Firma China, Longi Labur RM1.8 Bilion Bina Kilang Fotovoltan Di Serendah

HULU SELANGOR, 17 Okt (Bernama) — Longi Green Energy Technology Co dari China, membuat pelaburan berjumlah RM1.8 bilion bagi membina tiga kilang pengeluaran produk fotovoltan di Serendah, Selangor, yang dijangka siap menjelang Mac 2024. 

Longi merupakan pengeluar panel solar tersenarai dan terbesar China yang menumpukan usaha pengeluaran wafer silikon monohabluran.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata seiring dengan jangkaan pasaran fotovoltan mencatat pertumbuhan memberangsangkan iaitu unjuran lonjakan 29 peratus setahun, adalah wajar serta membanggakan apabila Malaysia berada di kedudukan hadapan dalam usaha hijau berkenaan.

“Sejajar dengan unjuran output Longi sebanyak 8.8 gigawatt apabila (kemudahan kilang) siap kelak, ini akan menempatkan kedudukan negara kita di peringkat global dalam aspek tenaga bersih dan mampan dengan pertumbuhan yang mengagumkan,” katanya pada majlis perasmian Kilang Modul Longi Malaysia di Serendah dekat sini, hari ini.

Ucapan beliau telah dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pelaburan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Bahria Mohd Tamil.

Tengku Zafrul turut memuji komitmen padu Longi Green Energy terhadap pertumbuhan Malaysia dengan bertindak meningkatkan tenaga kerja dalam kalangan rakyat negara ini serta memilih Kuala Lumpur sebagai ibu pejabatnya bagi Asia Pasifik.

“(Tindakan) Longi ini hanya membuktikan lagi keyakinannya terhadap potensi besar yang ditawarkan oleh negara kita,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.