Industri Permainan Video Malaysia Dijangka Catat Hasil US$649 Juta Tahun Ini

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) — Industri permainan video Malaysia dijangka menjana hasil sebanyak US$649 juta (US$ 1=RM4.78) pada 2024 selepas mencatatkan pertumbuhan ketara sejak kebelakangan ini, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata pasaran dijangka menunjukkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun stabil pada 7.55 peratus mulai  2024 hingga 2027, dengan unjuran jumlah pasaran sebanyak US$807 juta menjelang 2027.

“Kerjasama amat penting. Industri permainan adalah bersifat global, pencapaian dalam bidang ini memerlukan usaha bersepadu daripada semua pihak berkepentingan, dalam dan luar negara.

“Dengan bergabung tenaga, semua pihak boleh berkongsi pengetahuan, sumber, mencipta peluang termasuk memupuk budaya inovasi yang melampaui sempadan, menyatukan kami dalam mengejar kecemerlangan,” katanya pada pelancaran Akademi Xsolla Curine di sini hari ini.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyerikan majlis tersebut dengan kehadiran baginda.

Kata Gobind lagi, kerajaan kekal komited untuk memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada industri permainan seperti penawaran insentif kewangan serta rangka kerja kawal selia yang melindungi hak protokol Internet (IP).

Kementeriannya melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), komited bagi mengembangkan dan memupuk industri kandungan digital negara melalui beberapa pendekatan.

MDEC akan memudahkan pelaburan serta sokongan akses pasaran melalui penyertaan dalam Festival Annecy, Persidangan Pembangun Permainan Video dan Pertunjukan Permainan Video Tokyo.

Ia juga menyokong pertumbuhan IP, mengeram studio baharu dan program pembangunan kemahiran yang disasarkan seperti Program Inkubasi Kandungan Digital, penyampaian Geran Kandungan Digital dan Cabaran Pencipta Kandungan Digital.

Gobind berkata agensi itu juga akan membantu dalam membina jenama Malaysia melalui sokongan serta kepimpinan industri melalui penyelidikan serantau dan kertas kepimpinan pemikiran, persidangan serantau selain acara perniagaan seperti LEVEL UP KL, Kre8tif!, IMMERSE KL dan acara pengguna yang lebih meluas seperti Festival Kandungan Digital Malaysia (MYDCF).

“Pelaburan dalam sektor kandungan digital di Malaysia telah berkembang daripada RM550 juta pada 2022 kepada RM1.6 bilion menjelang 2023, dan diunjurkan menghasilkan lebih 1,900 pekerjaan berpendapatan tinggi melalui syarikat berstatus ‘Malaysia Digital’.

“Ini menunjukkan bahawa industri kreatif digital adalah pemacu pertumbuhan yang ketara dan terdapat banyak minat dalam industri itu,” katanya.

Festival Kandungan Digital Malaysia yang dibuat secara tahunan adalah contoh utama pertumbuhan industri digital negara dengan peserta pameran meningkat daripada 80 pada festival pertama pada 2020 kepada 150 pada 2023. Ia menarik lebih 25,000 pengunjung tahun lepas, tambahnya.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Asia Barat Kembali Tegang, Tuntut Malaysia Tingkat Usaha Bendung Ketirisan

KUALA LUMPUR: Situasi antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang kembali tegang meningkatkan semula tekanan terhadap harga minyak serta kebimbangan berterusan terhadap rantaian bekalan dan kos sara hidup akan datang.

Penganalisis melihat kesan berpanjangan konflik akan terus memberi tekanan terhadap harga minyak, rantaian bekalan dan kos sara hidup, justeru Malaysia sebagai ekonomi terbuka yang bergantung kepada perdagangan, tenaga, import makanan tertentu dan rantaian bekalan antarabangsa kekal terdedah kepada gangguan luar.

Sehubungan itu, penganalisis berpendapat bahawa langkah sedia ada yang dilaksanakan kerajaan perlu diperkukuh dengan strategi jangka panjang yang bukan saja menangani kesan segera kenaikan kos, malah membina sistem ekonomi yang kurang bergantung kepada sumber luar.

