Goldman Sachs Lawan Malaysia: Kerajaan Akan Beri Respon Ikut Rangka Undang-Undang Ditetapkan – Johari Ghani

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) — Kerajaan akan memberi respon mengikut rangka kerja undang-undang ditetapkan dan memastikan kepentingan rakyat Malaysia terpelihara terhadap tindakan Goldman Sachs mahu menyelesaikan pertikaian 1Malaysia Development Bhd (1MDB) secara timbang tara.

“Jawatankuasa Pasukan Petugas 1MDB agak terkejut dengan tindakan Goldman Sachs ini kerana kedua-dua pihak masih dalam peringkat perbincangan untuk menyelesaikan sebarang pertikaian secara baik.

“Bagaimanapun susulan perkembangan terbaharu tersebut, kerajaan Malaysia bersedia untuk memberikan respon terhadap perkara itu dan memastikan proses ini dilakukan dengan teliti dan mengikut rangka kerja undang-undang yang ditetapkan dan memastikan kepentingan rakyat Malaysia terpelihara,” kata Pengerusi Pasukan Petugas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) (pemulihan aset), Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Bloomberg melaporkan bahawa Goldman Sachs Group Inc menyaman Malaysia di mahkamah United Kingdom ketika berlaku percanggahan mengenai penyelesaian yang dikaitkan dengan peranannya dalam skandal dana pelaburan 1MDB.

“Kami memfailkan timbang tara terhadap kerajaan Malaysia kerana melanggar kewajipannya untuk mengkreditkan aset dengan sewajarnya terhadap jaminan yang diberikan oleh Goldman Sachs dalam perjanjian penyelesaian kami dan untuk mendapatkan semula aset lain,” laporan itu memetik seorang jurucakap bank yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat.

Johari berkata tindakan Goldman Sachs memulakan prosiding timbang tara juga dilihat sebagai cubaan untuk mengalihkan perhatian daripada kewajipan bank itu untuk melakukan pembayaran interim sebanyak AS$250 juta (AS$1=RM4.72) di bawah perjanjian penyelesaian tersebut.

Perjanjian penyelesaian dan lanjutan tarikh akhir

Untuk memastikan orang ramai dimaklumkan sepenuhnya mengenai situasi semasa, beliau menyediakan kronologi perkara penting yang berlaku berkaitan perjanjian penyelesaian Goldman Sachs:

Perjanjian Penyelesaian Goldman Sachs telah ditandatangani pada 18 Ogos 2020, terdiri daripada dua bahagian — pembayaran tunai sebanyak AS$2.5 bilion yang dibayar 10 hari selepas menandatangani perjanjian penyelesaian; dan jaminan pemulihan aset sebanyak AS$1.4 bilion oleh Goldman Sachs dalam tempoh lima tahun dari tarikh perjanjian penyelesaian.

Di bawah jaminan pemulihan aset, jika kerajaan Malaysia tidak mendapatkan semula jumlah AS$500 juta menjelang 18 Ogos 2022 (dua tahun selepas perjanjian penyelesaian ditandatangani), Goldman Sachs perlu membayar AS$250 juta sebagai bayaran interim kepada kerajaan.

Pada 18 Ogos 2022, perakaunan yang disediakan oleh kerajaan kepada Goldman Sachs menunjukkan bahawa ia tidak mendapat semula AS$500 juta, justeru itu kerajaan berhak untuk menerima bayaran interim sebanyak AS$250 juta, bagaimanapun ia dipertikaikan oleh Goldman Sachs.

Perjanjian penyelesaian tersebut membenarkan kedua-dua pihak untuk mengadakan perbincangan bagi tempoh tiga bulan sekiranya timbul pertikaian berkaitan dengan perjanjian penyelesaian berkenaan.

Lanjutan masa yang berasingan telah diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada Goldman Sachs apabila tarikh akhir ditetapkan pada 18 Ogos 2022 telah tamat tempoh dalam usaha untuk menyelesaikan pertikaian itu secara baik.

Johari berkata empat lanjutan tempoh yang diberikan adalah seperti berikut:

(a) Goldman Sachs meminta lanjutan masa selama tiga bulan pada 8 September 2022, dan lanjutan tempoh ini tamat tempoh pada 8 Disember 2022 (Lanjutan masa pertama);

(b) Pada 8 Disember 2022, lanjutan masa telah diberikan dan ia tamat tempoh pada 8 Februari 2023

(Lanjutan masa kedua);

(c) Pada 8 Feb 2023, lanjutan masa telah diberikan sekali lagi, dan ia tamat tempoh pada 8 Mei 2023 (Lanjutan tempoh ketiga); dan

(d) Lanjutan masa terakhir diberikan pada 8 Ogos 2023 dan tamat tempoh ditetapkan pada 8 November 2023

(Lanjutan masa keempat).

Johari berkata jika penyelesaian tidak dicapai antara pihak terlibat pada tarikh akhir, 9 November 2023, kerajaan boleh memulakan prosiding timbang tara berhubung pembayaran interim sebanyak AS$250 juta.

