PHB, MAM Umum Agihan Pendapatan AHB 2.5 Sen Seunit Bagi Tempoh 6 Bulan

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) — Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan akhir dana Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebanyak 2.5 sen seunit bagi tempoh enam bulan berakhir 30 September 2023.

PHB dalam satu kenyataan hari ini berkata pengagihan pendapatan itu melibatkan pembayaran berjumlah RM112 juta kepada kira-kira 73,000 pemegang unitnya.

“Pengagihan itu terdiri daripada pendapatan asas sebanyak 2.25 sen seunit dan pengagihan bonus sebanyak 0.25 sen seunit yang dibiayai oleh PHB, penaja dana AHB, untuk diagihkan kepada 500,000 unit pertama untuk setiap pemegang unit.

“Pendapatan yang diterima oleh pemegang unit tidak hanya dikecualikan daripada cukai, tetapi ia juga telah dizakatkan. Pengagihan pendapatan tersebut akan dikreditkan terus ke akaun bank atau akaun unit amanah AHB pada 13 Oktober 2023,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohamad Damshal Awang Damit berkata pengagihan pembayaran dividen yang kompetitif itu adalah bukti keupayaan kumpulan untuk menggerakkan landskap kewangan yang sentiasa berubah dan memberikan pulangan yang konsisten kepada pelabur unit AHB.

“Kami kekal komited untuk mengurus portfolio hartanah AHB dengan teliti dan melaksanakan strategi bertujuan meningkatkan prestasinya.

“Ini termasuk menyepadukan penyelesaian kewangan berinovasi dalam AHB, membentuk hubungan strategik untuk meluaskan jalinan pengedaran dan memanfaatkan aktiviti alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk mencipta nilai holistik,” katanya.

Beliau berkata pencapaian AHB adalah dedikasi PHB untuk membantu pemegang unit dalam menjana kekayaan melalui pemilikan langsung aset hartanah berkualiti.

Pada April 2023, PHB dan MAM mengumumkan pengagihan pendapatan interim sebanyak 2.20 sen seunit serta pengagihan bonus sebanyak 0.30 sen seunit untuk tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2023.

Secara keseluruhannya, jumlah pengagihan pendapatan AHB bagi tempoh 12 bulan berakhir 30 September 2023 adalah sebanyak 5.0 sen seunit yang melibatkan pembayaran berjumlah RM215 juta.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Mendatar Di Bawah Garisan SMA 50 Hari

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO menurun MYR2 untuk ditutup pada paras MYR4,535 selepas tekanan jualan muncul berhampiran garisan SMA 50 hari. Pada Jumaat, komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,547. Ia kemudiannya berayun antara MYR4,570 dan MYR4,518 sebelum menutup dagangan pada paras MYR4,535. Pergerakan harga ini mengesahkan bahawa garisan SMA 50 hari terus menjadi paras rintangan overhed.

Selagi komoditi ini berada di bawah garisan purata bergerak jangka sederhana ini, mereka yang menantikan penurunan harga akan mempunyai kelebihan teknikal. Sementara itu, paras rintangan kukuh dijangka berada pada paras MYR4,700. Dalam keadaan pasaran menurun, paras rintangan kukuh dan akan menghalang kenaikan harga komoditi ini. Kami akan terus berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO menembusi paras ambang MYR4,700 tersebut.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan terdekat sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840