Kementerian Pengangkutan Yakin ECRL Siap Disember 2026, Mula Operasi Januari 2027 – Loke

SEPANG, 2 April (Bernama) — Kementerian Pengangkutan yakin Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan dapat disiapkan mengikut jadual pada Disember 2026 dan beroperasi bermula Januari 2027 sekali gus menjimatkan masa perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Kuala Lumpur dalam masa empat jam.

Menteri berkenaan Anthony Loke Siew Fook berkata projek berkenaan telah mencatat kemajuan sebanyak 64 peratus setakat Mac 2024 bagi keseluruhan jajaran yang merangkumi empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

“Projek ECRL telah memasuki fasa baharu pembinaan sejak 2023, dengan kerja-kerja infrastruktur juga merangkumi pemasangan rasuk jejambat, pemasangan landasan, pembinaan stesen dan pembinaan depot kereta api. 

“Sepanjang 665 kilometer (km), projek infrastruktur kebangsaaan ini merangkumi lebih 1,900 tapak kerja dan hampir 650 sedang aktif dalam pelbagai aktiviti pembinaan,” katanya semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa Ramadan 2024 bersama warga Kementerian Pengangkutan, projek ECRL dan pihak berkepentingan ECRL di sini hari ini.

Katanya kerja-kerja pengorekan Terowong Berkembar Genting sepanjang 16.39km dengan kombinasi kaedah “gerudi dan letup” beserta mesin pengorek terowong telah mencapai kedalaman melebihi 8km bagi kedua-dua bahagian terowong. 

“Ini bermakna Terowong Berkembar Genting dijangka dapat mencapai penembusan pada suku kedua 2025 sekali gus menjadikannya terowong rel terpanjang di Asia,” katanya.

Loke berkata kerja-kerja jambatan projek ECRL juga berjalan lancar dengan pemasangan rasuk jejambat untuk 155 jambatan daripada jumlah keseluruhan 219 jambatan, telah berjaya disempurnakan setakat Februari 2024. 

Beliau berkata kerja-kerja pemasangan landasan sejauh 92km telah siap pada akhir Februari 2024, iaitu sebulan lebih awal daripada yang dijadualkan.

Justeru, mesin pemasangan trek model ‘CCPG-500A’ yang canggih serta julung kali diguna pakai dalam industri rel di Malaysia, telah mula melaksanakan kerja-kerja pemasangan landasan ECRL bagi fasa kedua dari Kuantan Port City ke Maran di Pahang sejak 9 Mac lepas.

“Kerja-kerja pemasangan landasan fasa kedua sepanjang 97km ini dijangka siap pada Jun 2024, dan seterusnya membolehkan kerja-kerja pemasangan landasan dijalankan antara Dungun, Terengganu dan Kota Bharu.

“Selain itu, kerja-kerja pemasangan sistem elektrifikasi untuk kereta api ECRL akan bermula seawal Mei tahun ini di kawasan Stesen Cherating, Pahang dan disusuli dengan lokasi di mana pemasangan landasan telah siap,” katanya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Tiada Lagi Caj RM1 Pengeluaran Wang Di Semua Mesin ATM Mulai 1 Julai

KUALA LUMPUR: Pelanggan semua bank di Malaysia boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana mesin teler automatik (ATM) atau mesin kitar semula pintar (SRM) tanpa dikenakan caj RM1 mulai 1 Julai 2026.

Pengumuman itu dibuat Persatuan-Persatuan Bank di Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.

Menurut ketiga-tiga pihak itu, inisiatif berkenaan membolehkan pemegang kad debit di Malaysia mengakses lebih 14,000 ATM dan SRM di seluruh negara, tanpa mengira bank pengeluar kad mereka, dengan pengeluaran tunai percuma tanpa had.

“Pengecualian caj itu terpakai bagi ATM dan SRM yang dikendalikan oleh bank-bank di Malaysia,” menurut kenyataan bersama itu.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, inisiatif itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih mudah diakses, insklusif dan berpatutan kepada pelanggan.

Ia berkata, industri perbankan mengiktiraf bahawa wang tunai masih kaedah pembayaran yang penting dan asas bagi ramai rakyat Malaysia dalam mengurus kehidupan harian mereka.

Justeru, katanya, pemansuhan caj pengeluaran tunai ATM antara bank mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan berpatutan, di samping membantu meringankan beban kewangan harian rakyat.

Inisiatif itu menegaskan usaha berterusan sektor perbankan untuk menyokong semua lapisan masyarakat dengan memastikan pelanggan mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan yang praktikal, insklusif dan berfokuskan pelanggan.

Walaupun wang tunai masih merupakan pilihan penting bagi banyak komuniti, industri turut mengalu-alukan peningkatan penggunaan pembayaran digital dan tanpa tunai di seluruh negara.

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, seiring dengan kemajuan Malaysia ke arah ekonomi yang lebih digital, bank akan terus memperkukuh dan mempromosikan penyelesaian pembayaran tanpa tunai yang selamat, lancar dan mudah sebagai alternatif yang sesuai untuk transaksi harian.

Katanya, industri kekal komited untuk memperkasakan pelanggan dengan kebebasan memilih kaedah pembayaran yang paling sesuai dengan keperluan mereka, di samping memajukan keterangkuman kewangan dan meningkatkan pengalaman perbankan secara keseluruhan untuk semua rakyat Malaysia.

— Berita Harian