“Ketika ini dan seperti yang dinyatakan di atas, pihak yang terlibat masih dianggap berada dalam peringkat perbincangan untuk menyelesaikan sebarang pertikaian secara baik dan sebagai pihak yang terkilan, Pasukan Petugas 1MDB melihat permulaan prosiding timbang tara Goldman Sachs sebagai tindakan pramatang dan tanpa pertimbangan sewajarnya dengan prasyarat yang diperlukan,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Asia Barat Kembali Tegang, Tuntut Malaysia Tingkat Usaha Bendung Ketirisan

KUALA LUMPUR: Situasi antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang kembali tegang meningkatkan semula tekanan terhadap harga minyak serta kebimbangan berterusan terhadap rantaian bekalan dan kos sara hidup akan datang.

Penganalisis melihat kesan berpanjangan konflik akan terus memberi tekanan terhadap harga minyak, rantaian bekalan dan kos sara hidup, justeru Malaysia sebagai ekonomi terbuka yang bergantung kepada perdagangan, tenaga, import makanan tertentu dan rantaian bekalan antarabangsa kekal terdedah kepada gangguan luar.

Sehubungan itu, penganalisis berpendapat bahawa langkah sedia ada yang dilaksanakan kerajaan perlu diperkukuh dengan strategi jangka panjang yang bukan saja menangani kesan segera kenaikan kos, malah membina sistem ekonomi yang kurang bergantung kepada sumber luar.

Antara langkah utama yang dicadangkan ialah memperkemas pelaksanaan rasionalisasi subsidi supaya bantuan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan, khususnya ketika harga komoditi global terus tidak menentu.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mustazar Mansur, berkata pemberian subsidi bahan api perlu menggunakan pendekatan lebih bersasar berdasarkan keadaan kewangan sebenar rakyat, termasuk mengambil kira pendapatan boleh guna, jumlah tanggungan keluarga serta komitmen kewangan.

Beliau berkata, pendekatan itu dilihat dapat mengurangkan ketirisan apabila golongan berpendapatan tinggi tidak lagi menerima manfaat subsidi yang sama seperti kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana yang lebih terkesan dengan peningkatan kos kehidupan.

“Bagi saya, pemberian subsidi kena betul-betul bersasar. Elakkan kepada golongan maha kaya dan golongan yang berpendapatan tinggi dan mereka perlu membayar harga minyak pada harga tanpa subsidi.

“Penentuan golongan ini perlu berdasarkan kepada data atau sistem bersepadu yang mengikut pendapatan boleh guna atau pendapatan bersih selepas mengambil kira tanggungan anak-anak mereka di mana mereka berada, bekerja dan juga jumlah tanggungan dari segi liabiliti, hutang dan sebagainya,” katanya kepada BH.

Ketegangan di Asia Barat memuncak selepas serangan AS ke atas selatan Iran dan tindakan balas Tehran yang menyasarkan aset ketenteraan AS di beberapa lokasi di rantau Teluk.

Dilaporkan komando tertinggi tentera Iran mengumumkan penutupan penuh Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak dunia itu kepada semua kapal susulan serangan AS.

Pada sesi dagangan semalam, niaga hadapan Brent meningkat AS$1.48 atau 1.59 peratus kepada AS$94.58 setong pada 0243 GMT, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS meningkat AS$1.71 atau 1.90 peratus kepada AS$91.74.

Mengulas lanjut, Mustazar yang juga Timbalan Pengarah Eksekutif (Pengurusan Fasiliti dan Digital), Pusat Pengurusan Penjanaan UKM berkata, kerajaan disaran mempercepatkan peralihan kepada sumber tenaga alternatif seperti kenderaan elektrik (EV), tenaga solar serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Beliau berkata, langkah menyediakan insentif cukai, rebat atau kemudahan pembiayaan kepada rakyat yang beralih kepada penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) dilihat mampu mengurangkan kebergantungan kepada petrol dan diesel dalam tempoh panjang.

Katanya, selain membantu isi rumah mengawal perbelanjaan tenaga, peralihan itu juga dapat memperkukuh agenda kelestarian negara serta mengurangkan risiko kejutan harga minyak global terhadap ekonomi domestik.

“Penggunaan tenaga solar di rumah dan tempat kerja, selain penggalakan penggunaan pengangkutan awam, boleh menjadi antara pilihan praktikal untuk rakyat mengurangkan kos harian mereka,” katanya.

Bagi industri pula, Mustazar mencadangkan supaya kerajaan mengadakan rundingan bersama pemain industri bagi mencari sumber alternatif bahan mentah dari negara yang kurang terkesan akibat konflik geopolitik.

Beliau berkata, pendekatan meja bulat antara kerajaan dan industri boleh membantu mengenal pasti penyelesaian lebih cepat sebelum tekanan kos merebak kepada pengguna akhir.

Katanya, sektor industri dan perniagaan perlu diberi perhatian kerana peningkatan kos bahan mentah, logistik dan tenaga boleh memberi kesan besar kepada operasi syarikat.

“Sekiranya tekanan kos berterusan tanpa intervensi, syarikat mungkin terpaksa mengurangkan operasi bagi mengekalkan kelangsungan perniagaan, sekali gus memberi risiko kepada peluang pekerjaan rakyat,” katanya.

— Berita Harian