Harga Minyak Tinggi Bawa Impak Berbeza – Pakar Ekonomi

PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) — Ketegangan di Timur Tengah yang berterusan sejak beberapa bulan lepas dan dilihat semakin memuncak dijangka meningkatkan lagi harga minyak mentah, yang mana boleh memberi manfaat besar kepada negara pengeluar minyak yang merupakan pengeksport bersih, kata pakar ekonomi.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sektor minyak dan gas negara dijangka mencatatkan prestasi memberangsangkan kerana harga dijangka terus kekal tinggi. 

“Saya rasa harga yang lebih tinggi juga akan mendorong syarikat minyak utama untuk melakukan eksplorasi dan pengeluaran,” katanya kepada Bernama ketika ditanya mengenai serangan Iran ke atas Israel baru-baru ini.

Hari ini, minyak mentah West Texas Intermediate diniagakan pada US$89.98 (US$1 = RM4.77) setong dan Moody’s menjangka harga minyak menokok US$5 setong lagi terhadap premium risiko dan melonjakkan harga minyak kepada lingkungan US$90 hingga US$95 setong.

“Terdapat dua senario di sini dengan yang paling ketara adalah tindak balas terancang serta bertahan dari Israel yang akan meredakan ketegangan, seiring dengan tekanan daripada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden serta komuniti global.

“Ini akan menyaksikan premium risiko US$10 setong itu akan lenyap dalam tempoh beberapa minggu akan datang. Kedua, risiko lebih menjejaskan yang akan menyaksikan konflik semakin memburuk apabila Israel bertindak balas dan jika itu berlaku, harga minyak boleh melonjak kepada lebih daripada US$100 setong,” kata firma penyelidikan itu.

Berkongsi pandangan yang sama dengan Mohd Afzanizam, bekas ketua eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Profesor Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid berkata kerajaan Persekutuan dijangka meraih kenaikan hasil dari segi nilai eksport.

“Saya tidak pasti sama ada Israel akan mengambil tindakan ke atas Iran seperti apa yang ia telah lakukan terhadap Gaza (Palestine), mungkin juga ia akan melakukan terhadap Iran, Syria yang membuat serangan balas itu. Jadi harga minyak mentah akan naik dan ini akan memberikan satu dimensi yang bukanlah pengalaman baharu bagi kita. 

“Kita akan merasai kenaikan ataupun peningkatan harga minyak dan apabila ia berlaku maka eksport kita akan meningkat dan juga hasil kerajaan persekutuan akan meningkat.. kerana nilai eksport yang lebih tinggi dan harga minyak mentah yang naik,” katanya.

Namun, pada masa yang sama, Zakariah berkata, Malaysia juga merupakan pengimport bersih barangan petroleum, iaitu bahan api untuk tujuan kegunaan kereta, kapal terbang, dan juga semua jenis produk berasaskan petroleum.

“Oleh yang demikian, orang ramai (pelanggan runcit) juga akan turut merasai kenaikan harga minyak yang lebih mahal tidak kira RON 95 mahupun RON 97.

“Jadi, dalam situasi inilah subsidi akan digunakan sebagai instrumen iaitu bagaimana pemberian subsidi itu boleh  disusun kembali supaya kesan negatif ke atas orang ramai tidaklah menjadi teruk sangat. 

“Kita dapat menampung dengan lebihan hasil kerajaan persekutuan,” katanya dalam satu temu bual di program Astro Awani.

Mohd Afzanizam berkata pelaksanaan subsidi bersasar merupakan satu jalan penyelesaian.

“Sistem sedia ada banyak memberi kelebihan kepada golongan berpendapatan tinggi dan isu seperti penyeludupan juga harus ditangani,” katanya dan menambah kerajaan berada di landasan yang tepat dalam melaksanakan pembaharuan itu.

Mengulas lanjut, beliau berkata rasionalisasi subsidi bagaimanapun akan melonjakkan harga minyak buat seketika.

“Namun, bagi mengurangkan lonjakan tersebut (kerajaan akan melaksanakan) pemindahan tunai.  Bagaimanapun, saya rasa semua penjimatan daripada rasionalisasi subsidi tidak akan disalurkan kepada pemberian tunai secara eksklusif, tetapi sebahagian daripadanya akan disalurkan kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan pembinaan kapasiti,” katanya.

Beliau berkata hab Pangkalan Data Pusat (PADU) akan mengupayakan kerajaan menyediakan liputan menyeluruh kepada golongan memerlukan sambil membiarkan pasaran menentukan harga dalam jangka panjang.

Bagi pertumbuhan negara pada suku kedua, beliau berkata ia dijangka stabil, disokong oleh pasaran buruh yang kukuh.

“Kita telah mencapai status pekerjaan penuh, yang menyaksikan pekerja memperoleh gaji dan mereka mampu untuk berbelanja, sekali gus ini meningkatkan pertumbuhan dalam ekonomi kita,” katanya.

Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan pertumbuhan suku pertama pada 17 Mei 2024.

Sementara itu, beliau berkata hasil daripada peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM90 bilion oleh kerajaan Perpaduan, lebih banyak pekerjaan akan diwujudkan dalam sektor infrastruktur dan luar, dan Malaysia, sebagai pengeksport semikonduktor kelima terbesar di dunia, juga akan mendapat manfaat daripada jualan yang lebih tinggi pada tahun ini.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama