Moomoo Lancar Aplikasi Super Pelaburan Semua Dalam Satu di Malaysia; Memperkasakan Pendigitalan Kewangan Tempatan

  • Antara firma pembrokeran digital global pertama yang dikurniakan Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal; komited ke arah menggalakkan keterangkuman kewangan dan memangkin pertumbuhan dalam pasaran modal tempatan
  • Teknologi tercanggih, perdagangan yang serba lancar dan akses percuma kepada sumber komprehensif bertaraf profesional yang bakal mengubah pengalaman pelaburan untuk rakyat Malaysia

Kuala Lumpur, Malaysia – Selasa, 27 Februari 2024 – Moomoo, aplikasi super pelaburan semua dalam satu tercanggih dilancarkan secara rasmi di Malaysia hari ini. Berbekalkan misi untuk menggalakkan inovasi kewangan tempatan dan memperkasakan pengguna, syarikat itu bakal menyediakan pengalaman pelaburan digital yang profesional, boleh dipercayai dan berinovasi kepada pelabur Malaysia.

Komited ke arah Inovasi Teknologi dan Keterangkuman Kewangan: Memacu Pendigitalan Kewangan Malaysia

Futu Malaysia Sdn. Bhd. (“Moomoo MY”) adalah antara firma pembrokeran digital global pertama yang dikurniakan Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (“SC”). Lesen itu membolehkan Moomoo MY menawarkan perkhidmatan perdagangan dan penjelasan sekuriti dan derivatif untuk kedua-duanya. Syarikat itu telah mengadakan majlis pelancaran rasmi di Kuala Lumpur hari ini yang dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Muhamad Umar Swift; Rakan Kongsi Kanan, Naib Presiden Kanan dan Ketua Asia Tenggara dan Oseania Futu Holding Limited, Robin Xu; Ketua Pegawai Eksekutif Moomoo Malaysia, Ivan Mok; Ketua Pegawai Operasi Moomoo Malaysia, Dennis Jee; serta eksekutif-eksekutif kanan yang lain. 

“Kemasukan Moomoo ke Malaysia menggariskan komitmen kami terhadap pemerkasaan pelbagai pasaran kewangan menerusi teknologi. Berpegang kepada misi kami untuk ‘Menjadikan pelaburan lebih mudah, bukan bersendirian’, kami berusaha untuk menggalakkan kesaksamaan maklumat, pembukaan akses, dan penciptaan nilai dalam ekonomi Malaysia yang dinamik. Menerusi teknologi, kami bertujuan untuk menggalakkan kesaksamaan maklumat, membuka lebih banyak akses kepada pelaburan dan pengurusan kekayaan, serta mencipta nilai untuk pelabur dan pasaran modal tempatan. Ekonomi Malaysia yang  dinamik, ditambah pula dengan sokongan dasar baru-baru ini, telah menyaksikan pembangunan pesat dalam pasaran modalnya. Sebagai sebuah platform pelaburan yang menghubungkan 21 juta pelabur runcit di seluruh dunia, kami membayangkan kerjasama dengan bursa-bursa, badan-badan pengawalseliaan, dan rakan-rakan kongsi dalam tempoh terdekat untuk menjadi sebuah gerbang yang menghubungkan produk pelaburan Malaysia dengan pasaran modal dan pelabur global,” kata Rakan Kongsi Kanan, Naib Presiden Kanan dan Ketua Asia Tenggara dan Oseania Futu Holding Limited, Robin Xu.

