Airasia Pajak Empat Pesawat Yang Sebelum Ini Dioperasikan Oleh MyAirline – Bo Lingam


KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) — AirAsia Bhd, syarikat penerbangan tambang rendah telah memajak empat pesawat Airbus A320-200 yang sebelum ini dioperasikan oleh MYAirline Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia Aviation Group Ltd, Bo Lingam berkata AirAsia sebelum ini telah memajak tiga pesawat sebelum pandemik COVID-19 daripada pemajak AirCastle Ltd. Pesawat itu kemudiannya dikembalikan kepada pemajak dan MYAirline memajak pesawat berkenaan.

“Apabila MYAirline menghentikan operasinya, pemajak bertanya sama ada kami mahukan pesawat ini. Kami juga sebenarnya memerlukan kapasiti untuk tahun depan,” katanya kepada Bernama sambil menambah semua proses pemajakan telah selesai setakat ini.

MYAirline menggantung operasinya pada 12 Okt, 2023 selepas kurang setahun akibat tekanan kewangan. Penggantungan itu bergantung kepada usaha penstrukturan dan permodalan semula.

Daripada empat pesawat itu, beliau berkata dua daripada A320 akan beroperasi pada 15 dan 16 Dis, manakala yang ketiga akan beroperasi pada Januari tahun depan. Bagaimanapun beliau tidak menyatakan bilakah pesawat keempat akan beroperasi.

 Mengenai prospek tahun depan, Bo yakin untuk mengaktifkan semula 204 buah pesawat sepenuhnya, yang disokong oleh tambang penerbangan yang menarik dan lebih baik kerana semakin banyak negara menawarkan kemasukan tanpa visa.

“Kami berharap untuk kembali semula ke tahap prapandemik dan kesemua 204 pesawat akan terbang menjelang Februari tahun depan.

“Kami mempunyai pandangan yang sangat baik untuk tahun depan dan kami harus melepasi paras (bilangan penumpang) pada 2019  tidak lama lagi,” katanya.

Beliau juga menyatakan AirAsia akan mempunyai tambahan sembilan pesawat A321 baharu dengan 240 tempat duduk tahun depan.

“Tiada lagi pesawat A320 dan semua pesawat baharu ialah daripada jenis A321 selepas ini,” jelasnya.

Beliau juga tidak menjangkakan sebarang penurunan untuk industri penerbangan pada masa ini melainkan terdapat kenaikan mendadak harga bahan api. Beliau juga berharap ringgit mengukuh tahun depan berdasarkan unjuran positif terkini daripada pakar-pakar ekonomi.

Keuntungan bersih bagi industri penerbangan dijangka mencecah US$25.7 bilion pada 2024, dengan margin keuntungan bersih 2.7 peratus, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) baru-baru ini (US$1=RM4.66).

Ini menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 2023 yang dijangka mencatatkan keuntungan bersih pada US$23.3 bilion dengan margin keuntungan bersih 2.6 peratus.

IATA juga berkata kira-kira 4.7 bilion individu dijangka melakukan perjalanan pada 2024, angka tertinggi yang melebihi paras prapandemik iaitu 4.5 bilion individu pada 2019.​

— BERNAMA

TAG: AirAsia, Bo Lingam, MYAirline, pajakan, prospek, 2024

Previous ArticleNext Article

Kerajaan MADANI Sasar Senaraikan 10 Syarikat Bumiputera Di Bursa Malaysia Pada 2026, 2027

PUTRAJAYA: Sebanyak 10 syarikat Bumiputera disasar untuk disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2026 dan 2027, dengan empat daripadanya berada dalam perancangan bagi disenaraikan tahun ini.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil, berkata penyenaraian itu susulan hasil Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, sasaran itu jauh melebihi pencapaian lima tahun sebelumnya.

“Bagi menyokong sasaran berkenaan, program ’10 Juara Bumiputera’ hasil kerjasama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah diperkenalkan untuk membimbing syarikat berpotensi tinggi serta melahirkan 10 syarikat Bumiputera bernilai RM500 juta setiap satu menjelang 2028,” katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.

Fahmi berkata ekosistem PETRONAS, GLIC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) merupakan salah satu penyumbang penting kepada agenda pembangunan bumiputera negara.

Beliau berkata, ekosistem berkenaan telah menyumbang RM50 bilion setahun, termasuk RM49.2 bilion pada tahun lalu, merangkumi pelaburan langsung, perolehan vendor, pembangunan bakat dan komuniti.

“Pada masa yang sama, garis panduan baharu pembangunan vendor Bumiputera turut diperkenalkan bagi memperkukuh saluran pembangunan vendor serta meningkatkan kapasiti mereka secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata, Jemaah Menteri juga sedang meneliti cadangan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) agar tempoh bayaran GLC dan GLIC kepada vendor tempatan dipendekkan bagi memastikan aliran kewangan atau ‘cash flow’ syarikat dan vendor tempatan dapat diuruskan dengan lebih baik.

Sementara itu, Fahmi berkata Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai prestasi operasi pelabuhan persekutuan bagi suku pertama tahun ini yang mencatat 8.002 juta unit setara 20 kaki (TEU), menunjukkan peningkatan 8.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Ini dipacu oleh peranan negara sebagai penghubung utama bagi barangan dunia melalui aktiviti pemunggahan pindahan ke kapal atau transshipment yang mencatat pertumbuhan 9.96 peratus berbanding suku pertama 2025,” katanya.

Beliau berkata, kargo konvensional turut menunjukkan peningkatan sebanyak 2.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, terutama bagi kargo am yang meningkat 8.93 peratus dan kendalian pukal kering yang bertambah sebanyak 3.55 peratus.

“Prestasi ini amat membanggakan walaupun ketika negara berdepan dengan krisis geopolitik di Asia Barat yang bermula sekitar suku pertama tahun ini,” katanya.

— Berita Harian