Saiz Dana Pelaburan KWSP Cecah RM1.1 Trilion Sehingga 31 Ogos 2023 – Steven Sim

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) — Jumlah dana pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah sebanyak RM1.1 trilion sehingga 31 Ogos, 2023, kata Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim.

Katanya daripada jumlah itu purata pelaburan KWSP dalam pasaran domestik adalah 64.9 peratus yang mana 24.4 peratus dalam ekuiti tersenarai domestik. 

Selain KWSP, dana-dana pelaburan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) juga merangkumi  Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Haji (LTH) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

“Bagi tempoh 2019 sehingga 31 Ogos, 2023, jumlah dana pelaburan PNB adalah RM332 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 84.3 peratus yang mana 74.4 peratus adalah dalam ekuiti tersenarai domestik.

“Manakala bagi dana pelaburan KWAP pula, bagi tempoh itu ia berjumlah RM167 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 79.3 peratus yang mana 45.2 peratus adalah dalam ekuiti tersenarai domestik.

“Bagi dana pelaburan LTH, sehingga 31 Ogos, 2023, ia berjumlah RM91 bilion dan purata pelaburan dalam pasaran domestik adalah 90.1 peratus yang mana 18.3 peratus adalah dalam ekuiti tersenarai domestik.

“Sehingga 31 Ogos, 2023, jumlah dana pelaburan LTAT adalah RM10.5 bilion dengan keseluruhan dana dilaburkan dalam pasaran domestik yang mana 52 peratus adalah dalam ekuiti tersenarai domestik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang ingin mengetahui tentang jumlah pelaburan oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan GLIC di Malaysia dan di luar negara dan adakah keseluruhan pelaburan tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menguatkan pasaran ekuiti Malaysia. 

Sim berkata sepanjang tempoh 2019 hingga 31 Ogos, 2023, sebahagian besar atau lebih 60 peratus dana pelaburan GLIC adalah dalam pasaran domestik.

Berdasarkan peruntukan aset strategik, secara purata antara 15.8 peratus hingga 62.7 peratus dana pelaburan GLIC adalah dalam ekuiti tersenarai domestik di Bursa Malaysia.

Selain itu, beliau berkata Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) pula selaku pengurus dana kekayaan negara telah membuat pelaburan domestik sebanyak RM9.2 bilion dalam tempoh 2019 sehingga 2022 dan ia bersamaan 32.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang bernilai RM28.3 bilion.

“Dalam hal ini, peranan Khazanah tertumpu untuk mewujudkan nilai tambah melalui ‘active stewardship’ dalam syarikat pelaburannya untuk menyokong dan mengukuhkan nilai pasaran syarikat.

“Di samping itu, tumpuan Khazanah juga adalah kepada aset strategik dan aset pembangunan seperti sektor penerbangan dan pelancongan yang menghadapi cabaran akibat pandemik COVID-19,” katanya. 

Sehingga 31 Dis, 2022, jumlah portfolio pelaburan Khazanah dengan Nilai Aset Boleh Direalisasikan adalah sebanyak RM122.5 bilion dan daripada jumlah berkenaan, nilai pasaran pegangan Khazanah dalam negara adalah berjumlah RM81.2 bilion atau 66.3 peratus. 

Berkenaan GLC, beliau berkata pelaburan syarikat lebih tertumpu kepada perbelanjaan modal domestik bagi mengembangkan syarikat termasuk pembelian aset untuk perniagaan dan operasi syarikat dengan sebahagian besarnya adalah syarikat seperti Tenaga Nasional Bhd, Malaysian Airport Holdings Bhd dan Telekom Malaysia Bhd yang merupakan anak syarikat Khazanah Nasional Bhd.

Kementerian Kewangan juga turut menyokong saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya GLIC meningkatkan pelaburan dalam negara.

“Kementerian percaya bahawa berdasarkan peruntukan aset strategik masing-masing, GLIC akan kekal komited membuat pelaburan dalam negara termasuk di Bursa Malaysia yang mana, penyertaan GLIC dilihat berupaya memperkukuh pasaran ekuiti tempatan,” katanya. 

