Tips Naikkan Limit Kad Kredit Dan Mudah Lulus

Sudah lama guna kad kredit, tetapi jumlah had (limit) tiap-tiap bulan masih sama. Kalau boleh, nak juga tambah had kredit. Maklumlah, komitmen pun dah bertambah sekarang”.

Bagi pengguna tegar kad kredit, mungkin ada dalam kalangan kita yang mengalami situasi seperti di atas bukan? 

Tiada masalah untuk menaikkan had kad kredit anda, asalkan pandai gunakan kad kredit dengan baik dan berhemah. Apatah lagi melunaskan bayaran kad kredit tiap-tiap bulan dengan baik sehingga tidak tertunggak.

Kenapa Perlu Naikkan Had Kad Kredit?

Ada orang takut nak tambah had kad kredit, tetapi ada juga yang perlukan had kad kredit yang tinggi untuk kegunaan harian. Sebagai contoh, untuk kegunaan bayaran bil-bil rumah, untuk perjalanan jauh seperti ke luar negara, kegunaan keluarga ataupun kecemasan. Yang pasti, setiap orang pasti mempunyai sebab yang tersendiri bergantung kepada keperluan penggunaan kad kredit mereka. 

Tips Naikkan Had Kad Kredit Dan Mudah Lulus

Terdapat beberapa tips naikkan had kad kredit yang sangat berkesan dan mudah lulus. Bagi anda yang ingin menambah had kad kredit, jom ikuti tips di bawah.

  1. Kerap Gunakan Kad Kredit

Sama ada guna secara harian, mingguan atau bulanan untuk bayar petrol, beli barang masak, makanan atau barang di pasar raya, penggunaan kad kredit yang kerap akan membantu meluluskan kenaikan had kad kredit anda.

Namun, dalam tempoh penggunaan yang kerap, jika anda membayar hutang sebaiknya setiap bulan atau gunakan cashback dengan baik, ia lebih membantu menjadikan rekod kegunaan kad kredit anda ‘cantik’ dan efektif.

  1. Pilih Bank Dan Kad Kredit Yang Tepat

Setiap kad kredit mempunyai fungsi dan kelebihan yang berbeza mengikut minat para pengguna. Sekiranya anda suka bercuti, gunakan kad yang menawarkan penjimatan untuk hotel, tiket penerbangan dan sebagainya. 

Begitulah sebaliknya, jika anda suka beli barang masakan, membeli-belah dan lain-lain lagi, ada kad kredit yang menawarkan cashback dan juga mata ganjaran yang boleh ditebus. 

Selain itu, anda juga perlu pastikan sama ada kad kredit anda Islamik atau konvensional. Ia akan memberi kesan dari segi konsep bayaran serta jangka masa yang panjang selama anda gunakannya. Buat yang muslim, pastikan pilih kad kredit Islamik.

  1.  Lakukan Transaksi Had Maksimum

Sekiranya anda mahu naikkan had kad kredit, salah satu tips untuk mudah lulus adalah anda harus gunakan transaksi hingga had maksimum. Sebagai contoh, jika had kad kredit anda adalah RM2,500, pastikan anda gunakan sebanyak RM2,000 untuk menunjukkan anda pengguna yang aktif.

Tetapi awas, jangan guna sehingga terlebih had (overlimit) dan tidak mampu membayarnya pula. Takut rekod transaksi anda jadi buruk pula. Lakukan transaksi had maksimum untuk menunjukkan anda adalah pengguna yang aktif dan dapat selesaikan komitmen dengan baik sekali.

  1.  Fahami Sejarah Kad Kredit

Fahami sejarah kad kredit anda seperti transaksi keluar duit serta pembayaran yang anda lakukan. Sejarah transaksi kad ini akan membantu kita membuat bayaran balik dalam tempoh yang ditetapkan.

Dengan itu, anda juga dapat elakkan daripada terlepas tempoh bayaran. Jangan sampai ada Untuk masalah bayaran kad kredit tertunggak.