Antara langkah utama yang dicadangkan ialah memperkemas pelaksanaan rasionalisasi subsidi supaya bantuan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan, khususnya ketika harga komoditi global terus tidak menentu.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mustazar Mansur, berkata pemberian subsidi bahan api perlu menggunakan pendekatan lebih bersasar berdasarkan keadaan kewangan sebenar rakyat, termasuk mengambil kira pendapatan boleh guna, jumlah tanggungan keluarga serta komitmen kewangan.

Beliau berkata, pendekatan itu dilihat dapat mengurangkan ketirisan apabila golongan berpendapatan tinggi tidak lagi menerima manfaat subsidi yang sama seperti kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana yang lebih terkesan dengan peningkatan kos kehidupan.

“Bagi saya, pemberian subsidi kena betul-betul bersasar. Elakkan kepada golongan maha kaya dan golongan yang berpendapatan tinggi dan mereka perlu membayar harga minyak pada harga tanpa subsidi.

“Penentuan golongan ini perlu berdasarkan kepada data atau sistem bersepadu yang mengikut pendapatan boleh guna atau pendapatan bersih selepas mengambil kira tanggungan anak-anak mereka di mana mereka berada, bekerja dan juga jumlah tanggungan dari segi liabiliti, hutang dan sebagainya,” katanya kepada BH.

Ketegangan di Asia Barat memuncak selepas serangan AS ke atas selatan Iran dan tindakan balas Tehran yang menyasarkan aset ketenteraan AS di beberapa lokasi di rantau Teluk.

Dilaporkan komando tertinggi tentera Iran mengumumkan penutupan penuh Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak dunia itu kepada semua kapal susulan serangan AS.

Pada sesi dagangan semalam, niaga hadapan Brent meningkat AS$1.48 atau 1.59 peratus kepada AS$94.58 setong pada 0243 GMT, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS meningkat AS$1.71 atau 1.90 peratus kepada AS$91.74.

Mengulas lanjut, Mustazar yang juga Timbalan Pengarah Eksekutif (Pengurusan Fasiliti dan Digital), Pusat Pengurusan Penjanaan UKM berkata, kerajaan disaran mempercepatkan peralihan kepada sumber tenaga alternatif seperti kenderaan elektrik (EV), tenaga solar serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Beliau berkata, langkah menyediakan insentif cukai, rebat atau kemudahan pembiayaan kepada rakyat yang beralih kepada penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) dilihat mampu mengurangkan kebergantungan kepada petrol dan diesel dalam tempoh panjang.

Katanya, selain membantu isi rumah mengawal perbelanjaan tenaga, peralihan itu juga dapat memperkukuh agenda kelestarian negara serta mengurangkan risiko kejutan harga minyak global terhadap ekonomi domestik.

“Penggunaan tenaga solar di rumah dan tempat kerja, selain penggalakan penggunaan pengangkutan awam, boleh menjadi antara pilihan praktikal untuk rakyat mengurangkan kos harian mereka,” katanya.

Bagi industri pula, Mustazar mencadangkan supaya kerajaan mengadakan rundingan bersama pemain industri bagi mencari sumber alternatif bahan mentah dari negara yang kurang terkesan akibat konflik geopolitik.

Beliau berkata, pendekatan meja bulat antara kerajaan dan industri boleh membantu mengenal pasti penyelesaian lebih cepat sebelum tekanan kos merebak kepada pengguna akhir.

Katanya, sektor industri dan perniagaan perlu diberi perhatian kerana peningkatan kos bahan mentah, logistik dan tenaga boleh memberi kesan besar kepada operasi syarikat.

“Sekiranya tekanan kos berterusan tanpa intervensi, syarikat mungkin terpaksa mengurangkan operasi bagi mengekalkan kelangsungan perniagaan, sekali gus memberi risiko kepada peluang pekerjaan rakyat,” katanya.

— Berita Harian