Konsortium Diterajui Khazanah Dan KWSP Umum Tawaran Pengambilalihan Bersyarat Saham MAHB

KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) — Gateway Development Alliance (GDA) dan pemegang sahamnya (Konsortium) hari ini mengumumkan tawaran sukarela prasyarat untuk mengambil alih semua saham dalam Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang belum dimiliki oleh Konsortium berkenaan, pada harga Tawaran sebanyak RM11.00 bagi setiap saham yang bersamaan dengan RM18.4 billion.

Konsortium ini diterajui oleh dua Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan Malaysia – Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menerusi anak syarikat milik penuhnya, UEM Group Berhad (UEMG), dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pemegang saham Konsortium ini juga dianggotai oleh anak syarikat milik penuh Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) dan dana yang diuruskan oleh Global Infrastructure Partners (GIP), salah satu pelabur infrastruktur terkemuka dunia dengan pengalaman memiliki serta menguruskan lapangan terbang, demikian menurut satu kenyataan bersama daripada pemegang saham GDA.

Apabila tawaran ini selesai sepenuhnya, Khazanah akan meningkatkan pemilikannya dalam MAHB daripada 33.2 peratus kepada 40 peratus, manakala KWSP daripada 7.9 peratus kepada 30 peratus.

Secara kolektif, pelabur Malaysia akan memiliki 70 peratus saham MAHB manakala ADIA dan GIP akan memiliki baki 30 peratus. Kerajaan Malaysia akan mengekalkan pemilikan saham khasnya dalam MAHB dan pengerusi serta ketua pegawai eksekutif akan terus dilantik dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Malaysia berada di kedudukan yang strategik dalam pasaran penerbangan Asia Tenggara yang berkembang pesat dan mempunyai potensi untuk mengukuhkan rangkaian jarak jauh dan serantaunya,” kata Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir dalam kenyataan itu.

“Kami optimis usaha bersama kakitangan MAHB yang berdedikasi dan kepakaran bersama yang dibawa oleh Konsortium dapat menjadi pemangkin buat MAHB untuk menjadi pengendali lapangan terbang antarabangsa terkemuka dan seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi menerusi rangkaian lapangan terbangnya, selari dengan aspirasi Khazanah untuk Memajukan Malaysia,” katanya.

Harga Tawaran sebanyak RM11.00 itu mencerminkan nilai ekuiti berjumlah RM18.4 bilion, yang menandakan nisbah harga kepada pendapatan sebanyak 37.7x bagi pendapatan setiap saham disatu yang diaudit MAHB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Tawaran ini juga mewakili premium pada kadar 15.2 peratus berbanding harga purata berwajaran volum bagi tempoh tiga bulan terakhir sebanyak RM9.55 setiap saham dan merupakan peningkatan sejak awal tahun (YTD) sebanyak 49.5 peratus, berdasarkan harga penutup RM7.36 setiap saham pada 29 Disember 2023, berbanding 10.4 peratus prestasi YTD indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI sehingga tarikh terakhir sebelum tawaran ini diumumkan.

Sekiranya, sama ada pada atau selepas tarikh pengumuman ini dan sebelum tawaran ini diselesaikan, terdapat sebarang dividen, pengagihan atau pulangan nilai lain diumumkan, dibuat atau dibayar oleh MAHB, harga tawaran ini akan dikurangkan sewajarnya.

Dalam situasi sedemikian, para pemegang saham MAHB berhak untuk menyimpan sebarang dividen, pengagihan atau sebarang pulangan nilai yang telah diumumkan, dibuat atau dibayar.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata KWSP melihat tawaran ini sebagai satu peluang pelaburan yang selari dengan objektif pelaburan serta komitmen dana pencen itu untuk meningkatkan pelaburan tempatan. 

“Sebagai komponen utama infrastruktur negara, MAHB berperanan penting sebagai pintu masuk bagi perdagangan, pelancongan dan aktiviti perniagaan, sekali gus memberi sumbangan besar kepada pembangunan dan kemakmuran ekonomi.

“Kami mengharapkan kejayaan perkongsian strategik ini dapat memberikan pengalaman ‘terbaik’ di lapangan terbang untuk orang ramai, rakan kongsi syarikat penerbangan serta kakitangan MAHB. Kami menjangka pelaburan ini akan membawa manfaat positif kepada pencarum KWSP dan masyarakat umum, justeru dapat menjayakan agenda pertumbuhan mampan Malaysia,” katanya.

