Sistem AP Perlu Dikekalkan Untuk Sokong Industri Tempatan – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) — Sistem permit import (AP) terhadap kenderaan bermotor perlu dikekalkan bagi memastikan keutamaan diberikan kepada industri tempatan dan pembangunan industri automotif yang inklusif seiring aspirasi Dasar Automotif Nasional 2020.

Ia juga bagi mengekang lambakan kenderaan import sepenuhnya (CBU) termasuk kenderaan elektrik (EV) yang tidak mematuhi piawaian keselamatan dan berbahaya kepada pengguna jalan raya, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Justeru, langkah mengenakan AP ke atas CBU masih relevan dan perlu dikekalkan berdasarkan justifikasi tambahan, katanya sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab persoalan dibangkitkan Lim Lip Eng (DAP-Kepong) berhubung langkah kerajaan untuk tidak memansuhkan sistem AP, mengecualikan cukai termasuk duti eksais dan import terhadap semua jenis EV termasuk kenderaan komersial dan motosikal.

Tengku Zafrul berkata sistem AP merupakan satu mekanisme pengumpulan data dan maklumat bagi tujuan pengawalseliaan, penambahbaikan dasar dan garis panduan semasa bagi pembangunan sektor automotif di Malaysia.

Pada masa, ia juga memastikan syarat kenderaan kenderaan CBU baharu atau terpakai mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan MITI.

Seperti diumumkan dalam Belanjawan 2023, pengecualian duti import dan duti eksais disediakan oleh kerajaan adalah terpakai kepada semua jenis EV termasuk komersial dan motosikal. 

EV yang diimport dalam bentuk CBU, insentif ini terpakai sehingga 2025 dan bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) jenis EV pula ia adalah sehingga tahun 2027. 

Selain itu, pengecualian cukai jualan sepenuhnya diberikan kepada EV CKD sehingga 2027. 

Bilangan EV berdaftar di Malaysia sejak 2011 sehingga September 2023 secara khususnya jenis kenderaan elektrik bateri (BEV) termasuk semua jenis kenderaan komersial dan motosikal mencecah 12,000 unit. 

EV berdaftar berjumlah 3,000 unit pada 2022 dan 7,500 unit sehingga September 2023 berbanding purata 300 unit bagi tahun-tahun sebelumnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

MICCI Tekankan Kepentingan Daya Tahan, KeupayaanMenyesuaikan Diri dan Peluang Baharu Ketika Ketidaktentuan Global Membentuk Semula Landskap Perniagaan

Kuala Lumpur – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) menekankan kepentingan daya tahan, keupayaan menyesuaikan diri serta kerjasama erat antara sektor awam dan swasta ketika perniagaan berdepan dengan persekitaran operasi global yang semakin kompleks, dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan perubahan landskap ekonomi semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Majlis Makan Tengah Hari Tahunan MICCI ke-53 yang berlangsung semalam.

Acara tersebut menampilkan ucapan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Tuan Sim Tze Tzin, yang turut menyertai sesi dialog bersama Puan Zalina Zainol, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan) di MIDA dan Puan Noor Hayati Abu Noh, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik, Seksyen Koordinasi dan Pemantauan di MATRADE. Mereka berkongsi perspektif tentang prospek perdagangan dan pelaburan semasa, sentimen perniagaan, dan impaknya daripada konflik di Asia Barat.

Berucap pada majlis tersebut, Presiden MICCI, Christina Tee menyatakan bahawa perniagaan terpaksa mengharungi siri gangguan sepanjang dekad ini, daripada pandemik global kepada perubahan dasar perdagangan, peningkatan perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik.

“Pada hari ini, konflik di Asia Barat telah mewujudkan kesan berantai terhadap pasaran global, menjejaskan harga tenaga, aliran perdagangan, keputusan pelaburan, rantaian bekalan serta kos operasi. Ia menjadi satu lagi peringatan bahawa perkembangan yang berlaku jauh dari negara kita boleh memberi kesan langsung dan ketara kepada perniagaan di Malaysia,” katanya.

Perniagaan kini sudah mula berdepan dengan gelombang pertama kesan tersebut melalui peningkatan kos logistik, kenaikan harga bahan api dan tenaga serta ketidaktentuan yang lebih besar dalam pasaran global. Namun, sebahagian daripada kesan yang lebih ketara mungkin hanya akan dirasai dalam beberapa bulan akan datang atau bahkan pada tahun hadapan.

“Perniagaan telah menyedari bahawa ketidaktentuan bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Ia kini menjadi sebahagian daripada persekitaran operasi. Daya tahan bukan lagi sekadar kelebihan daya saing, tetapi satu keperluan,” tambah beliau.

Malaysia kekal berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan perubahan dalam rantaian bekalan global, integrasi ekonomi serantau dan peningkatan minat pelabur terhadap ASEAN. Tee menambah bahawa tempoh ketidaktentuan turut boleh membuka peluang untuk penyesuaian, inovasi dan pengukuhan kerjasama antara sektor perniagaan dan pembuat dasar. “Seiring dengan ulang tahun ke-189 MICCI pada tahun ini, kami kekal komited untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang kompetitif, terbuka dan berhubung secara global, di samping terus memainkan peranan sebagai jambatan yang dipercayai antara komuniti perniagaan antarabangsa dan pembuat dasar,” kata Tee