“Malaysia dengan populasi yang agak muda telah menyaksikan peningkatan dari segi minat dalam pelaburan terarah sendiri. Komitmen negara terhadap pembangunan teknologi dan inovasi telah mendorong kami untuk memilih Malaysia sebagai destinasi kedua untuk mengembangkan kehadiran kami di Asia Tenggara selepas Singapura. Dengan perkembangan pesat landskap fintech (teknologi kewangan) di Malaysia dan rangka kerja pengawalseliaan yang bersifat menyokong, wujud permintaan yang jelas untuk penyelesaian pelaburan berinovasi. Kami yakin bahawa kami dapat mencipta semula kejayaan yang telah kami saksikan di Singapura di sini dan berganding bahu dengan para pelabur dan peserta pasaran untuk meningkatkan lagi daya saing pasaran modal dan infrastruktur kewangan Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa,” tambah Xu.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad, Datuk Muhamad Umar Swift, mengalu-alukan kemasukan Moomoo MY ke Malaysia, dan sebagai Organisasi Peserta Bursa. “Dalam pasaran yang dipacu oleh teknologi hari ini, adalah penting untuk industri memanfaatkan sepenuhnya data dan alat digital untuk menjadikan pelaburan lebih mudah diakses dan lebih cekap. Pelabur mahukan pilihan, dan kami menggalakkan semua Organisasi Peserta untuk menggunakan kuasa teknologi baharu bagi meningkatkan pengalaman pelaburan para pelabur, dan menggalakkan lagi keterangkuman kewangan di Malaysia. Kami mengucapkan tahniah kepada Moomoo MY atas pelancaran aplikasi pelaburan yang berinovatif sempena kemasukannya ke Malaysia.”

Memecahkan Halangan: Mendemokrasikan Peluang Pelaburan

Selain memperkasakan infrastruktur kewangan tempatan, Moomoo Malaysia juga komited untuk memudahkan setiap pelabur memulakan perjalanan pelaburan mereka dan menjamin masa depan kewangan mereka. Menerusi pelbagai alat penganalisisan canggih dan bertaraf profesional termasuk Peta Haba, Penyaring Saham, Penjejakan Institusi, Rantaian Industri, dan Pemantau Pasaran, Moomoo mengubah landskap pelaburan menerusi inovasi teknologi.

Pelabur Malaysia kini mempunyai akses kepada Moomoo, yang menawarkan pelbagai ciri termasuk akses kepada lebih 1,000 saham Malaysia dan 9,000 saham AS, ETF, alat penganalisisan yang dikuasakan oleh AI, sumber penyelidikan, keupayaan carta lanjutan, data masa sebenar, dan berita terkini daripada lebih 150 agensi media terkemuka – semuanya boleh didapati secara terus dalam platform Moomoo. Pemegang akaun universal Moomoo MY akan menikmati akses percuma kepada 3 sebut harga kedalaman pasaran saham Malaysia Tahap 1 dan 60 sebut harga kedalaman pasaran saham AS Tahap 2. Platform ini juga akan menawarkan dagangan tanpa komisen[i] ke atas saham serta ETF bagi pasaran Malaysia dan AS untuk jangka masa yang terhad.

Ketua Pegawai Eksekutif Moomoo Malaysia, Ivan Mok menegaskan, “Pengguna kami akan mendapat manfaat daripada akses tanpa had kepada peralatan dan sumber bertaraf profesional, yang selalunya dikaitkan dengan perkhidmatan premium. Ini mengukuhkan lagi komitmen kami terhadap usaha memberikan peluang yang sama rata, menjadikan pelaburan terarah sendiri mudah, senang, dan boleh diakses oleh semua orang, tanpa mengira tahap pengalaman mereka.”

Memperkasakan Keterangkuman dan Celik Kewangan

Selain menyediakan pengalaman dagangan yang lebih baik dan lancar kepada para pengguna, Moomoo MY juga komited ke arah meningkatkan kadar celik kewangan dengan menawarkan lebih daripada 600 kursus pelaburan percuma menerusi Pembelajaran Moo. Komitmen ini memastikan bahawa semua pelabur,  sama ada yang baharu atau berpengalaman, mempunyai akses kepada bahan pendidikan bagi meningkatkan kepakaran mereka dan sentiasa mendahului trend industri.

Satu lagi ciri unik platform ini ialah komuniti dalam taliannya yang aktif dan bertenaga, menghubungkan lebih daripada 1,000 pakar dan pemimpin pendapat utama (KOL) dalam komuniti pelaburan global yang terdiri daripada lebih 21 juta ahli. Komuniti Moo bertindak sebagai hab untuk kerjasama pembelajaran, membolehkan para peserta bertukar idea, maklumat, dan pengalaman pelaburan, serta memupuk semangat saling sokong-menyokong demi pertumbuhan dan pembangunan bersama.

“Moomoo menggabungkan akses serta pelbagai peralatan dan sumber pendidikan yang komprehensif dengan sempurna, bagi memberikan pengalaman pelaburan yang dapat menembusi sempadan tradisional. Platform kami direka khusus untuk mengubah cara orang ramai melabur, dan memperkasakan pelabur Malaysia dengan peralatan dan sumber yang mereka perlukan untuk bukan sahaja mengambil bahagian, tetapi juga berjaya dalam pasaran kewangan,” ujar Ketua Pegawai Operasi Moomoo Malaysia, Dennis Jee.

Promosi Eksklusif untuk Pelabur Malaysia

Sempena pelancaran rasminya, Moomoo MY turut melancarkan promosi dan faedah eksklusif untuk pelabur Malaysia. Mulai hari ini hingga 31 Mac 2024, pengguna baharu[ii] yang berjaya membuka akaun universal Moomoo MY dan meletakkan deposit berjumlah RM8000 akan layak untuk mendapatkan saham Apple secara percuma[iii]. Mereka yang berjaya membuka akaun universal Moomoo MY dengan deposit terkumpul RM500 akan menerima ganjaran tunai RM100[iv].

Selain itu, pedagang yang membuat sekurang-kurangnya satu transaksi menggunakan akaun universal Moomoo MY mereka di sepanjang tempoh promosi tersebut, akan menerima akses percuma selama satu bulan untuk data pasaran MY Tahap 2. Pengguna boleh mengumpulkan sehingga 6 bulan data pasaran MY Tahap 2 secara percuma semasa tempoh ini[v].

Pelabur Malaysia boleh memuat turun aplikasi ini dari Apple App Store atau Google Play Store untuk memulakan perjalanan pelaburan mereka dengan Moomoo. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Moomoo Malaysia dan perkhidmatannya, sila kunjungi www.moomoo.com/my.


[i] Pengguna yang membuka akaun pembrokeran Moomoo MY mulai hari ini hingga 31 Mac 2024 akan menikmati dagangan tanpa komisen selama 180 sahaja dari tarikh akaun berjaya dibuka. Tertakluk kepada Terma & Syarat penuh dan yuran-yuran lain yang dikenakan.

[ii] Kelayakan Kempen: Pengguna baharu yang berjaya membuka akaun universal Moomoo MY dan tidak membuat sebarang deposit ke dalam akaun sebelum 27 Februari 2024. Pelanggan tidak boleh mengambil bahagian dalam mana-mana promosi pelanggan baharu yang lain, termasuk aktiviti ‘Team up with A Friend to Get 1×Apple Stock’.

[iii] Untuk layak mendapatkan saham Apple percuma, anda mesti berjaya membuka akaun universal Moomoo MY dan mendepositkan jumlah terkumpul sekurang-kurangnya RM8,000 ke dalam akaun sebelum 11:59PM MYT pada 31 Mac 2024. Selepas deposit sebanyak RM8,000 berjaya dikumpulkan, anda juga mesti berjaya menuntut saham Apple menerusi laman pendaratan aktiviti. Saham Apple akan dikeluarkan selepas berjaya membuat deposit, dan akan diaktifkan sekiranya anda mengekalkan aset (termasuk tunai, saham dan aset lain) sebanyak RM8,000 (atau mata wang yang sama nilai) selama 30 hari. Disebabkan turun naik harga saham, jumlah nilai aset dibenarkan turun sebanyak 10% daripada jumlah yang dinyatakan. Kempen ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana syarikat dan ahli gabungannya yang diberi ganjaran dengan saham. Saham Apple akan dikreditkan ke dalam akaun universal Moomoo MY anda dalam tempoh 3 hari kalendar. Saham Apple percuma hanya sah dalam tempoh 90 hari dari tarikh pengeluaran, jika tidak dituntut, saham Apple percuma ini akan luput.

