Singapura Bentang Belanjawan ‘Lebihan Kecil’ Bagi Tahun Kewangan 2024

SINGAPURA, 16 Feb (Bernama) — Singapura membentangkan belanjawan ‘lebihan kecil’ sebanyak S$0.8 bilion (S$1=RM3.55) bagi tahun kewangan 2024, atau 0.1 peratus daripada keluaran negara kasar (KDNK), yang pada asasnya adalah kedudukan fiskal yang seimbang, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Lawrence Wong.

“Pendekatan keseluruhan adalah wajar memandangkan kami menyediakan sokongan bersasar untuk isi rumah dan perniagaan meskipun ekonomi diunjurkan beroperasi hampir pada tahap berpotensi,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen hari ini.

Dalam lampiran yang dikeluarkan kepada media, hasil operasi bagi 2024 dianggarkan berjumlah S$108.64 bilion.

Anggaran jumlah perbelanjaan ialah S$111.76 bilion, terdiri daripada perbelanjaan mengurus sebanyak S$88.43 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak S$23.33 bilion

Bagi tahun kewangan 2023, Wong berkata kutipan hasil negara adalah lebih baik daripada jangkaan, terutamanya disumbang oleh kutipan cukai pendapatan korporat yang lebih tinggi.

“Mengambil kira kedua-dua peningkatan hasil dan juga perbelanjaan yang lebih tinggi, kami menjangkakan tahun kewangan 2023 ditutup dengan defisit S$3.6 bilion, atau 0.5 peratus daripada KDNK,” katanya.

Bagi 2024, Wong berkata prospek ekonomi dijangka bercampur-campur

“Pertumbuhan di ekonomi utama dijangka berdaya tahan.Tetapi risiko geopolitik terus memberi risiko yang besar dengan perang masih berterusan di Eropah dan Timur Tengah.

“Konflik ini boleh menggugat pasaran tenaga dan rantaian bekalan global,”ujarnya.

Bagaimanapun, Wong berkata, masih terdapat petanda positif. 

“Tekanan inflasi global dijangka terus surut. Ini memberikan sedikit ruang kepada bank pusat utama untuk mengguna pakai pendekatan lebih akomodatif yang boleh melegakan keadaan kewangan dan menyokong permintaan.

“Industri elektronik global dijangka terus pulih.Ini akan meningkatkan pertumbuhan banyak ekonomi serantau, termasuk rakan dagangan utama kami,” katanya.

Wong berkata Asia akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan global, dengan peluang yang lebih luas, bukan sahaja di China, tetapi juga di India dan banyak negara di Asia Tenggara.

“Secara keseluruhannya, kami optimis dalam berhati-hati bahawa 2024 akan menjadi tahun yang lebih baik. Selain inflasi rendah, kami menjangka pertumbuhan KDNK lebih tinggi pada 1.0 hingga 3.0 peratus,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Akta Sewa Beli Baharu Kukuh Hak Pengguna, Pembiayaan Lebih Telus

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 yang bermula bulan ini dilihat sebagai langkah penting untuk memperkukuh perlindungan pengguna, meningkatkan ketelusan pasaran pembiayaan serta memodenkan urusan sewa beli menerusi penggunaan teknologi digital.

Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata penguatkuasaan pindaan berkenaan memberi ruang kepada pengguna mengurangkan komitmen pinjaman sekiranya mereka membuat penyelesaian awal atau pembayaran tambahan terhadap pinjaman yang diambil.

Beliau berkata, penjimatan yang diperoleh bergantung kepada jumlah bayaran awal atau tambahan yang dibuat oleh pengguna sepanjang tempoh pembiayaan.

“Apabila penguatkuasaan ke atas pindaan Akta Sewa Beli bermula, ia akan memberi ruang kepada pengguna untuk mengurangkan komitmen pinjaman mereka jika mereka mengambil keputusan membuat penyelesaian awal atau pembayaran tambahan terhadap pinjaman.

