Ekonomi Malaysia Berkembang Sebanyak 3.3 Peratus Pada Suku Ketiga – BNM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) — Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.3 peratus pada suku ketiga 2023 daripada 2.9 peratus pada suku kedua tahun ini, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh pertumbuhan selanjutnya dari segi guna tenaga dan upah, manakala aktiviti pelaburan disokong oleh kemajuan projek berbilang tahun dan pengembangan kapasiti oleh syarikat.

“Eksport kekal lembap berikutan kelemahan permintaan luaran yang berpanjangan. Bagaimanapun, keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh kemasukan pelancong asing yang kembali pulih.

“Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan, pembinaan dan pertanian terus menyokong pertumbuhan,” katanya pada pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga di sini hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Rasheed berkata, ini sebahagiannya diimbangi oleh penurunan pengeluaran dalam sektor perkilangan disebabkan permintaan yang lemah terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) serta pengeluaran produk petroleum bertapis yang lebih rendah.

Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 2.6 peratus (suku kedua 2023: 1.5 peratus), manakala secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.9 peratus pada tiga suku pertama 2023, katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tarif 10 Peratus AS Terhadap Malaysia Berkuat Kuasa

Malaysia dikenakan tarif 10 peratus oleh Amerika Syarikat (AS) di bawah siasatan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa, berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam waktu AS, Jumaat, 24 Julai 2026.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, Malaysia adalah antara 17 ekonomi yang dikenakan kadar tarif 10 peratus, manakala ekonomi lain dikenakan tarif 12.5 peratus.

Katanya, kadar lebih rendah itu mengambil kira komitmen Malaysia melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang yang melarang pengimportan barangan dihasilkan menggunakan buruh paksa.

“Tarif berkenaan mula berkuat kuasa sejurus tamat tempoh tarif sementara yang dikenakan di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 AS,” katanya.

Sementara itu, MITI berkata, siasatan Seksyen 301 berkaitan isu kapasiti berlebihan yang membabitkan 16 ekonomi termasuk Malaysia masih diteruskan.

Katanya, kadar tarif bagi siasatan itu hanya akan diumumkan selepas Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) membuat keputusan mengenainya.

“MITI akan memaklumkan semua pihak berkepentingan mengenai sebarang perkembangan berkaitan dan akan terus mengadakan libat urus dengan Amerika Syarikat,” katanya.

— Berita Harian