[iv] Mereka yang berjaya membuka akaun universal Moomoo MY dan mendepositkan jumlah terkumpul sekurang-kurangnya RM500 sebelum 11.59pm pada 31 Mac 2024 akan menerima ganjaran tunai RM100 yang terdiri daripada kupon tunai RM50*1 dan kupon tunai saham RM10*5. Kupon tunai saham RM10*5 akan dikeluarkan dan diaktifkan selepas berjaya membuat deposit. Kupon tunai RM50*1 akan dikeluarkan selepas berjaya membuat deposit, dan akan diaktifkan jika anda mengekalkan aset (termasuk tunai, saham dan aset lain) sebanyak RM500 (atau mata wang yang sama nilai) selama 30 hari. Kupon saham dan kupon tunai itu sah dalam tempoh 90 hari dari tarikh pengeluaran.

[v] Dagang mana-mana saham AS dan/atau MY dengan akaun universal Moomoo MY sekurang-kurangnya sekali sebelum 11:59PM MYT pada 31 Mac 2024. Anda akan menerima 1 kupon untuk setiap dagangan, dengan maksimum 6 kupon. 6 kupon boleh digunakan untuk membuka 6 bulan data pasaran MY Tahap 2 secara percuma.

Moomoo masih belum menyediakan pilihan akaun patuh Syariah kepada pengguna di Malaysia. Artikel ini diterbitkan untuk tujuan hebahan dan perkongsian maklumat sahaja. Segala keputusan perdagangan atau pelaburan adalah tanggungjawab anda sendiri. MajalahLabur.com tidak mempunyai sebarang kaitan, kerjasama atau hubungan rasmi dengan jenama tersebut.

Previous ArticleNext Article

Minat Nak Jadi Remisier? Begini Caranya

Sebelum ini kami ada cerita serba sedikit tentang Best Ke Jadi Remisier? Kita dapat tahu kelebihan menjadi seorang remisier, selain daripada berkongsi ilmu dapat juga menjana pendapatan yang lumayan.

Malah Master Yus yang dahulunya dikenali sebagai seorang perempit di litar bursa, kini telah maju selangkah lagi untuk menjadi seorang remisier. Ikuti kisah beliau yang penuh inspirasi di Kisah Perempit Di Litar Bursa Kepada Seorang Remisier.

Berminat untuk menjadi remisier? Langkah pertama adalah memahami keperluan pelesenan, kelayakan dan peperiksaan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Eh, nampak macam mudah je kan? Mesti kacang putih punya.

Berkenalan Dengan Suruhanjaya Sekuriti Terlebih Dahulu

Untuk menjadi seorang remisier, kita perlu tahu dulu siapa itu Suruhanjaya Sekuriti. Kalau berkaitan bank, simpanan dan takaful kita ada Bank Negara Malaysia (BNM), kalau berkaitan bank pelaburan dan pelaburan pula kita ada Suruhanjaya Sekuriti atau Securities Commission (SC).

Siapakah Securities Commission (SC)?

Sumber gambar: The Malaysian Reserve

Untuk itu, kita rujuk kepada laman web SC untuk tahu lebih lanjut:

Ditubuhkan pada 1 Mac 1993 bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, SC merupakan badan statutori biaya kendiri dengan kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan. SC melapor kepada Menteri Kewangan dan akaunnya dibentangkan di Parlimen secara tahunan. SC mempunyai banyak fungsi pengawalseliaan termasuk:

  • Mengawal selia bursa-bursa, rumah-rumah penjelasan dan depositori pusat;
  • Mendaftarkan prospektus syarikat selain daripada kelab-kelab rekreasi tidak tersenarai;
  • Meluluskan terbitan bon;
  • Mengawal selia semua perkara yang berhubung kait dengan sekuriti dan derivatif;
  • Mengawal selia pengambilalihan dan percantuman syarikat-syarikat;
  • Mengawal selia semua perkara yang berkaitan dengan skim unit amanah;
  • Melesenkan dan mengawasi semua individu yang berlesen;
  • Menggalakkan kawal selia sendiri; dan
  • Memastikan perilaku yang betul di kalangan institusi pasaran dan individu berlesen.

