Unifi Lancar Pelan Pascabayar UNI5G Unstoppable Terbaharu

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) — Cabang perniagaan kepada pengguna Telekom Malaysia Bhd, Unifi, hari ini melancarkan pelan pascabayar dan pelan keluarga UNI5G #Unstoppable terbaharunya, memenuhi pelbagai keperluan rakyat Malaysia dan membawakan pengalaman 5G dalam kehidupan seharian mereka.

Ketua Pegawai Komersial Segmen Pengguna Unifi Jasmine Lee berkata pelan mudah alih baharu ini menyediakan pelbagai nilai tambahan, membentuk semula sempadan ketersambungan dan digital yang memenuhi keperluan individu dan keluarga.

“Dalam memperkasakan negara digital, pelan baharu ini menjadikan teknologi 5G lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia, dengan tumpuan penggunaan untuk seluruh keluarga.

“Dengan liputan mudah alih yang merangkumi lebih 95 peratus daripada populasi negara dan baru-baru ini dinobatkan sebagai pemenang Ookla® 2023 dalam menyampaikan pengalaman video mudah alih terbaik di Malaysia, pelan UNI5G kami memperkasakan individu dan keluarga untuk memanfaatkan 5G, tanpa menjejaskan kualiti dan dengan harga mampu milik,” katanya kepada media selepas pelancaran produk itu di sini hari ini. 

Ookla adalah peneraju global dalam risikan rangkaian dan pandangan berkaitan ketersambungan.

Pelanggan boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pelan mudah alih baharu melalui laman web Unifi di https://unifi.com.my/mobile/postpaid. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Cabaran RIFAR Yang Diterajui Belia Oleh SC Untuk Memacu Kesedaran Dan Inovasi Bagi Sungai-Sungai Di Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan River Flooding Adaptation & Resilience (RIFAR) Challenge untuk memperkasakan golongan muda supaya menyumbang idea dan tindakan yang dapat memperkukuh ketahanan sungai-sungai di Malaysia.

Inisiatif ini merupakan kerjasama dengan rakan strategik dalam penglibatan universiti, pelaksanaan dunia sebenar langkah mitigasi banjir dan kepakaran teknikal dalam ketahanan serta kelestarian sungai. Rakan-rakan tersebut ialah:

  1. ICAEW Malaysia
  2. Lembaga Urus Air Selangor (LUAS)
  3. Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) – pemaju induk projek Selangor Maritime Gateway (SMG)
  4. Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development (JSC)

Pertandingan seluruh negara ini menjemput pelajar universiti untuk membantu menangani ancaman banjir sungai yang semakin meningkat melalui dua kategori berbeza:
▪ The Sprint: Laluan kesedaran yang memfokuskan komunikasi kreatif, bagi meningkatkan kesedaran awam dan tindakan komuniti mengenai kesihatan sungai di Malaysia.
▪ The Marathon: Laluan inovasi pelbagai disiplin di mana pasukan membangunkan intervensi mitigasi banjir untuk Taman Sri Muda. Penyelesaian menggabungkan konsep kejuruteraan dengan pelan pembiayaan pasaran modal serta manfaat sampingan iklim yang boleh diukur, seperti tenaga boleh diperbaharui.

RIFAR merupakan sebahagian daripada inisiatif Transition, Resilience & Adaptation in Capital Markets (TRAC) oleh SC. Ia selaras dengan objektif lebih luas SC untuk memperkukuh peranan pasaran modal dalam menggerakkan pembiayaan bagi peralihan iklim, adaptasi dan ketahanan, seperti yang digariskan dalam Capital Market Masterplan 2026-2030.

RIFAR ialah cabaran adaptasi dan ketahanan iklim kedua SC, meneruskan kejayaan besar Coastal Flooding Adaptation & Resilience (COFAR) Challenge yang diadakan pada 2025. Inisiatif ini melibatkan 220 pelajar dari 29 universiti untuk membangunkan penyelesaian adaptasi bagi Pulau Carey, Selangor.

Bercakap semasa webinar pelancaran RIFAR Challenge, Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata sungai berada di pusat cabaran adaptasi iklim Malaysia.

“Sungai ialah sistem peredaran negara ini, membekalkan 80% bekalan air mentah negara dan mengalir melalui koridor ekonomi paling penting kita.”

“Pasaran modal menilai idea yang bukan sahaja kukuh dari segi teknikal tetapi juga berdaya maju dari segi kewangan. Selepas kejayaan COFAR, kami yakin pelajar universiti Malaysia boleh menyumbang kepada penyelesaian bersepadu yang diperlukan untuk lembangan sungai kita,” katanya.

RIFAR Challenge menawarkan jumlah hadiah wang tunai RM50,000 untuk kategori Marathon dan RM7,000 untuk Sprint. Pertandingan ini terbuka kepada pelajar dari semua universiti awam dan swasta di Malaysia, serta rakyat Malaysia yang belajar di universiti luar negara.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari: www.sc.com.my/trac/rifar-challenge
Pendaftaran ditutup pada 12 Mei 2026.