Abang Johari Nafi Anaknya Mahu Ambil Alih MYAirline

KUCHING, 12 Okt (Bernama) – Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini menafikan laporan sebuah akhbar yang mengaitkan anaknya, Abang Abdillah Izzarim, sebagai bakal pelabur baharu MyAirline Sdn Bhd (MYAirline).

Syarikat penerbangan tersebut pada pagi ini telah memaklumkan untuk menggantung operasinya berikutan mengalami masalah kewangan.

Bercakap kepada pemberita di sini, Abang Johari berkata spekulasi yang dibuat oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris itu berkemungkinan timbul ekoran kehadiran Abang Abdillah pada satu sesi dialog syarikat di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Tak…(sebenarnya) apa yang berlaku ialah anak saya ke sana bersama kawannya dan beliau pada waktu itu ada dialog syarikat. Oleh itu, mereka (media) membuat spekulasi itu setelah nampak kehadirannya.

“Anak saya jadi serba salah. Hendak berjalan (bergerak) pun susah, semua (pergerakannya) diperhatikan orang. Bagi saya, ini tidak adil,” kata beliau.

Pada masa sama, Abang Johari turut menyangkal spekulasi mengenai kemungkinan MYAirline menjadi sebuah syarikat penerbangan milik Sarawak.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri itu masih menumpukan usaha rundingan bagi pengambilalihan MASWings yang juga anak syarikat Malaysia Airlines Berhad.

“Kita fokus dengan (pengambilalihan) MASWings. Usaha itu sedang dalam proses perbincangan sekarang…ianya lebih kepada perincian butiran. Hanya itu saja,” kata beliau.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Shell Malaysia Wujudkan Hab Pengecas Berprestasi Tinggi 360kW Pertama Di Malaysia

GENTING HIGHLANDS, 4 Dis (Bernama) — Shell Malaysia Trading Sdn Bhd akan mewujudkan hab pengecas kenderaan elektrik (EV) yang terdiri daripada 10 ruang pengecasan lengkap di Resorts World Genting, bagi menyediakan akses EV di destinasi peranginan utama di Malaysia itu, menjelang awal tahun hadapan.

Menurut Shell Malaysia, hab lengkap dengan pengecas berprestasi tinggi (HPC) ultra-pantas 360kW itu dikuasakan oleh Shell Recharge, penyedia penyelesaian pengecasan EV milik Shell.

“Menerusi kerjasama strategik dengan Porsche Malaysia dan Genting Malaysia Bhd, hab EV ini akan menjadi penambahan baharu kepada rangkaian Shell Recharge EV sedia ada sebanyak 136 stesen pengecas yang terletak di kawasan strategik bandar utama dan di lebuh raya Semenanjung Malaysia, menghubungkan Singapura, Malaysia dan Thailand,” jelasnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, pada Isnin.

Shell Malaysia memaklumkan bahawa hab pengecasan semua-dalam-satu itu akan memuatkan 10 pengecas yang terdiri daripada empat pengecas berprestasi tinggi 360kW dan enam pengecas AC 22kW.

Semua pengecas disertakan dengan penyambung pengecasan CCS Type 2, yang membolehkan pemandu EV menikmati pengalaman pengecasan yang sangat pantas di puncak bukit, tambahnya.

Sementara itu, pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Shell Recharge dan Genting Malaysia mengenai projek hab itu di sini, Pengurus Besar Mobiliti, Shell Malaysia, Seow Lee Ming berkata hab HPC di Resorts World Genting akan menjadi permulaan bagi pengembangan e-mobiliti syarikat ke pantai timur.

“(Dalam melangkah maju), kami akan terus menambah (ruang pengecasan EV Shell di Semenanjung Malaysia) memandangkan e-mobiliti adalah antara bidang yang terlibat memandangkan kami berusaha ke arah masa depan yang mampan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian MoU itu.

Seow berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Porsche Malaysia dan syarikat berasaskan pembuat peralatan tulen (OEM) lain untuk keperluan dan penggunaan terminal pengecasan rumah EV.

“Pada masa ini, terminal pengecasan rumah bukan sebahagian daripada perkara yang terlibat. Ia bergantung kepada keperluan dan sama ada mampan untuk mengecas di rumah namun, kami bekerjasama dengan banyak OEM mengenai perkara ini,” katanya.

— BERNAMA