Tiba Masa Malaysia Lihat Biojisim Jadi Bahan Mentah Bahan Api Maju, Industri Hijau – Liew

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) — Sudah tiba masanya bagi Malaysia menyaksikan biojisim berperanan sebagai stok suapan atau bahan mentah bagi bahan api baharu dan maju serta industri hijau lain, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Ketika berkongsi perkara itu, beliau turut menekankan bahawa sememangnya menjadi strategi kerajaan untuk meningkatkan sektor biojisim yang sering dilihat sebagai hasil sampingan industri minyak sawit.

“Sehubungan itu, anjakan minda (perlu) dan melihat biojisim sebagai pengupaya diperlukan bagi industri baharu dan dengan nilai tambah tinggi yang dapat membantu mencapai misi yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bersempena satu sesi yang diadakan di MIDA Sentral, semalam.

Sesi yang menghimpunkan pihak berkepentingan utama daripada ekosistem biojisim, mengetengahkan usaha bersepadu dalam memacu pelaburan bernilai tinggi dan kemajuan ke arah matlamat Malaysia untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih karbon menjelang 2050.

Malah, sesi itu turut mengetengahkan kesungguhan Malaysia menggalakkan pelaburan mampan dalam sektor biojisim yang penting bagi mencapai sasaran sifar bersih itu sepertimana digariskan Perjanjian Paris 2016.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid menyentuh peranan agensi itu dalam memupuk persekitaran untuk memacu pertumbuhan industri biojisim di Malaysia.

“Sektor biojisim tidak hanya menyediakan peluang perniagaan menarik, namun berperanan penting dalam menyumbang kepada ekonomi kitaran untuk masa depan mampan.

“Berikutan itu, kita sedang berusaha untuk mempercepat penggunaan biojisim dan membantu kalangan komuniti menjadikan masa depan tenaga bersih sebagai satu kenyataan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi MIDA Tan Sri Sulaiman Mahbob pula menyentuh trend pelaburan dan ketidaktentuan sektor biojisim sejak 2019 serta cabarannya.

Beliau berkata skop biojisim sawit misalnya adalah besar dan merangkumi tenaga boleh baharu, biobahan api, biokimia, bioplastik, biobaja serta banyak lagi.

“Namun, kita melihat aliran pelaburan dalam sektor biojisim yang tidak menentu sejak 2019 dan tidak mencapai sasaran RM10 bilion ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 

“Susulan itu, MIDA menyedari pentingnya usaha atau tindakan kolektif antara pihak berkuasa dan pihak berkepentingan terbabit serta pemain industri dalam menangani cabaran rantaian nilai biojisim. Ini termasuk kestabilan bahan mentah, mobilisasi dan mekanisme harga yang menjadi teras bagi menarik pelaburan jangka panjang,” katanya.

Dalam pada itu, program yang disertai oleh 120 peserta mewakili pelbagai kementerian, agensi kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, sektor swasta, dewan perniagaan asing, institusi akademik dan institusi kewangan, bertujuan memangkin penggunaan teknologi biojisim di pelbagai industri.

Turut diketengahkan adalah pembentangan bertajuk ‘Pelaburan dan Prospek Biojisim Secara Menyeluruh’ dan ‘Trend Pasaran Biojisim Berasaskan Sawit’ yang menggariskan peluang dalam menarik pelaburan untuk produk biojisim bernilai tinggi seperti biogas dan biobahan api.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Setia Awan Jalin Kerjasama Strategik Bersama Jenama Runcit serta Makanan & Minuman Terkemuka Sempena Pelancaran Pusat Membeli-Belah Komuniti Pertama Di Bukit Ampang Permai

KUALA LUMPUR – Pemaju hartanah terkemuka, Setia Awan, hari ini secara rasmi telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) penting bersama sekumpulan rakan kongsi runcit dan gaya hidup. Majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Galeri Jualan Fona Vista itu melakar detik penting dalam pembangunan keseluruhan komuniti Bukit Ampang Permai, sekali gus memastikan bakal penduduk Fona Vista mendapat akses kepada kemudahan serta perkhidmatan premium di ambang pintu mereka.

Kolaborasi strategik ini menghimpunkan tujuh jenama terkemuka yang merangkumi sektor barangan runcit, penjagaan kesihatan, dan kuliner. Rakan-rakan kongsi ini termasuk B Grocer, Haji Basheer, CU Malaysia, Little Salty Café, Malaysia Chicken Rice (MCR), danAlpro Pharmacy. Pemilihan rakan kongsi yang dikuras dengan teliti ini mencerminkan komitmen Setia Awan dalam membina komuniti holistik yang mengutamakan keselesaan, kesihatan, dan kualiti hidup.

MoU ini menandakan hasrat bersama untuk menyepadukan jenama-jenama berkenaan ke dalam komponen komersial Avenue F yang bakal menyusul, iaitu pusat membeli-belah komuniti yang pertama di Bukit Ampang Permai. Pembangunan yang disasarkan siap menjelang Suku Ketiga (Q3) 2027 ini akan mewujudkan sebuah hab sosial yang rancak bagi komuniti Bukit Ampang Permai.

Melangkah ke hadapan, Setia Awan menyasarkan untuk membawa masuk gabungan pelbagai penyewa tambahan yang menarik bagi meningkatkan lagi kerancakan pusat membeli-belah tersebut serta memenuhi keperluan komuniti yang sentiasa berkembang.

“Majlis menandatangani perjanjian hari ini adalah lebih daripada sekadar pengaturan perniagaan; ia adalah satu langkah penting dalam menunaikan janji kami untuk mencipta nilai jangka masa panjang buat pemilik rumah kami,” kata Eric Chew, Ketua Pegawai Operasi – Projek, Setia Awan. “Melalui perkongsian dengan nama-nama terkemuka dan dipercayai seperti rakan kongsi kami hari ini kami memastikan gaya hidup di Bukit Ampang Permai adalah lancar dan sofistikated. Sambil itu kami terus mengalu-alukan lebih banyak jenama untuk menyertai kami, Avenue F benar-benar akan mentakrifkan semula keselesaan pinggir bandar dan kehidupan komuniti.”

Fona Vista merupakan projek kondominium lereng bukit bergaya pusat peranginan berkepadatan rendah yang terletak 145 meter di atas paras laut. Bersebelahan dengan Hutan Simpan Hulu Langat, ia menawarkan pemandangan hutan yang panoramik serta udara segar yang lebih nyaman, namun tetap berdekatan dengan Pusat Bandaraya Kuala Lumpur.

Selaras dengan strategi pertumbuhan agresif ini, Setia Awan juga baru-baru ini telah menandatangani perjanjian dengan Kumpulan Billion untuk dua projeknya di Melaka, sekali gus menawarkan kemudahan pilihan barangan runcit yang berkualiti kepada bakal penduduk. Momentum kolaborasi ini dijangka akan diperluaskan ke beberapa pembangunan akan datang di seluruh Lembah Klang, termasuk projek di Selayang dan Shah Alam, serta Tanjung Malim.

Untuk maklumat lanjut tentang Fona Vista, sila layari: fonavista.com.my. Untuk maklumat lanjut tentang Setia Awan, sila layari: setiaawan.com.