Dengan menjaga transaksi bayaran kad kredit tadi, ia akan membantu meluluskan kenaikan had kredit anda kelak.

  1.  Tunggu Bank Hubungi Anda

Sekiranya anda menggunakan kad kredit dengan teratur, selalunya pihak bank akan hubungi anda untuk menawarkan promosi terkini atau had kredit tambahan. Apabila pihak kad kredit bank hubungi anda, itu adalah masa terbaik untuk anda menambah had kredit kad anda.

Sudah tentu had kad kredit akan terus diluluskan dan pada bulan seterusnya anda sudah dapat menikmati had kad kredit yang lebih tinggi berbanding sekarang.

Bankrup disebabkan kad kredit

Pastikan Mampu Baru Mohon

Had kad kredit yang tinggi akan memudahkan urusan kehidupan anda sekeluarga. Yang penting, jangan salah guna, jangan berboros dengan perkara yang tidak penting. 

Gunakan kad kredit sebaik mungkin untuk mendapatkan penjimatan berbaloi berbanding menggunakan tunai. Sekiranya had kad kredit anda lulus dan berjaya dinaikkan, jangan lupa buat rekod penggunaan kad kredit agar dapat merancang perbelanjaan dengan baik.

Kad kredit boleh digunakan secara menyeluruh untuk mendapatkan mata ganjaran, cashback, baucar untuk perbelanjaan yang tertentu, penjimatan minyak petrol dan lain-lain lagi.

Semoga tips naikkan had kad kredit untuk mudah lulus ini berkesan buat anda. Paling penting, pastikan anda benar-benar layak dan mampu dari segi kewangan untuk memohon kenaikan had kad kredit ini.

Previous ArticleNext Article

Bukan Semua Masalah Hutang Bermula Dengan Sikap Boros

Apabila kita membincangkan isu hutang, tanggapan yang sering muncul ialah seseorang itu mungkin terlebih berbelanja, tidak pandai mengurus wang, atau mengambil pinjaman tanpa berfikir panjang.

Namun, daripada pengalaman saya sendiri dan kerja harian kami bersama peminjam, realitinya tidak semudah itu.

Belakangan ini, ramai yang terperangkap dalam hutang bukan kerana mereka sengaja mahu hidup di luar kemampuan. Sebaliknya, masalah sering bermula daripada perkara yang nampak biasa, seperti kad kredit, bayaran minimum, ansuran kecil, pinjaman peribadi, atau kemudahan Beli Sekarang, dan Bayar Kemudian atau Buy Now, Pay Later (BNPL). Pada awalnya, angka pinjaman kelihatan kecil dan masih terkawal. Walau bagaimanapun, apabila faedah, caj lewat bayar dan komitmen bulanan mula bertambah, hutang yang kecil boleh menjadi suatu beban yang berat.

Inilah jurang yang jarang dibincangkan secara terbuka. Akses kepada kredit semakin mudah, tetapi kefahaman tentang kos sebenar hutang masih belum berkembang pada kadar yang sama.

Menurut Bank Negara Malaysia, hutang isi rumah kekal tinggi pada 84.8% daripada KDNK, bersamaan RM1.67 trilion pada akhir 2025. Angka ini menunjukkan betapa besarnya kebergantungan rakyat Malaysia terhadap kredit. Dalam masa yang sama, AKPK juga menekankan bahawa kad kredit dan pinjaman peribadi menyumbang kepada sebahagian besar kes pelanggan yang berhadapan kesukaran kewangan.

Bagi saya, isu ini bukan sekadar tentang berapa banyak peminjam, sebaliknya tentang berapa ramai yang benar-benar faham apa yang berlaku selepas mereka meminjam.

Sebagai contoh, bayaran minimum kad kredit. Ramai menganggap selagi mereka membayar jumlah minimum setiap bulan, status masih terkawal. Secara teknikal, akaun mungkin tidak tertunggak. Tetapi dari sudut kewangan, baki hutang masih berjalan, faedah masih dikira, dan tempoh pembayaran boleh menjadi jauh lebih panjang daripada yang dijangka.

Begitu juga dengan BNPL. Kemudahan ini boleh membantu jika digunakan secara berdisiplin, terutamanya untuk pembelian yang benar-benar perlu. Walaupun begitu, apabila seseorang mula mengambil beberapa komitmen kecil pada masa yang sama, jumlah keseluruhan boleh menjadi sukar dipantau. RM50 di satu platform, RM80 di platform lain, dan RM120 di tempat lain. Jumlah ini mungkin nampak kecil secara berasingan. Tetapi apabila digabungkan dengan sewa, ansuran kereta, bil telefon, pinjaman peribadi dan kad kredit, tekanan aliran tunai mula terasa.

Apa yang saya lihat adalah ramai peminjam sebenarnya bekerja, mempunyai pendapatan tetap, dan cuba memenuhi komitmen mereka sebaik mungkin. Mereka bukan tidak mahu membayar. Masalahnya, mereka lambat sedar bahawa struktur hutang mereka sudah tidak lagi sihat.

Di BlueBricks, kami menerima sekitar 30 hingga 40 pertanyaan penyatuan hutang setiap hari. Sebahagian besar datang daripada golongan bekerja yang pada awalnya menyangka hutang mereka masih boleh dikawal. Hal ini dapat kita lihat, apabila satu pinjaman digunakan untuk menutup pinjaman lain, atau kad kredit digunakan untuk menampung perbelanjaan asas, itu biasanya tanda bahawa masalah sudah masuk ke peringkat yang lebih serius.

Saya sendiri pernah melalui tekanan hutang yang besar selepas satu pelaburan gagal. Pengalaman itu mengajar saya bahawa tekanan kewangan bukan hanya soal nombor. Implikasinya, dari sudut emosi, keluarga, keyakinan diri dan cara seseorang membuat keputusan. Apabila seseorang berada dalam keadaan terdesak, mereka lebih mudah percaya kepada tawaran yang nampak cepat, mudah dan terlalu baik untuk menjadi benar.

Oleh itu, literasi kewangan tidak boleh berhenti pada nasihat umum seperti “jangan berhutang” atau “belanja ikut kemampuan”. Nasihat itu betul, tetapi tidak cukup. Pengguna perlu faham bagaimana faedah dikira, apa kesan bayaran minimum, bagaimana caj penalti terkumpul, dan bila sesuatu komitmen itu sudah mula menjejaskan kestabilan kewangan mereka.

Kita juga perlu lebih jujur bahawa celik kewangan bukan hanya penting untuk mereka yang berpendapatan rendah. Golongan profesional juga boleh terperangkap, terutamanya apabila gaya hidup, komitmen keluarga, kos sara hidup dan akses mudah kepada kredit bertembung pada masa yang sama.

Pada akhirnya, kad kredit, pinjaman dan BNPL boleh menjadi alat yang berguna jika dimanfaatkan dengan kefahaman dan disiplin. Tetapi tanpa pengetahuan yang mencukupi, alat yang sama boleh menjadi permulaan kepada kitaran hutang jangka panjang.

Jika Malaysia mahu membina masyarakat yang lebih stabil dari segi kewangan, kita perlu bergerak daripada sekadar memberi akses kepada kredit kepada memastikan pengguna benar-benar faham tanggungjawab yang datang bersamanya.

Kerana selalunya, masalah hutang tidak bermula apabila seseorang gagal membayar. Ia bermula lebih awal, apabila seseorang tidak benar-benar tahu berapa mahal harga sebenar hutang yang mereka ambil.

Penafian: Pandangan yang disediakan dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan. Harap maklum bahawa produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh BlueBricks Holdings adalah tidak patuh Syariah.

Nota: Artikel ini merupakan hasil sumbangan daripada Karl Ng, Pengarah BlueBricks Holdings