Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS, Cecah Paras 4.6 Sejak 16 Jan

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) — Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS apabila dibuka tinggi pagi ini mendapat rangsangan daripada petunjuk positif domestik dan disokong oleh keadaan luar yang bertambah baik. 

Pada 9 pagi, ringgit mencecah paras 4.6 dan dibuka pada 4.6830/6895 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.7025/7080 semalam.

Unit tempatan kali terakhir diniagakan pada paras ini ialah pada 16 Jan, berada pada 4.6945 berbanding dolar AS.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit kelihatannya mencatatkan trend meningkat minggu ini.

“Data eksport China yang tinggi mengatasi jangkaan membayangkan sektor luar China semakin bertambah baik dan yuan dijangka mendapat sokongan yang baik dan memandangkan ringgit juga berkorelasi positif dengan yuan, ia mungkin memberikan sokongan kepada ringgit hari ini,” katanya kepada Bernama. 

Unit tempatan susut berbanding pound Britain kepada 6.0017/0101 daripada 5.9952/6.0022 pada Khamis, turun berbanding euro kepada 5.1288/1359 daripada 5.1257/1317 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1702/1748 daripada 3.1778/1817 sebelumnya.

Sementara itu ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang negara-negara Asean lain. 

Unit tempatan meningkat berbanding baht Thai kepada 13.1778/2024 daripada paras penutup pada 13.2130/2340 Khamis, naik berbanding dolar AS kepada 3.5147/5199 daripada 3.5201/5247, menokok berbanding rupiah Indonesia kepada  299.1/299.6 daripada 300.3/300.8 dan menambah berbanding peso Filipina kepada 8.38/8.41 daripada 8.42/8.43.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA