Khazanah Tiada Perancangan Jual Pegangan MAHB — Anthony Loke

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) — Kementerian Pengangkutan menolak dakwaan bahawa Khazanah Nasional Bhd berhasrat untuk menjual pegangannya dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada Rakan Infrastruktur Global (GIP), seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata tiada pengumuman rasmi daripada Khazanah berhubung hasrat untuk menjual pegangannya dalam MAHB.

“Belum ada pengumuman daripada kerajaan untuk menjual kepada GIP. Perkara ini tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

“Isu pemilikan ekuiti bagi MAHB untuk (mencari) rakan strategik tidak melibatkan Kementerian Pengangkutan,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat, hari ini. 

Loke menjelaskan bahawa Kementerian Pengangkutan hanya berfungsi sebagai pengawal selia dan tidak boleh terlibat dalam penstrukturan semula ekuiti MAHB yang merupakan pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Struktur ekuiti itu terpulang kepada Khazanah dan mereka akan membuat keputusan dan akan buat pengumuman kalau ada berkenaan penstrukturan semula pegangan ekuiti.

“Saya cukup yakin dengan pengalaman dan profesionalisme Khazanah untuk membuat penilaian dengan siapa mereka mahu pilih rakan strategik,” katanya.

Khazanah kini adalah pemegang saham terbesar dalam MAHB dengan 32.67 peratus, manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memiliki 7.06 peratus kepentingan ekuiti.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Halangan MMC Jual Saham MMC Ports,  Namun Perlu Patuhi Dasar – Anthony Loke

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) — Kementerian Pengangkutan (MoT) tidak mempunyai sebarang halangan jika MMC Corp Bhd berhasrat menjual 49 peratus kepentingannya dalam MMC Port Holdings Bhd (MMC Port) termasuk kepada syarikat asing, namun perkara berkaitan konsesi dan status pemilikan aset utama negara perlu diteliti.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata walaupun aspek berkaitan penjualan pegangan saham berkenaan adalah keputusan korporat, sebarang perubahan terbabit perlu dimaklumkan kepada kementerian selain mematuhi dasar kerajaan yang menetapkan bahawa 51 peratus aset utama negara dipegang oleh syarikat tempatan.

“Saya tidak dimaklumkan lagi berkenaan hal itu (rancangan MMC untuk menjual pegangan saham) tetapi sekiranya ini melibatkan konsesi, sebarang perubahan pemilikan perlu dimaklumkan kepada MoT.

“Penglibatan syarikat asing dalam sektor pelabuhan juga bukanlah sesuatu yang baharu…sebagai contoh, 30 peratus pegangan PTP (Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd) dimiliki oleh Maersk-Line,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran stesen pengecasan kenderaan elektrik Evlution bersama Mastercard dan RHB Bank Bhd di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan media mengenai tindakan syarikat pelaburan berpangkalan di New York, Global Infrastructure Partners (GIP) menangguhkan rancangan pembelian sehingga 49 peratus kepentingan dalam MMC Port yang juga unit perniagaan konglomerat pelabuhan MMC Corp Bhd di bawah kawalan tokoh korporat terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Syed Mokhtar dilaporkan memohon penilaian bernilai RM15 bilion hingga RM20 bilion bagi syarikat itu yang akan menjadikannya sebagai urus niaga terbesar berkaitan pelabuhan di negara ini.

Sementara itu, majlis hari ini merupakan inisiatif awal EVlution untuk menyediakan 2,000 unit stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang 2025, memudahkan akses pengguna kenderaan elektrik untuk mengecas kenderaan mereka di lokasi-lokasi strategik seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Evlution Jeffrey On berkata syarikat itu telah menetapkan sasaran tinggi bagi pemasangan 100 stesen pengecas EV di kawasan-kawasan metropolitan sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, dan Johor.

“Kami sedang dalam proses penawaran bagi program Solar Berskala Besar (LSS) rundingan kelima tahun ini untuk mengukuhkan lagi komitmen terhadap penyelesaian tenaga lestari bagi masa depan lebih cerah,” katanya.

EVlution juga setakat ini merupakan satu-satunya Pengendali Titik Pengecasan (CPO) di Malaysia yang menyediakan sistem pembayaran tergabung bagi membolehkan pengguna membayar pengecasan EV melalui aplikasi mudah alih EVlution atau menggunakan kad fizikal. 

“Melalui kerjasama strategik dengan RHB dan Mastercard, EVlution memperkenalkan platform pembayaran terkini yang memudahkan transaksi dan memajukan penyelesaian mobiliti lestari,” katanya.

— BERNAMA