Industri Besi Dan Keluli Tempatan Terkesan Akibat Kekurangan Aktiviti Dalam Sektor Pembinaan Di China

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) — Industri besi dan keluli tempatan sedang menghadapi cabaran berikutan kekurangan aktiviti dalam sektor pembinaan di China, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata kerajaan telah melaksanakan dua keputusan penting, antaranya pelaksanaan moratorium selama dua tahun kepada pemain industri tempatan untuk menangani cabaran tersebut.

Katanya mulai 15 Ogos 2023, kementerian telah mengenakan moratorium selama dua tahun ke atas semua pertanyaan, penilaian permohonan semasa, permohonan baharu, pemindahan lesen, pembesaran, regularisasi dan pelbagai bagi Lesen Pengilang.

Selain itu, katanya pengeluaran surat pengesahan untuk pengecualian daripada Lesen Pengilang (ICA10) di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 (Akta 156) bagi aktiviti pengilangan dalam industri besi dan keluli.

“Moratorium ini memberikan ruang kepada pemain industri tempatan untuk menyelaras dan membina semula (industri) supaya mereka boleh menghadapi cabaran akan datang termasuk lebihan kapasiti sedunia dan pelepasan karbon.

“Isu pelepasan karbon akan diambil kira setiap kali pemain industri meminta pinjaman bank — moratorium ini membantu syarikat dan pemain industri untuk mencari jalan keluar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Low Kian Chuan yang ingin tahu mengenai keberkesanan inisiatif sedia ada kerajaan dalam membantu dan memperkasakan industri besi dan keluli tempatan.

Dalam pada itu, Liew berkata penubuhan Jawatankuasa Bebas dan Khas bagi industri besi dan keluli untuk mengkaji semula sektor itu mampu memberikan nafas baharu kepada industri berkenaan.

“Jawatankuasa tersebut akan memberi laporan kepada kementerian dalam tempoh enam bulan dan kementerian akan melaksanakan cadangan yang dicadangkan untuk memberikan suntikan dan nafas baharu kepada industri ini,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat.

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos,” jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia.

“Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa,” katanya.

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan.

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan.

–BERNAMA