Melaksanakan semua fungsi ini merupakan tanggungjawab besar SC dalam melindungi pelabur. Selain daripada melaksanakan fungsi kawal selia, SC juga bertanggungjawab di bawah undang-undang untuk menggalakkan dan mempromosikan pembangunan sekuriti dan derivatif di Malaysia.

Perhatikan tiga point yang terakhir tersebut, betapa pentingnya SC menitikberatkan bab lesen di dalam industri pelaburan di Malaysia.

Aktiviti Yang Memerlukan Lesen Di Malaysia

Sumber: Licensing Handbook mukasurat 10 – fail PDF

Tengok betul-betul lapan aktiviti yang digariskan oleh SC seperti di atas. Nak berurusan dengan sekuriti (saham, waran, REIT, ETF dan bon) kita kena jadi seorang remisier yang berdaftar dengan SC. Nak jual unit trust atau amanah saham pun kena daftar juga tau. Kalau nak promote dan jual Skim PRS atau Private Retirement Scheme pun kena daftar dengan SC.

Ada Syarat Nak Jadi Remisier?

Ya, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadi remisier atau wakil berlesen bagi aktiviti dealing in securities.

Antara syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ialah:

  1. Berumur sekurang-kurangnya 21 tahun.
  2. Memenuhi kriteria fit and proper yang ditetapkan oleh SC.
  3. Memenuhi keperluan kelayakan akademik dan pengalaman kerja yang berkaitan.
  4. Lulus kombinasi modul peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) yang ditetapkan bagi aktiviti dealing in securities.

Untuk mengetahui kombinasi modul peperiksaan yang diperlukan, anda boleh merujuk kepada panduan modul peperiksaan CMSRL mengikut aktiviti.

Nota: Panduan modul peperiksaan ini disediakan oleh SIDC Prep, sebuah platform persediaan peperiksaan bebas yang tidak berafiliasi, disokong atau disahkan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bursa Malaysia. Maklumat ini disediakan untuk tujuan rujukan sahaja. Calon hendaklah merujuk kepada sumber rasmi SC bagi mendapatkan keperluan pelesenan terkini.

Maklumat lanjut mengenai syarat kelayakan dan pelesenan boleh dirujuk dalam Licensing Handbook Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Untuk memohon lesen sebagai wakil berlesen dalam aktiviti dealing in securities, calon perlu memenuhi kriteria kelayakan akademik, pengalaman dan kompetensi yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Bagi keperluan peperiksaan, calon perlu lulus kombinasi modul SC Licensing Examinations (SCLE) yang ditetapkan, antaranya:

  • Modul 6 dan Modul 7
  • Modul 6 dan Modul 18
  • Modul 7 dan Modul 17
  • Modul 17 dan Modul 18

Keperluan sebenar tertakluk kepada kategori aktiviti terkawal dan kriteria pelesenan semasa SC. Calon disarankan merujuk Licensing Handbook terkini sebelum membuat permohonan.

Nak Jadi Remisier? Ini Modul Peperiksaan SCLE Yang Perlu Anda Lulus

Kebanyakan calon yang ingin menjadi remisier memilih untuk mengambil Modul 6 dan Modul 7. Tetapi, apakah yang dipelajari dalam kedua-dua modul ini?

Modul 6 – Stock Market and Securities Law (Pasaran Saham dan Undang-undang Sekuriti)

Modul 7 – Financial Statement Analysis and Asset Valuation (Analisis Penyata Kewangan dan Penilaian Aset)

Bagi tahun 2026, yuran peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) ialah RM1,250 bagi setiap modul untuk calon warganegara Malaysia, termasuk calon yang menduduki peperiksaan buat kali pertama atau mengulanginya.

