Kerajaan Setuju Benarkan Sektor Perladangan Ambil Pekerja Asing – Johari

BANGI, 23 Jan (Bernama) — Kerajaan bersetuju membenarkan pengambilan pekerja asing khusus untuk sektor perladangan di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), kata menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata perkara itu telah dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri kepadanya yang memutuskan hanya sektor perladangan pada masa ini yang dibenarkan untuk mengambil pekerja asing.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia bersetuju bahawa pekerja asing selain sektor perladangan tidak dibenarkan masuk lagi tetapi untuk industri perladangan ia terbuka dan diberi peluang.

“Setakat kaji selidik sehingga Disember 2023, kita menganggarkan seramai 40,000 pekerja diperlukan ketika ini, tetapi mana-mana syarikat yang terlibat dalam perladangan perlu mengemukakan permohonan (pengambilan pekerja asing),” katanya kepada media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2023, di sini.

Johari turut menegaskan syarikat yang ingin membuat permohonan pengambilan pekerja asing untuk industri perladangan perlu memastikan kehendak spesifik pekerjaan di ladang dan bukan dalam sektor lain.

“KPK juga akan memastikan sesiapa yang membawa masuk pekerja asing akan menyediakan tempat tinggal yang elok dan sempurna kerana kita tidak mahu timbul isu pekerja asing dianggap dalam keadaan buruh paksa.

“Saya difahamkan oleh menteri KDN, mana-mana syarikat yang membawa masuk pekerja asing ke dalam negara kemudian tidak ada kerja, tetap kena bayar gaji kepada pekerja tersebut untuk mengelak negara kita daripada dituduh sebagai mengamalkan pemerdagangan manusia atau buruh paksa,” katanya.

Terdahulu, Johari menyaksikan penyerahan dana khusus untuk Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TPKS 2.0) berjumlah RM100 juta daripada MPOB kepada Agrobank.

Dana yang disediakan menerusi Belanjawan 2024 terdiri daripada komponen geran (50 peratus) dan sebahagian lagi adalah pembiayaan (50 peratus) kepada pekebun kecil persendirian.

Penyaluran dana bagi kedua-dua komponen geran dan pembiayaan akan disalurkan sepenuhnya oleh Agrobank dan bayaran balik oleh pemohon hanya melibatkan 50 peratus (termasuk dua peratus faedah) daripada keseluruhan jumlah dana disalurkan.

Nilai pembiayaan adalah sebanyak RM14,000 per hektar untuk pekebun kecil di Semenanjung Malaysia manakala RM18,000 per hektar kepada pekebun kecil di Sabah dan Sarawak dan permohonan telah dibuka bermula 15 Jan lepas.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Mendatar Di Bawah Garisan SMA 50 Hari

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO menurun MYR2 untuk ditutup pada paras MYR4,535 selepas tekanan jualan muncul berhampiran garisan SMA 50 hari. Pada Jumaat, komoditi ini membuka sesi dagangan pada harga MYR4,547. Ia kemudiannya berayun antara MYR4,570 dan MYR4,518 sebelum menutup dagangan pada paras MYR4,535. Pergerakan harga ini mengesahkan bahawa garisan SMA 50 hari terus menjadi paras rintangan overhed.

Selagi komoditi ini berada di bawah garisan purata bergerak jangka sederhana ini, mereka yang menantikan penurunan harga akan mempunyai kelebihan teknikal. Sementara itu, paras rintangan kukuh dijangka berada pada paras MYR4,700. Dalam keadaan pasaran menurun, paras rintangan kukuh dan akan menghalang kenaikan harga komoditi ini. Kami akan terus berpegang pada bias dagangan negatif melainkan FCPO menembusi paras ambang MYR4,700 tersebut.

Kami menyarankan para pedagang untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada 12 Mei atau MYR4,481. Untuk mengurus risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi masih kukuh pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama berada pada MYR4,390 yang diikuti oleh paras MYR4,300. Paras rintangan terdekat sebaliknya berada pada MYR4,700 dan diikuti oleh paras rintangan lebih tinggi bernilai MYR4,840