“Penjimatan yang diperoleh bergantung kepada jumlah bayaran awal atau tambahan yang dibuat,” katanya kepada BH.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, pindaan berkenaan turut membantu pengguna membuat keputusan kewangan yang lebih memihak kepada kepentingan mereka, namun manfaat itu hanya dapat dimaksimumkan sekiranya pengguna mempunyai kefahaman dan literasi kewangan yang mencukupi.

Katanya, pengguna perlu memahami sepenuhnya perubahan yang diperkenalkan menerusi akta baharu itu supaya mereka dapat menilai pilihan pembiayaan dengan lebih tepat dan berkesan.

Beliau turut menjelaskan, pindaan yang membenarkan penggunaan dokumentasi serta tandatangan digital dalam urusan sewa beli akan memberikan manfaat daripada pelbagai sudut termasuk mempercepatkan proses transaksi dan meningkatkan tahap keselamatan.

“Transaksi dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan selamat selain membantu mengurangkan kos transaksi yang ditanggung oleh pengguna dan pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, dalam jangka panjang, pindaan berkenaan dijangka meningkatkan perlindungan kepada pengguna selain mendorong industri menawarkan perkhidmatan yang lebih mesra pelanggan serta kadar pembiayaan yang lebih kompetitif.

Sementara itu, Pengarah Pakar Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPP Wealth Managers Ltd, Mohd Sedek Jantan berkata, pindaan itu tidak semestinya menjamin penjimatan automatik kepada semua peminjam dari segi jumlah ansuran atau kadar pembiayaan yang ditawarkan.

Namun, beliau berkata, perubahan itu mewujudkan struktur pengiraan faedah yang lebih adil kerana ia mencerminkan kos pembiayaan sebenar yang ditanggung oleh pengguna melalui penggunaan kaedah baki berkurangan atau ‘reducing balance’.

“Di bawah kaedah lama, faedah dikira berdasarkan jumlah pinjaman asal sepanjang tempoh pembiayaan menyebabkan sebahagian besar bayaran pada tahun-tahun awal digunakan untuk membayar faedah.

“Sebaliknya, di bawah kaedah baki berkurangan, faedah hanya dikenakan ke atas baki prinsipal semasa. Oleh itu, setiap bayaran tambahan yang dibuat akan terus mengurangkan prinsipal dan seterusnya mengurangkan jumlah faedah yang perlu dibayar pada masa hadapan,” katanya.

Mohd Sedek berkata, sebagai contoh, pengguna yang mengambil pembiayaan kenderaan sebanyak RM100,000 bagi tempoh sembilan tahun dan membuat bayaran tambahan RM10,000 selepas lima tahun akan menikmati pengurangan baki prinsipal yang seterusnya mengurangkan caj faedah pada tahun-tahun berikutnya.

Katanya, kesan paling ketara akan dinikmati oleh pengguna yang mengamalkan disiplin kewangan yang baik termasuk membuat penyelesaian awal, bayaran tambahan secara berkala atau memilih tempoh pembiayaan yang lebih pendek.

Beliau menjelaskan, antara perkara paling penting yang perlu diberi perhatian oleh pengguna bukanlah kadar faedah yang kelihatan rendah, sebaliknya jumlah sebenar yang perlu dibayar sepanjang tempoh pinjaman.

Katanya, penggunaan kadar faedah efektif (EIR) dan kaedah baki berkurangan membolehkan pengguna melihat gambaran lebih jelas mengenai kos sebenar pembiayaan, sekali gus membantu mereka membuat keputusan berdasarkan kemampuan kewangan sebenar dan bukan sekadar tertumpu kepada jumlah ansuran bulanan.

“Ketelusan yang lebih tinggi membantu pengguna membuat keputusan yang lebih bermaklumat, mengelakkan komitmen hutang yang berlebihan dan menggalakkan amalan peminjaman yang lebih bertanggungjawab.

“Ini bukan sekadar soal formula pengiraan faedah, tetapi membantu rakyat memahami implikasi kewangan sesuatu pinjaman sebelum mereka membuat komitmen yang mungkin berlangsung sehingga tujuh atau sembilan tahun,” katanya.

— Berita Harian