Kerajaan Adakan Libat Urus Dengan Industri Bagi Tambah Baik Iklim Pelaburan Firma Semikonduktor

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) — Kerajaan sedang berhubung dengan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) untuk menambah baik iklim pelaburan dan kemudahan menjalankan perniagaan bagi menarik syarikat-syarikat semikonduktor global untuk berpindah ke Malaysia.

Presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai berkata perlunya ada perubahan kawal selia untuk menambah baik iklim pelaburan yang disertai dengan kecekapan operasi.

Beliau juga berkata apa yang pentingnya ialah mengurangkan kerenah birokrasi, mempunyai infrastruktur yang tepat, kemudahan yang diperlukan, serta ekosistem perindustrian yang harus merangkumi kluster-kluster industri untuk menyokong syarikat-syarikat yang berpindah ke Malaysia.

“Ini akan meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan untuk syarikat-syarikat ternama yang ingin memindahkan operasinya ke luar negara dan mengembangkan perniagaan mereka berikutan ketegangan geopolitik yang disebabkan oleh perang cip Amerika Syarikat (AS)-China,” kata Wong yang merupakan veteran dalam industri semikonduktor dengan pengalaman kerja selama 27 tahun dalam satu temu bual dengan Bernama hari ini.

Beliau menyatakan yang paling penting ialah Malaysia tidak boleh melupakan hakikat bahawa industri semikonduktor adalah “angsa emas” negara.

“Kita perlu menjaganya dengan berhati-hati, mengembangkannya dan menjadikan industri ini penting di peringkat global,” kata Wong, sambil menambah bahawa agensi-agensi yang terlibat dalam menarik dan meluluskan pelaburan termasuk kerajaan negeri perlu mengurangkan birokrasi dan menjadikannya lebih mudah dalam menjalankan perniagaan.

Malaysia perlu bersedia untuk pelaburan asing dengan membina infrastruktur yang diperlukan dan tidak berpuas hati di tengah-tengah persaingan serantau, katanya.

Ini termasuk pembekalan kuasa, air, lapangan terbang, serta memudahkan penghantaran yang akan membawa kepada peningkatan eksport untuk syarikat dan negara.

Wong menjelaskan bahawa adalah penting membangunkan ekosistem perindustrian, termasuk kluster, loji fabrikasi wafer (fab) serta kemudahan ujian pemasangan, dan pembinaan fab ini bagi meningkatkan kapasiti pembuatan cip supaya syarikat-syarikat multinasional mendapati pemindahan ke Malaysia adalah lebih menarik.

Dalam hal ini, persaingan adalah sengit kerana syarikat-syarikat itu sedang dipujuk oleh negara-negara seperti Vietnam, Thailand, Filipina dan India, yang kesemuanya “berusaha untuk turut serta dan bermain permainan yang sama”.

Langkah-langkah untuk memperbaiki iklim pelaburan adalah penting, lebih-lebih lagi kerana kerajaan MADANI menyasarkan Malaysia berada di kedudukan ke-12 dalam daya saing global bagi tempoh sedekad daripada kedudukan ke-27 pada masa ini.

Bagi memudahkan penambahbaikan yang diperlukan untuk pelaburan, Wong yang telah lama berkhidmat dengan Intel Pulau Pinang berkata MSIA telah mengumpulkan maklum balas daripada pihak industri elektrik & elektronik (E&E) dan menyalurkannya kepada kerajaan.

“Berita baiknya ialah kerajaan mengadakan libat urus dengan MSIA,” katanya sambil menambah maklum balas MSIA membolehkan permohonan permit kerja dalam talian untuk untuk ekspatriat dalam industri dipendekkan kepada hanya 10 hari pada masa ini berbanding 6-12 bulan pada 2022-2023 , dan hanya lima hari untuk mereka yang berada di laluan hijau atau fast track.

“Ada bidang-bidang lain yang mungkin lebih sukar untuk diselesaikan, tetapi sekurang-kurangnya dengan kemahuan politik dan ketersediaan untuk bekerjasama, kita boleh mencapai kemajuan.