Sementara itu Pengarah Eksekutif Bahagian Infrastruktur ADIA, Khadem Alremeithi, berkata rangkaian lapangan terbang MAHB menyediakan perkhidmatan ke beberapa pasaran penerbangan antarabangsa yang berkembang pesat, yang menerima manfaat daripada pertumbuhan ekonomi serantau, kos perjalanan udara lebih berpatutan dan perubahan corak perbelanjaan pengguna.

“Perkembangan positif ini mendorong penyertaan kami dalam Konsortium ini yang menggabungkan rakan kongsi tempatan terkemuka dengan kepakaran antarabangsa,” katanya.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif GIP Bayo Ogunlesi berkata: “Kami teruja untuk bekerjasama dengan Khazanah, KWSP dan ADIA yang mempunyai hubungan strategik yang kukuh dan produktif dengan kami, bagi tawaran ke atas MAHB ini”. 

“Bersandarkan kepada kepakaran mendalam GIP memiliki serta menguruskan lapangan terbang, kami bersama rakan kongsi tersebut akan memberi tumpuan untuk menambah baik perkhidmatan pelanggan, meningkatkan kecemerlangan dalam operasi, mengembangkan jumlah penumpang dan mengeratkan hubungan dengan kakitangan.

“Kami komited untuk berkerjasama dengan rakan kongsi kami bagi membangunkan masa hadapan yang lebih cerah untuk Malaysia, MAHB dan semua pihak berkepentingan.,” katanya.

Konsortium itu percaya bahawa cara terbaik untuk mencapai objektif ini adalah dengan menyahsenaraikan MAHB bagi menggalakkan pendekatan jangka masa panjang dalam sebarang keputusan serta pelaburan modal yang dibuat, di samping menerima manfaat daripada kepakaran teknikal antarabangsa.

Konsortium percaya dengan potensi yang dimiliki MAHB dan komited untuk: 

*Menyokong MAHB dalam pelaksanaan projek modal keutamaan tinggi, termasuklah Aerotrain dan Sistem Pengurusan Bagasi di KLIA:

*Meningkatkan pengalaman penumpang dengan menangani kesesakan, menambah baik aliran penumpang dan suasana persekitaran terminal, serta meluaskan tawaran kedai makanan, minuman dan peruncitan di lapangan terbang MAHB;

*Bekerjasama rapat untuk menyokong syarikat penerbangan sedia ada dan mengukuhkan sumber pengurusan bagi menarik lebih banyak syarikat penerbangan baharu, terutamanya dalam segmen penerbangan jarak jauh;

*Mengekalkan tahap keselamatan tertinggi bagi penumpang dan kakitangan;

*Mempercepatkan pelaburan modal bagi membaiki serta menyelenggara infrastruktur dan peralatan sedia ada;

*Menambah baik dan menyeragamkan piawaian perkhidmatan operasi di semua lapangan terbang negeri di bawah MAHB;

*Merancang pelaburan jangka masa panjang untuk meningkatkan kapasiti lapangan terbang di seluruh rangkaian lapangan terbang MAHB di Malaysia dan Türkiye;

*Bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri dan syarikat tempatan untuk membangunkan perniagaan sampingan di sekitar kawasan lapangan terbang.

Konsortium tersebut yakin pelaksanaan inisiatif ini akan menyokong usaha MAHB untuk menjadi pengendali lapangan terbang bertaraf dunia dan komited untuk bekerjasama dengan pengurusan MAHB dan kakitangan syarikat dalam melaksanakannya.

Konsortium itu juga mengesahkan bahawa tidak ada sebarang rancangan untuk memberhentikan pekerja susulan tawaran berkenaan dan hak sedia ada kakitangan MAHB akan terus dilindungi.

Selain itu, dalam masa yang sama, tiada perubahan akan dibuat ke atas kadar caj perkhidmatan penumpang yang diumumkan MAVCOM pada 12 Mac, 2024.

Konsortium komited untuk terus menguruskan operasi lapangan terbang MAHB dan meningkatkan tahap perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen di Istanbul, Türkiye.

Tawaran rasmi ke atas MAHB adalah tertakluk kepada beberapa pra-syarat tertentu dan apabila dilaksanakan, akan tertakluk kepada pemilikan sekurang-kurangnya 90 peratus modal saham diterbitkan MAHB oleh Konsortium.