Setakat 25 Sept, 2023, saiz pasaran ekuiti Malaysia bernilai RM1.78 trilion, iaitu peningkatan sebanyak RM42.68 bilion atau kira-kira 2.5 peratus berbanding RM1.74 trilion pada 31 Dis, 2022.

Penyertaan GLIC dalam pasaran ekuiti di Malaysia mewakili 7.7 peratus daripada jumlah purata nilai dagangan harian dengan sektor tumpuan seperti perbankan, industri berkaitan komoditi dan lain-lain.

Berdasarkan data daripada Bursa Malaysia dalam Dokumen Tinjauan Ekonomi 2024 oleh Kementerian Kewangan, prestasi urus niaga pada tahun ini setakat 31 Ogos, 2023 adalah lebih baik berbanding tahun lalu.

Ia khususnya dari segi peningkatan bilangan unit yang diurus niaga iaitu jumlah bilangan unit urus niaga meningkat sebanyak 14.4 peratus daripada 489.4 bilion unit kepada 559.6 bilion unit dan purata urus niaga harian juga meningkat 15.1 peratus daripada 3 bilion unit kepada 3.5 bilion unit.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Membedah Laporan Tahunan ASB 2025: ASNB Melabur Di Mana?

Amanah Saham Bumiputera (ASB) kekal sebagai antara dana unit amanah terbesar di Malaysia dengan penglibatan 11.4 juta rakyat Malaysia. Laporan Tahunan ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 mendedahkan strategi pelaburan dan prestasi dana unit amanah terbesar negara ini. Bagi pemegang unit, memahami isi kandungan laporan ini penting untuk mengetahui bagaimana dana anda diuruskan.

Sebelum kita membedah isi perut laporan ini, penting untuk kita faham satu perbezaan asas yang sering mengelirukan ramai: iaitu antara ASNB (Amanah Saham Nasional Berhad) dan ASB (Amanah Saham Bumiputera). Dalam bahasa mudah, ASNB bertindak sebagai ‘pengurus dana’ atau syarikat yang mengendalikan segala operasi dan strategi di belakang tabir, manakala ASB pula adalah ‘dana’ atau produk pelaburan.

Strategi Pelaburan: Dominasi Sektor Kewangan

ASNB kekal dengan strategi pelaburan yang berhati-hati namun progresif. Sebanyak 75.64% daripada dana dilaburkan dalam pasaran saham (ekuiti), manakala 13.75% diperuntukkan dalam instrumen sukuk dan pendapatan tetap.

Sektor kewangan terus menjadi tulang belakang portfolio ASB.

Senarai Top 10 Pelaburan Terbesar

Pelaburan ASB tertumpu kepada syarikat-syarikat “blue-chip” yang memberikan dividen stabil. Berikut adalah 10 pegangan terbesar setakat Disember 2025:

  1. Malayan Banking Berhad (Maybank): 20.38%
  2. SD Guthrie Berhad: 9.69%
  3. Kerajaan Malaysia (Bon): 8.42%
  4. Sime Darby Berhad: 2.98%
  5. Tenaga Nasional Berhad: 2.76%
  6. PNB Capital LLC RCPSA US: 2.00%
  7. Sime Darby Property Berhad: 1.83%
  8. Axiata Group Berhad: 1.67%
  9. CIMB Group Holdings Berhad: 1.52%
  10. PNB Capital LLC RCPSC US: 1.50%

Pegangan Saham Kumpulan PNB dalam Malayan Banking Berhad

Permodalan Nasional Berhad (PNB) memegang 43.37% dalam Maybank.
Jumlah saham: 5,246.26 juta unit.
Nilai dalam USD: 12,663.80 juta USD (Kalau tukar duit kita sekarang, nilainya lebih kurang RM60 Bilion!).

Setiap kali Maybank umum untung berbilion ringgit dan bagi dividen kepada pemegang sahamnya, duit tu akan masuk ke dalam tabung ASB. Kemudian, ASNB akan agihkan semula untung itu kepada kita dalam bentuk dividen 5.75 sen tadi.

“Eh kejap, ASB ni halal ke? Banyak labur dalam Maybank kot?”