“Jika tahap penambahbaikan kita lebih pantas daripada mereka (negara-negara lain), maka kita akan menjadi negara yang digemari untuk pelaburan,” kata Wong.

Salah satu faktor utama yang mendorong syarikat-syarikat semikonduktor asing berpindah ke destinasi lain selain pangkalan mereka ialah perniagaan yang terhenti semasa COVID-19.

Mengingati kembali pandemik itu, beliau berkata banyak negara tidak dapat menghantar produk mereka seperti Taiwan, AS dan Jerman, dan bukan hanya Malaysia sahaja.

“Tetapi Malaysia dijadikan tumpuan sebagai negara yang menghentikan semua pengeluaran kereta di seluruh dunia. Ini kerana kita mempunyai beberapa syarikat semikonduktor yang mengeluarkan cip automotif atau litar bersepadu untuk kereta.

“Untuk mengurangkan risiko sedemikian, banyak syarikat — terutamanya syarikat Amerika dan China — merasakan mereka tidak boleh berada di satu-satu negara sahaja tetapi memutuskan untuk berpindah ke destinasi lain dan pada masa yang sama mengelakkan tarif AS.

“Itulah bagaimana semua ini (berebut mencari destinasi pelaburan yang lain) bermula dan Malaysia ternyata menjadi destinasi dan penerima faedah yang sempurna,” kata Wong.

– BERNAMA

Previous ArticleNext Article

UOB Malaysia Perkukuh Tawaran Pengurusan Kekayaan Untuk Gandakan Asas Pelanggan Mewah Menjelang 2028

Kuala Lumpur, Malaysia, 18 Jun 2026 – UOB Malaysia hari ini mengumumkan rancangan untuk menggandakan asas pelanggan mewahnya menjelang 2028 dengan memperkukuh tawaran pengurusan kekayaan bagi memenuhi tahap pendapatan yang semakin meningkat, kecanggihan kewangan yang lebih tinggi, dan jangkaan pelanggan yang terus berkembang.

Menurut Laporan Kekayaan Global 2026 oleh Boston Consulting Group, segmen pelanggan mewah dan individu bernilai bersih tinggi (HNW) sedang berkembang pesat di pasaran seperti Malaysia, namun segmen ini masih kurang mendapat perkhidmatan dari segi akses kepada nasihat dan sokongan. Sebahagian besar kekayaan masih tertumpu pada deposit, menunjukkan akses yang terhad kepada penyelesaian pelaburan berasaskan khidmat nasihat.

Dengan memanfaatkan kesalinghubungan ASEAN yang teguh, Kumpulan UOB berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan segmen ini, bersandarkan aset di bawah pengurusan (AUM) berjumlah SGD$210 bilion (atau kira-kira RM653 bilion) merentas perniagaan Perbankan Runcitnya. Di Malaysia, Bank telah menyaksikan momentum yang kukuh dalam perniagaan pengurusan kekayaan, dengan AUM yang dilaburkan meningkat 30 peratus sejak 2024, didorong terutamanya oleh penyelesaian pendapatan tetap yang mantap, menunjukkan pendekatan khidmat nasihat kekayaan Bank yang berdisiplin. Bank juga menyaksikan semakin ramai pelanggan mewahnya mempelbagaikan bahagian simpanan dan aset boleh labur yang lebih besar ke dalam produk pelaburan, sekali gus menandakan keyakinan yang semakin meningkat terhadap keupayaan khidmat nasihat Bank untuk melindungi dan mengembangkan kekayaan mereka melalui pendekatan berasaskan portfolio.

Puan Elaine Fan, Ketua Perkhidmatan Kewangan Peribadi Negara berkata, “Budaya pelaburan di Malaysia sedang berkembang dengan pesat, namun terdapat jurang yang jelas antara apa yang diperlukan oleh pelanggan dan apa yang biasanya ditawarkan oleh model perbankan tradisional. Tumpuan kami adalah untuk merapatkan jurang tersebut dengan mengukuhkan hubungan bersama pelanggan serta menyokong mereka dengan khidmat nasihat yang tepat apabila mereka beralih kepada strategi kekayaan jangka panjang yang lebih terpelbagai. Tawaran Privilege Banking yang dipertingkat ini adalah berlandaskan pengaturan yang dipercayai dan dipacu khidmat nasihat, disokong oleh rangkaian serantau serta kepakaran pelaburan kami yang kukuh.”

