Khazanah Nasional Catat Untung Operasi Lebih Baik RM5.9 Bilion Bagi Tahun Kewangan 2023 

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) — Khazanah Nasional Bhd mencatatkan keuntungan operasi yang lebih tinggi iaitu RM5.9 bilion bagi tahun kewangan 2023 berbanding RM1.6 bilion pada tahun kewangan 2022 dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu.

Pengarah Urusan Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata prestasi lebih kukuh itu dipacu oleh dividen dan pengagihan yang lebih tinggi daripada syarikat penerima pelaburan, keuntungan nilai saksama dan pengekalan modal.

“2023 merupakan tempoh mencabar bagi Khazanah dan pasaran global, dipengaruhi oleh jangkaan kadar tertinggi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), keredaan daripada inflasi yang tinggi, keadaan monetari yang ketat, tumpuan berterusan dalam kecerdasan buatan (AI), pertumbuhan lemah di China dan konflik geopolitik berlanjutan,” katanya semasa taklimat media mengenai Tinjauan Tahunan Khazanah 2024 di sini, pada Isnin.

Beliau berkata namun begitu, Khazanah kekal berdaya tahan dan melaksanakan peruntukan modal yang berdisiplin untuk memberikan pulangan mampan di samping melabur demi masa depan selain menerapkan kemampanan merentas operasi.

Dana kekayaan negara itu mengumumkan dividen lebih baik iaitu sebanyak RM1 bilion untuk 2023 kepada kerajaan (tahun kewangan 2022: RM500 juta), menjadikan dividen kumulatif yang dibayar sejak 2004 kepada RM18.1 bilion.

Amirul Feisal berkata hutang Khazanah meningkat sedikit kepada RM50.2 bilion daripada RM49.1 bilion pada tahun sebelumnya dengan nisbah nilai aset boleh direalisasi (RAV) terhadap hutang kekal sihat pada 2.7x.

“NAV meningkat daripada RM33 bilion pada 2004 kepada RM85 bilion pada 2023, menjadikan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 5.1 peratus, memenuhi mandat Khazanah untuk memberikan pulangan mampan kepada negara dan meningkatkan kekayaan jangka panjang Malaysia,” katanya.

Beliau berkata bagi tahun ini, persekitaran makroekonomi dan pasaran global dijangka kekal mencabar dan tidak menentu, dengan konflik geopolitik berterusan di Asia Barat, kesinambungan Perang Rusia-Ukraine, dan persaingan global di antara China dengan Amerika Syarikat.

Selain itu, kitaran pilihan raya global yang signifikan melibatkan 76 negara yang mewakili lebih 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia akan menambahkan lebih banyak ketidaktentuan, katanya.

“Dalam persekitaran ini, Khazanah kekal berwaspada dalam aktiviti pelaburannya untuk mengekalkan daya tahan portfolio melalui kepelbagaian strategik,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

TH Tidak Sepatutnya Isytihar Hibah 2017 RM2.75 Bilion, Amal Perakaunan Kreatif

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) — Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya mengisytiharkan agihan keuntungan (hibah) tahunan sebanyak 4.50 peratus dan agihan keuntungan (hibah) haji 1.75 peratus yang menelan perbelanjaan sehingga RM2.75 bilion bagi tahun kewangan 2017, menurut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.

Dalam Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi ‘TH dari 2014 hingga 2020 yang diterbitkan malam ini, keghairahan TH untuk membayar agihan keuntungan (hibah) yang tinggi sejak 2014 hingga 2017 sehingga melampaui kemampuan kewangan antara faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan.

Menurut RCI, pengurusan TH telah membuat amalan perakaunan kreatif bagi pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang tinggi.

Suruhanjaya mendapati penyata kewangan “TH dari 2014 hingga 2017 telah diberi Sijil Audit Bersih walaupun laporan audit untuk tahun kewangan 2017 ada menyebutkan mengenai “Emphasis of Matter”.

Berkaitan pengauditan Penyata Kewangan TH 2017, RCI menjelaskan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak sepatutnya mengeluarkan Sijil Audit Bersih bagi tahun kewangan berkenaan kerana perkara yang dinyatakan sebagai ‘Emphasis of Matter’ sepatutnya dinyatakan sebagai ketidakpatuhan.

Penjelasan mengenai “Emphasis of Matter” itu menunjukkan Ketua Audit Negara (KAN) telah mempertimbangkan perkara di luar skop audit dalam penemuannya ketika mengaudit Penyata Kewangan TH 2017, dan jelas JAN tidak tegas dalam pengauditan penyata kewangan ‘TH.

Jabatan Audit Negara Gagal Tegur

Menurut RCI, ketidaktegasan JAN juga dilihat apabila agensi berkenaan gagal menegur ‘TH berkaitan pemberian keuntungan (hibah) yang tinggi sepanjang 2014 hingga 2017.

Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi yang dibuat sebelum 2018 telah menyebabkan rizab ‘TH menyusut, tambah RCI.

“Pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi ini telah menarik para pendeposit yang mencari pulangan yang tinggi. Dalam memenuhi jangkaan pendeposit ini menyebabkan TH tergelincir daripada matlamat penubuhannya.

“Ini mendedahkan “TH kepada risiko pendeposit besar yang berpotensi mengeluarkan deposit mereka (bank run) sekiranya agihan keuntungan (hibah) yang diberi oleh TH adalah terlalu rendah,” tambah RCI.

Menurut RCI, perkara itu berlaku pada 2019 selepas pengumuman agihan keuntungan (hibah) pada kadar 1.25 peratus bahawa terdapat pengecutan dalam deposit.

“Saiz deposit ‘TH menurun daripada kira-kira RM 73 bilion sebelum pengumuman agihan keuntungan (hibah) kepada RM69 bilion pada akhir 2019. TH bernasib baik kerana jumlah pengeluaran deposit dan kesannya adalah lebih kecil daripada apa yang dikhuatiri,” tambah RCI.

Menurut RCI, JAN seharusnya membuat teguran mengenai pengisytiharan agihan keuntungan (hibah) yang terlalu tinggi yang bertentangan dengan kemampuan kewangan ‘TH.

— BERNAMA