Ini soalan paling popular. Memang tidak dinafikan, dulu ramai yang ‘seram’ nak simpan banyak dalam ASB sebab isu patuh Syariah. ASNB ada menyediakan satu laman khas yang menghimpunkan semua kenyataan rasmi, video penjelasan mufti dan keratan akhbar mengenai hukum ASB:

Pautan: ASNB – Hukum Pelaburan ASB/ASN

Selain pasaran tempatan, ASB juga mempunyai pendedahan antarabangsa di pasaran Amerika Syarikat, Eropah, dan Asia Timur (Korea Selatan, Taiwan dan China) bagi mempelbagaikan sumber pendapatan. Langkah kerajaan China memberikan rangsangan ekonomi turut memberi impak positif kepada nilai pelaburan ASB di sana.

“Menunggang” Gelombang Saham Global

Walaupun berpaksikan pasaran tempatan, ASNB kini lebih aktif di pentas antarabangsa. Laporan menunjukkan peningkatan pegangan dalam sektor Teknologi Maklumat (4.42%), terutamanya melalui pendedahan kepada industri semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) di pasaran Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Taiwan.

Kelicikan Strategi Pelaburan

Dalam Penyata Aliran Tunai (mukasurat 21), tunai dan persamaan tunai ASB mencecah sekitar RM19 bilion. Ini adalah “buffer kecairan” yang penting sebab bukan sekadar untuk ambil peluang pelaburan, tetapi juga untuk memastikan kestabilan dana. Senang cerita, ASNB sentiasa ada modal kalau nampak peluang untuk buat untung lebih.

Bagi tahun 2025, ASB mencatatkan Nisbah Pusing Ganti Portfolio sebanyak 0.51 kali, meningkat daripada 0.35 kali pada tahun sebelumnya. Kenaikan ini mencerminkan pengurusan dana yang lebih proaktif dan taktikal. Pengurus pelaburan dilihat lebih aktif berdagang tahun 2025 semata-mata nak realisasikan untung masa harga tengah cantik.

Bayangkan, ASNB dah siap-siap beli saham NVIDIA masa harga tengah “tenang”. Tiba-tiba, demam AI melanda dunia, dan semua orang berebut nak beli cip komputer. Harga saham NVIDIA pun terbang naik gila-gila disebabkan permintaan tinggi.

Kalau pengurus pelaburan kita jenis “tidur”, dia biar je saham tu. Tetapi tahun 2025 ni, mereka sangat alert. Pantang nampak harga NVIDIA tengah puncak (peak), mereka terus jual sebahagian pegangan untuk ‘lock’ untung. Bayangkan, sejak awal tahun ni saja, harga saham NVIDIA dah naik 10%!

(Nota: Ini adalah contoh simulasi untuk memudahkan pemahaman. Senarai penuh saham global yang dibeli tidak didedahkan, namun laporan tahunan mengesahkan ASB memang mempunyai pendedahan dalam sektor teknologi global di AS).

Baca lagi : Nak Buka Akaun Saham Online Dengan Webull? Dapat Antara Caj Terendah Di Pasaran

Webull Malaysia kini telah menawarkan pilihan deposit ke akaun Islamik untuk kemudahan pengguna Muslim di Malaysia. Sebelum ini, semua deposit akan diletakkan dalam bank JP Morgan Malaysia. Dengan pilihan perbankan Islam, deposit pengguna akan diletakkan dalam HSBC Amanah. Promosi terkini: Depositkan RM1,000 dan kekalkan selama 60 hari dan dapat saham NVIDIA percuma bernilai RM200!

MajalahLabur mungkin menerima manfaat apabila pembaca mendaftar menggunakan pautan tersebut. Terima kasih!

Kos Pelaburan: Berapa Yuran Yang Dikenakan?

Ramai pelabur terlepas pandang mengenai yuran pengurusan. Bagi tahun kewangan 2025, ASNB mengenakan Yuran Pengurusan sebanyak 0.09% setahun daripada Nilai Aset Bersih (NAB).

Sebagai gambaran, jika anda mempunyai pelaburan sebanyak RM10,000, yuran yang dikenakan hanyalah sekitar RM9.00 setahun. Kadar ini dianggap antara yang terendah dalam industri.

Mesti ada yang tertanya, ke mana pergi duit yuran yang kita bayar tu? Masuk poket siapa? Sebenarnya, inilah cara ASNB “bernafas” sebagai sebuah syarikat.

