BR Capital Lancar Platform Pengumpulan Dana Hutang Alternatif Bagi Syarikat Kecil, Sederhana

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) — Bursa Malaysia Bhd dan RAM Holdings Bhd, menerusi entiti usaha sama, Bursa Malaysia RAM Capital Sdn Bhd (BR Capital – sebelum ini dikenali sebagai BM RAM Capital Sdn Bhd) hari ini melancarkan platform pengumpulan dana hutang susulan persetujuan Suruhanjaya Sekuriti pada 21 Dis, 2023, untuk BR Capital mula beroperasi. 

“Platform ini ialah saluran pengumpulan dana alternatif yang dibangunkan secara strategik untuk membantu syarikat kecil hingga sederhana yang tersenarai dan tidak tersenarai dengan keperluan pengumpulan dana sekurang-kurangnya RM5 juta dan tempoh minimum setahun, untuk mengumpul dana melalui penerbitan nota pelaburan dengan penarafan kredit.

“Platform ini membolehkan syarikat mengakses kumpulan modal baharu melangkaui pasaran borong tradisional, sambil turut menyediakan peluang kepada pelabur untuk mempelbagaikan portfolio mereka,” kata kedua-dua syarikat itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Datuk Muhamad Umar Swift berkata pelancaran BR Capital menandakan satu lagi kejayaan dalam “usaha kami untuk menyediakan rangkaian produk dan perkhidmatan yang komprehensif dan pelbagai bagi memenuhi keperluan pasaran kita yang semakin berkembang.”

“Platform pengumpulan dana hutang BR Capital amat selari dengan strategi menyeluruh bursa untuk benar-benar menjadi bursa berbilang aset.

“Bursa Malaysia dan RAM Holdings teruja untuk bekerjasama membentuk masa depan pengumpulan dana hutang Malaysia,”

“Platform baharu ini bakal membentuk semula landskap pengumpulan dana dan berpotensi besar untuk dikembangkan, dengan memasukkan ekosistem pelabur yang pelbagai,” katanya.

Ketua pegawai eksekutif dan pengarah eksekutif kumpulan RAM, Chris Lee berkata RAM akan menyumbang kepada pertumbuhan BR Capital menerusi kepakarannya dalam penarafan kredit, penilaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan penetapan harga pendapatan tetap pada nota pelaburan yang diterbitkan melalui platform baharu itu.

Platform itu ketika ini dalam fasa pelancaran awalnya, dengan kemasukan kini dibuka kepada kumpulan bakal penerbit dan pelabur yang terpilih.

Syarikat kecil hingga sederhana dan pelabur yang berminat untuk menyertai platform ini boleh menghantar e-mel mereka kepada [email protected].

Orang awam yang melabur boleh mengambil bahagian di platform itu kemudian pada 2024. Bagi mendapatkan maklumat lanjut boleh layari https://brc.bursamalaysia.com/.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

ANTA kini pemegang saham terbesar PUMA

HONG KONG, 8 Oktober 2026 — ANTA Sports Products Limited, kumpulan pakaian sukan pelbagai jenama terkemuka dunia (“ANTA Sports”, kod saham: 2020 (kaunter HKD) dan 82020 (kaunter RMB), serta anak-anak syarikatnya secara kolektif disebut sebagai “ANTA Group” atau “Kumpulan”), hari ini mengumumkan penyelesaian pemerolehan 29.06% kepentingan dalam PUMA SE daripada Artémis SAS, syarikat pelaburan keluarga Pinault, dengan bayaran tunai sebanyak EUR 1,505.5 juta. Susulan penerimaan semua kelulusan kawal selia yang berkaitan dan pemenuhan syarat penutupan lazim, ANTA Sports kini merupakan pemegang saham terbesar PUMA.

Bagi ANTA Sports, pelaburan ini menandakan pencapaian penting dalam pelaksanaan strategi “fokus tunggal, pelbagai jenama, globalisasi” dan memperkukuh profil antarabangsa, jangkauan serta daya saing Kumpulan dalam pasaran barangan sukan global. ANTA Sports akan membawa kepada PUMA kepakaran yang telah dibangunkan Kumpulan merentasi pelbagai jenama selama bertahun-tahun, termasuk keupayaan dalam pengurusan, peruncitan dan integrasi sumber global.

Ding Shizhong, Pengerusi Lembaga ANTA Sports, berkata: “Kami amat berbesar hati untuk menjadi pemegang saham terbesar PUMA dan rakan strategik jangka panjang. Pasaran barangan sukan global terus menawarkan peluang pertumbuhan yang besar apabila semakin ramai orang mengamalkan gaya hidup aktif dan meningkatkan penyertaan mereka dalam sukan. ANTA Sports telah membina kejayaannya berasaskan strategi pelbagai jenama. Kami percaya nilai sebuah kumpulan pelbagai jenama terletak pada keupayaannya membantu setiap jenama merealisasikan potensi sepenuhnya dengan memanfaatkan keupayaan dan sumber kumpulan yang lebih luas. PUMA mempunyai warisan yang kaya dan nilai asas jenama yang kukuh. Kami yakin terhadap pasukan pengurusannya dan menyokong transformasi strategik yang sedang dilaksanakan. Sebagai pemegang saham jangka panjang, kami berharap dapat berkongsi pengalaman dan keupayaan kami, khususnya dalam bidang peruncitan dan operasi, sambil menghormati kebebasan serta identiti jenama PUMA. Aspirasi kami adalah untuk menyokong PUMA dalam merealisasikan potensi sepenuhnya dan mewujudkan nilai berkekalan untuk pengguna di seluruh dunia.”

“PUMA telah membina salah satu jenama sukan paling dikenali di dunia, dengan warisan yang kaya, kredibiliti sukan yang kukuh, jejak global, inovasi terkemuka dan rakan kongsi yang kukuh. Kami mengalu-alukan ANTA Sports sebagai pemegang saham terbesar PUMA dan melihat komitmen jangka panjangnya sebagai undi keyakinan yang kukuh terhadap strategi, pasukan pengurusan dan masa hadapan kami,” kata Arthur Hoeld, Ketua Pegawai Eksekutif PUMA SE. “Kami berharap dapat membina hubungan yang membuahkan hasil dan meneroka bidang yang membolehkan kekuatan masing-masing mewujudkan nilai mampan untuk PUMA dan para pemegang sahamnya dalam perjalanan kami untuk menjadi antara 3 jenama sukan global teratas.”

ANTA Sports menghormati sepenuhnya warisan sukan PUMA, identiti jenama dan budaya korporatnya yang tersendiri, serta tadbir urus bebas dan autonomi jenamanya. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Kumpulan akan mendapatkan perwakilan yang sewajarnya dalam Lembaga Penyeliaan PUMA. Kumpulan pada masa ini tidak mempunyai rancangan untuk membuat tawaran pengambilalihan bagi PUMA.