Pelan 10 Tahun Bumiputera Yang Lebih ‘Segar Dan Inklusif’ Akan Dilancar Pada Jun Depan – Rafizi

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) — Kerajaan akan melancarkan pelan jangka panjang Bumiputera untuk tempoh 10 tahun akan datang yang lebih ‘segar dan inklusif’ pada Jun depan dalam usaha melonjakkan sosioekonomi Bumiputera menerusi pelbagai bidang dan sektor.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata input, cadangan dan pandangan hasil Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 akan dicerakinkan dan diterjemahkan ke dalam hala tuju baharu pemerkasaan bumimputera ini.

“Kerajaan akan memberi fokus kepada usaha pemerkasaan dan pemerkasaan golongan kelas pertengahan Bumiputera yang mampu mencipta nilai kepada ekonomi.

“(Supaya) beralih daripada sekarang…makan gaji kepada mencipta nilai agar lebih banyak penyertaan kelas menengah Bumiputera dalam perniagaan dan meningkatkan pendapatan berbanding hanya bergantung harap pada pekerjaan bergaji sahaja,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai hala tuju dan pendekatan baharu yang sedang dirangka hasil daripada KEB 2024 bagi melonjakkan lagi tahap sosioekonomi golongan berkenaan supaya terus berdaya saing.

Rafizi berkata golongan kelas pertengahan Bumiputera menghasilkan profesional berpengalaman tinggi, bagaimanapun ketinggalan dalam mencipta nilai yang tidak setara berbanding dengan profesional bukan Bumiputera di dalam negara dan juga golongan kelas pertengahan di luar negara.

“Fokus ini bermakna…kita akan galakkan lebih ramai profesional, maka kita perlu juga beralih dari segi mobilisasi kapital yang bergantung kepada agensi kerajaan semata-mata.

“Sebab itu, bagi pendapat saya, tumpuan kita perlu beralih dalam mewujudkan dasar yang bukan (fokus) semata-mata kepada agensi atau pendanaan yang besar daripada kerajaan seperti mana golongan bukan Bumiputera ataupun golongan kelas menengah di negara-negara lain akan terus membiayai penciptaan nilai menerusi perusahaan-perusahaan baharu bersama-sama kelas menengah…perkara ini dilakukan melalui fungsi swasta,” katanya.

Pendanaan melalui usaha ekuiti persendirian atau modal teroka membolehkan meningkatkan penskalaan perniagaan Bumiputera.

Justeru, beliau berkata tumpuan kerajaan akan lebih kepada membina ekosistem dari segi undang-undang, insentif, percukaian, pembinaan bakat pelaburan dalam kalangan golongan menengah.

“Kerajaan melalui kerangka Ekonomi MADANI mengenal pasti enjin-enjin pertumbuhan baharu termasuk peralihan tenaga, digital, pertanian moden, serta sektor elektrik dan elektronik yang lebih maju.

“Sudah tentu apabila kerajaan meletakkan fungsi-fungsi ini, ia akan bermula dengan (merapatkan) jurang terutama antara usahawan dan profesional Bumiputera dan program khusus yang melibatkan golongan ini membiasakan usaha dengan potensi yang ada dan untuk menggalakkan mereka mengambil risiko menyertai sektor yang begini…ini akan diperhalusi seperti sebahagian dapatan-dapatan yang telah dibincangkan di KEB 2024,” katanya.

Usaha berterusan ini dilihat dapat memperkukuhkan daya saing golongan berkenaan dengan tumpuan juga diberi pada penskalaan bakat, peningkatan pendapatan dalam usaha menokhtahkan (menghapuskan) kemiskinan tegar.

Beliau berkata kadar kemiskinan Bumiputera berada pada tahap 7.9 peratus, diikuti kaum India (5.4 peratus) dan Cina (1.9 peratus) pada 2022. 

Pengangguran dalam kalangan Bumiputera juga adalah yang paling tinggi pada 387,800 orang, 61.5 peratus daripada keseluruhan 630,400 orang penganggur.

Sasaran pemilikan ekuiti korporat 30 peratus juga masih belum tercapai dengan kadar 18.4 peratus pada pada 2020 berbanding bukan Bumiputera pada 29.5 peratus.

— BERNAMA 

Previous ArticleNext Article

MICCI Tekankan Kepentingan Daya Tahan, KeupayaanMenyesuaikan Diri dan Peluang Baharu Ketika Ketidaktentuan Global Membentuk Semula Landskap Perniagaan

Kuala Lumpur – Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) menekankan kepentingan daya tahan, keupayaan menyesuaikan diri serta kerjasama erat antara sektor awam dan swasta ketika perniagaan berdepan dengan persekitaran operasi global yang semakin kompleks, dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan perubahan landskap ekonomi semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan Majlis Makan Tengah Hari Tahunan MICCI ke-53 yang berlangsung semalam.

Acara tersebut menampilkan ucapan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Tuan Sim Tze Tzin, yang turut menyertai sesi dialog bersama Puan Zalina Zainol, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Penggalakan dan Fasilitasi Pelaburan) di MIDA dan Puan Noor Hayati Abu Noh, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik, Seksyen Koordinasi dan Pemantauan di MATRADE. Mereka berkongsi perspektif tentang prospek perdagangan dan pelaburan semasa, sentimen perniagaan, dan impaknya daripada konflik di Asia Barat.

Berucap pada majlis tersebut, Presiden MICCI, Christina Tee menyatakan bahawa perniagaan terpaksa mengharungi siri gangguan sepanjang dekad ini, daripada pandemik global kepada perubahan dasar perdagangan, peningkatan perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik.

“Pada hari ini, konflik di Asia Barat telah mewujudkan kesan berantai terhadap pasaran global, menjejaskan harga tenaga, aliran perdagangan, keputusan pelaburan, rantaian bekalan serta kos operasi. Ia menjadi satu lagi peringatan bahawa perkembangan yang berlaku jauh dari negara kita boleh memberi kesan langsung dan ketara kepada perniagaan di Malaysia,” katanya.

Perniagaan kini sudah mula berdepan dengan gelombang pertama kesan tersebut melalui peningkatan kos logistik, kenaikan harga bahan api dan tenaga serta ketidaktentuan yang lebih besar dalam pasaran global. Namun, sebahagian daripada kesan yang lebih ketara mungkin hanya akan dirasai dalam beberapa bulan akan datang atau bahkan pada tahun hadapan.

“Perniagaan telah menyedari bahawa ketidaktentuan bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Ia kini menjadi sebahagian daripada persekitaran operasi. Daya tahan bukan lagi sekadar kelebihan daya saing, tetapi satu keperluan,” tambah beliau.

Malaysia kekal berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan perubahan dalam rantaian bekalan global, integrasi ekonomi serantau dan peningkatan minat pelabur terhadap ASEAN. Tee menambah bahawa tempoh ketidaktentuan turut boleh membuka peluang untuk penyesuaian, inovasi dan pengukuhan kerjasama antara sektor perniagaan dan pembuat dasar. “Seiring dengan ulang tahun ke-189 MICCI pada tahun ini, kami kekal komited untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai ekonomi yang kompetitif, terbuka dan berhubung secara global, di samping terus memainkan peranan sebagai jambatan yang dipercayai antara komuniti perniagaan antarabangsa dan pembuat dasar,” kata Tee