Calon boleh merujuk laman rasmi SIDC untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai struktur yuran, bahan pembelajaran dan peperiksaan.

Dah Pergi Kelas, Ambil Peperiksaan Pula

Selepas mengikuti kelas persediaan dan membuat ulang kaji, calon perlu menduduki peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) bagi modul yang ditetapkan.

Kedua-dua Modul 6 dan Modul 7 mengandungi 60 soalan objektif (Multiple Choice Questions atau MCQ) yang perlu dijawab dalam tempoh 90 minit.

Dengan markah lulus sebanyak 60%, calon perlu menjawab sekurang-kurangnya 36 daripada 60 soalan dengan betul untuk lulus peperiksaan bagi setiap modul.

Walau bagaimanapun, calon disarankan menyemak format dan struktur peperiksaan terkini melalui laman rasmi SIDC sebelum menduduki peperiksaan.

Yuran Peperiksaan

Bagi tahun 2026, yuran peperiksaan SC Licensing Examinations (SCLE) ialah RM1,250 bagi setiap modul, untuk calon yang menduduki peperiksaan buat kali pertama atau mengulanginya.

Struktur yuran ini berkuat kuasa mulai 1 Mac 2026 hingga 28 Februari 2027. Oleh itu, calon perlu mengambil kira kos peperiksaan bagi setiap modul sebelum membuat persediaan untuk mendapatkan lesen dalam industri pasaran modal.

Sumber rasmi: SIDC – The SC Licensing Examinations

Senang Ke Nak Lulus?

Prestasi kelulusan berbeza mengikut modul dan tahun. Calon boleh meneliti kadar kelulusan terdahulu sebagai salah satu rujukan untuk merancang persediaan peperiksaan.

Sumber: Kadar kelulusan mengikut modul, 2015–2024

Nota: Maklumat kadar kelulusan peperiksaan ini dirujuk daripada SIDC Prep, sebuah laman latihan peperiksaan bebas yang tidak berafiliasi, disokong atau disahkan oleh Securities Industry Development Corporation (SIDC), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Bursa Malaysia. Data disediakan untuk tujuan maklumat dan rujukan sahaja

Didoakan supaya anda berjaya menjadi seorang remisier, dan menjadi seorang pendidik bagi membantu lebih ramai orang terbuka mata tentang pelaburan saham patuh syariah di Malaysia.

Memang nampak macam senang, tetapi realitinya kita perlu bersabar kerana ianya mengambil masa beberapa bulan juga, daripada saat pergi ke kelas, belajar daripada buku, ambil exam olok-olok, ambil exam sebenar, dan akhirnya dapat sijil mengatakan “Tahniah, Anda Lulus”!

Soalan Lazim Tentang Cara Menjadi Remisier

1. Berapa umur minimum untuk menjadi remisier?

Calon perlu berumur sekurang-kurangnya 21 tahun dan memenuhi syarat pelesenan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

2. Adakah wajib lulus Modul 6 dan Modul 7?

Tidak semestinya. Terdapat beberapa kombinasi modul SCLE yang dibenarkan bagi aktiviti dealing in securities, tertakluk kepada keperluan pelesenan SC.

3. Berapakah yuran peperiksaan SCLE pada tahun 2026?

Bagi calon warganegara Malaysia, yuran peperiksaan ialah RM1,250 bagi setiap modul untuk tempoh 1 Mac 2026 hingga 28 Februari 2027.

4. Berapa soalan dalam peperiksaan Modul 6 dan Modul 7?

Setiap modul mengandungi 60 soalan objektif yang perlu dijawab dalam tempoh 90 minit. Markah lulus ialah 60%, bersamaan sekurang-kurangnya 36 jawapan betul.

5. Berapa lama masa diperlukan untuk menjadi remisier?

Tempoh bergantung kepada persediaan calon, jadual peperiksaan, kelulusan modul dan proses permohonan lesen. Tiada satu tempoh tetap yang terpakai kepada semua calon.