1. Gaji & Operasi ASNB (RM51.5 Juta) Bagi tahun 2025, ASNB sebagai syarikat pengurusan telah menerima RM51.5 juta daripada yuran pengurus (0.04%). Duit inilah yang digunakan untuk bayar gaji staf di kaunter, sistem IT, sewa bangunan dan upah pakar-pakar pelaburan mereka. Menariknya, jumlah ini jauh lebih rendah berbanding tahun 2024 (RM101 juta), maknanya ASNB makin jimatkan kos untuk kita!

2. Upah “Polis” Pelaburan (RM1 Juta) Selain itu, sebanyak RM1 juta dibayar kepada AmanahRaya Trustees. Kenapa perlu bayar mereka? Sebab mereka adalah pihak ketiga yang bertindak sebagai “polis” atau penjaga amanah. Tugas mereka adalah memastikan ASNB tidak sesuka hati guna duit pelabur. Jadi, RM1 juta ni kira macam kos keselamatan supaya duit kita tidak hilang.

3. Selepas tolak kos operasi dan upah penjaga tadi, barulah baki keuntungan yang besar itu diagihkan semula kepada kita dalam bentuk dividen dan bonus.

Rujukan: Laporan Tahunan ASB Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025

Kesimpulan

Secara halus, anda sebenarnya adalah pelabur saham yang pro cuma bezanya, anda mempunyai “runner” otai yang tolong terbangkan pelaburan itu bagi pihak anda.

Dengan jumlah pengagihan sebanyak 5.75 sen seunit (5.20 sen dividen dan 0.55 sen bonus) bagi tahun 2025, ASB membuktikan bahawa kombinasi pelaburan stabil di dalam negara dan strategi agresif di pasaran global (seperti AI dan pusat data) mampu memberikan pulangan yang sangat kompetitif.

“Tapi… tempat lain lebih tinggi pulangannya, kan?”

Bila tengok orang lain flex untung saham 30%, boleh sedapkan hati dengan mantra ni:

“Biarlah dia untung 30%, tapi modal dia mungkin RM1,000 je. Dividen ASB aku 5% tapi modal RM200,000. Dari segi nilai, untung aku lagi besar dan yang penting, risiko aku hampir kosong…..”

Sebenarnya memang betul, kalau melabur saham sendiri, nak dapat pulangan 20%-30% setahun tu tidaklah mustahil. Ramai yang kejar high return, tetapi skip bahagian risiko. Padahal dalam pelaburan, risiko datang dulu. Jadi sekurang-kurangnya, belajar dulu sebelum ambil keputusan untuk melabur di pasaran saham. Sebab bila dah faham, skill ni boleh pakai lama. Dunia pelaburan saham juga bukan setakat di Bursa Malaysia. Dengan ilmu yang sama, kita boleh ‘merayap’ sampai ke Wall Street.

Penafian :
Kandungan ini tidak disemak atau diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Maklumat yang terkandung di dalam artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat pelaburan. Semua keputusan pelaburan adalah tanggungjawab individu dan anda harus mendapatkan nasihat daripada penasihat kewangan berlesen sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan. Pelaburan dalam saham melibatkan risiko dan keuntungan sendiri. Prestasi masa lalu juga tidak menjamin prestasi masa hadapan.

BUKU INI WAJAR DIMILIKI OLEH MEREKA YANG BERANI BERIMPIAN !

Ramai yang nak gandakan duit simpanan dalam saham tapi fikir berpuluh kali. Jadi buku ini adalah step pertama. Bila baca buku ini, boleh 99% stay ahead dari orang lain! Bonusnya dapat jimat banyak masa.

Kami juga faham yang 2 sebab utama kenapa anak muda masih belum mula melabur saham adalah sebab TAKUT dan BELUM CUKUP DUIT. Yelah, kita melabur sebab nak tenang, bukan nak risau setiap masa.

Sambil kami terlibat dalam pasaran saham, sambil pandaikan orang lain tentang saham.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada anda semua yang tak putus-putus menyokong kami dari awal sehingga ke hari ini.

Berita Baik : Kami sedang buat jualan penghabisan stok di Shopee!!