Menyampaikan Tawaran Privilege Banking yang Dipertingkat

Bagi menyokong permintaan yang semakin meningkat terhadap khidmat nasihat berfokuskan portfolio serta akses kepada pelbagai tawaran pelaburan, UOB Malaysia telah menambahkan tawaran Privilege Banking berdasarkan tiga tonggak utama: Khidmat nasihat kekayaan berteraskan nilai yang disokong oleh pandangan pakar daripada Pejabat Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) Bank Persendirian, Bimbingan disediakan secara berpusat, serta Keutamaan kepada keistimewaan gaya hidup dan kesihatan.

Memperkukuh Tawaran melalui Pendekatan Nasihat Kekayaan Berteraskan Nilai

Pendekatan Khidmat Nasihat Kekayaan Bank dipandu oleh tiga nilai yang berkekalan: Tanggungjawab, Kehematan dan Kecemerlangan. Nilai-nilai ini mencerminkan falsafah teras Bank dalam membantu pelanggan mencapai matlamat kekayaan jangka panjang mereka dengan melindungi apa yang telah mereka bina, sambil mengembangkannya secara mampan untuk masa hadapan. Ini dilaksanakan melalui kepakaran dalam membina portfolio yang terpelbagai dan berdaya tahan bagi menjana pendapatan yang konsisten, mengekalkan modal dan merebut peluang pasaran untuk pertumbuhan. Melalui semakan portfolio secara berkala, pelanggan memperoleh pandangan tepat pada masanya daripada Pejabat Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) Bank Persendirian serantau Bank yang diiktiraf dalam industri, sekali gus membantu mereka mengikuti perkembangan global dan trend pasaran yang membentuk keputusan pelaburan mereka.

Penasihat Pelanggan Khusus yang Sama dengan Bimbingan Berteraskan Khidmat Nasihat yang Dipertingkat

Pelanggan Privilege Banking menerima khidmat nasihat peribadi, bimbingan dan sokongan perkhidmatan daripada Penasihat Pelanggan yang khusus, disokong oleh pasukan pakar kekayaan yang dilantik merentas pelaburan, perbendaharaan, insurans dan gadai janji. Selain deposit, pendekatan Peruntukan Aset Strategik membolehkan pelanggan mendapat akses kepada pelbagai penyelesaian pelaburan seperti Amanah Saham, Bon Runcit, Pelaburan Berstruktur, Pertukaran Asing, Emas, Bankasurans dan perancangan legasi.

Menyampaikan Nilai Bermakna Melangkaui Pencapaian Kewangan

Sebagai tambahan kepada khidmat nasihat kekayaan, pelanggan akan menikmati pengalaman menjamu selera dan pengembaraan yang dipilih khas melalui perkongsian global Bank dengan Michelin Guide, serta akses eksklusif ke pelbagai restoran terkemuka di seluruh ASEAN menerusi program gaya hidup dan santapan, Asia’s Finest Tables.

Selain akses keutamaan ke acara hiburan tajaan UOB di seluruh rantau, tawaran ini dipertingkat lagi melalui kerjasama strategik UOB di Malaysia yang menyediakan peluang pemerkayaan untuk seluruh keluarga, termasuk Rondo Production, bagi menyokong tawaran Generasi Akan Datang Bank melalui inisiatif pendidikan muzik klasik berstruktur; dan Sunway Healthcare Group, bagi menyokong kesihatan dan kesejahteraan pelanggan. Melalui tawaran yang dipertingkat ini, pelanggan UOB Privilege Banking dan seorang tetamu pengiring akan menikmati diskaun 30 peratus untuk pakej saringan kesihatan terpilih di Pusat Perubatan Sunway di Sunway City, Velocity, Damansara, Ipoh dan Pulau Pinang sehingga 31 Julai 2026.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang tawaran Privilege Banking UOB yang dipertingkat, sila layari www.uob.com.my