telah memberi tumpuan kepada penyediaan ruang kediaman berfungsi selama lebih tiga dekad, projek ini memberi peluang untuk menyumbangkan keupayaan dalam reka bentuk, pembuatan, pemasangan serta pengurusan projek bagi menyokong keperluan KSK yang terus berkembang.

Dilaksanakan menerusi Signature Cares, platform tanggungjawab korporat jangka panjang Kumpulan, inisiatif ini memperluaskan kepakaran Signature melangkaui ruang kediaman dan ke dalam komuniti.

Signature mereka bentuk semula pusat Jalan Imbi berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut, di samping mewujudkan ruang yang mampu menyokong program pemerkasaan pada masa hadapan.

Selama hampir dua dekad, pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi telah menjadi salah satu hab komuniti utama organisasi tersebut, menyediakan makanan, bantuan kebajikan serta sokongan kepada individu dan keluarga yang berdepan kesukaran.

Seiring dengan perkembangan usaha jangkauan komuniti, keperluan terhadap sebuah kemudahan yang mampu menyokong pengagihan makanan secara lebih cekap serta program yang melengkapkan penerima manfaat dengan kemahiran praktikal untuk mencapai kebergantungan diri yang lebih tinggi turut meningkat.

Dengan pengalaman lebih 30 tahun sebagai penyedia penyelesaian Total Home & Living terkemuka di Malaysia, Signature telah mereka bentuk semula dan menaik taraf keseluruhan pusat tersebut berdasarkan keperluan operasi organisasi tersebut bagi menambah baik aliran kerja, fungsi ruang serta pengalaman sukarelawan, kakitangan dan penerima manfaat.

Teras utama usaha pemerkasaan ini ialah Pusat Dapur Pengagihan Makanan & Pemerkasaan 2-dalam-1, sebuah konsep inovatif yang membolehkan ruang khusus yang sama menjalankan dua fungsi saling melengkapi. Dalam operasi harian, pusat ini menyokong penyediaan dan pengagihan makanan secara lebih cekap kepada komuniti yang memerlukan.

Selain perkhidmatan penyediaan makanan, ruang ini turut berfungsi sebagai pusat pemerkasaan yang membolehkan program memasak, membakar serta pembangunan kemahiran lain dijalankan bagi melengkapkan penerima manfaat dengan kebolehan praktikal, meningkatkan keyakinan diri dan membuka laluan ke arah kehidupan yang lebih berdikari dalam
jangka panjang.

Reka bentuk fleksibel ini membolehkan KSK memaksimumkan penggunaan satu kemudahan sepanjang hari, memenuhi keperluan komuniti semasa sambil mewujudkan peluang untuk pelaksanaan program pemerkasaan jangka panjang dalam ruang yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Signature, Encik Lau Kock Sang, berkata projek ini menunjukkan bagaimana perniagaan boleh mencipta perubahan bermakna dengan memanfaatkan kepakaran yang dimiliki.

“Apabila kami pertama kali mengunjungi pusat Kechara Soup Kitchen di Jalan Imbi, kami melihat sebuah organisasi yang telah berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang memerlukan dengan penuh dedikasi selama lebih 20 tahun.

Persoalan bagi kami bukanlah sama ada kami perlu membantu, tetapi bagaimana kami boleh menyumbang dengan cara yang paling bermakna menggunakan kepakaran yang telah kami bina selama lebih tiga dekad.

“Kepercayaan tersebut menjadi asas kepada Signature Cares. Setiap perniagaan memiliki keupayaan yang melangkaui produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Apabila keupayaan tersebut dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan komuniti sebenar, ia mampu mencipta nilai berpanjangan yang jauh melangkaui satu-satu projek,” katanya.

Pengurus Besar Kechara Soup Kitchen, Encik Justin Cheah Kok Leong, berkata kemudahan yang telah dinaik taraf ini merupakan pencapaian penting dalam usaha berterusan organisasi tersebut untuk membantu komuniti yang memerlukan.

“Pusat yang telah dinaik taraf ini membolehkan kami menyediakan dan mengagihkan makanan dengan lebih cekap, di samping menyediakan persekitaran khusus untuk program yang membantu penerima manfaat membina kemahiran praktikal serta keyakinan diri. Ia memberikan kami fleksibiliti yang lebih besar untuk memenuhi keperluan semasa sambil melabur dalam usaha pemerkasaan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Sumbangan Bank Makanan Signature (Signature Food Bank Donation Initiative), para Signatorians turut bersama-sama menyumbangkan barangan makanan kering asas berdasarkan senarai keperluan yang disediakan oleh Kechara Soup Kitchen.

Barangan yang dikumpulkan akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen bagi menyokong usaha berterusan organisasi tersebut dalam membantu komuniti yang memerlukan.

Kerjasama ini menandakan permulaan kepada perkongsian jangka panjang antara Signature dan Kechara Soup Kitchen, dengan kedua-dua organisasi meneroka peluang bagi inisiatif sukarelawan, aktiviti penglibatan komuniti serta program pemerkasaan pada masa hadapan di bawah Signature Cares.