Seandainya syarat-syarat ini dipenuhi, saham MAHB dijangka dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia apabila tawaran tesebut selesai, yang dijangka berlaku dalam suku keempat tahun ini.

Saham MAHB kali terakhir diniagakan pada RM10.40 sesaham.

Ketika ini MAHB menguruskan 39 lapangan terbang di seluruh Malaysia, termasuk lima lapangan terbang antarabangsa, 17 lapangan terbang domestik dan 17 STOLport (pendaratan dan pelepasan jarak pendek). Selain itu, kumpulan tersebut juga memiliki dan menguruskan sebuah lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turkiye.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Pelaburan Automotif Di Kulim: Lebih 5,000 Porsche Cayenne Dipasang, Apa Manfaatnya Kepada Ekonomi Malaysia?

Bila dengar cerita Porsche Cayenne dipasang di Kulim, mesti ada yang terus terfikir, “Eh, Porsche pun pasang dekat Malaysia?”

Apabila kita bercakap tentang pelaburan asing, perkara pertama yang sering terlintas ialah jumlah modal yang dibawa masuk ke Malaysia.

Namun, pelaburan berkualiti bukan sekadar tentang berapa bilion ringgit yang dilaburkan. Persoalan yang lebih penting ialah: Apa yang Malaysia dapat dalam jangka panjang?

Adakah pelaburan tersebut mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi? Adakah syarikat tempatan mendapat peluang menjadi vendor? Adakah teknologi dan kepakaran baharu dapat dipindahkan kepada tenaga kerja tempatan?

Lawatan teknikal Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ke fasiliti Inokom di Kulim pada 14 September 2026 memberikan gambaran tentang bagaimana pelaburan dalam sektor automotif boleh menyumbang kepada pembangunan keupayaan industri tempatan.

Inokom Kulim: Hab pemasangan automotif bernilai strategik

Menurut Kementerian Kewangan, Inokom mengendalikan sebuah hab pemasangan automotif seluas 200 ekar di Kulim, Kedah.

Fasiliti ini kini menghimpunkan 7 jenama dan 29 model kenderaan, dengan jumlah lebih 530,000 unit kenderaan telah dipasang sejak mula beroperasi.

Selain memenuhi permintaan pasaran tempatan, operasi Inokom turut mempunyai orientasi eksport, dengan kadar eksport mencecah 20%.

Angka ini menunjukkan bahawa aktiviti pemasangan kenderaan di Malaysia bukan semata-mata untuk pasaran domestik. Ia juga berpotensi menjadi sebahagian daripada rangkaian pengeluaran automotif antarabangsa.

Porsche di Kulim: Daripada pemasangan kepada pemindahan kepakaran

Antara fasiliti yang menjadi tumpuan lawatan ialah kilang pemasangan Porsche, yang merupakan fasiliti pemasangan pertama Porsche di luar Eropah.

Fasiliti ini dilancarkan pada 2022 dan diperluas kepada keluasan 11,000 meter persegi pada 2024 bagi menyokong pemasangan model Porsche Cayenne S E-Hybrid Coupé.

Menurut Kementerian Kewangan, sehingga Mac 2026, lebih 5,000 unit model tersebut telah dipasang di Kulim.

Persoalannya, apakah nilai sebenar di sebalik angka 5,000 unit ini?

Dalam industri automotif, pemasangan kenderaan berjenama premium memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran teknikal, kawalan kualiti, kejuruteraan proses dan pemahaman terhadap piawaian pengeluaran global.

Ini bermakna manfaat pelaburan tidak semestinya terhad kepada nilai kenderaan yang dihasilkan. Ia juga boleh merangkumi pembangunan kemahiran, pengalaman operasi dan keupayaan tenaga kerja tempatan untuk mengendalikan proses pengeluaran yang lebih kompleks.

100% tenaga kerja rakyat Malaysia

Satu lagi perkara yang diketengahkan dalam lawatan tersebut ialah tenaga kerja Inokom yang terdiri daripada 100% rakyat Malaysia.

Kementerian Kewangan turut berkongsi kisah Eisqil Yuliana, yang memulakan kerjaya melalui program PROTÉGÉ Sime pada 2019 sebelum menyertai Inokom sebagai jurutera proses.

Beliau kini mengetuai bahagian Kejuruteraan di Porsche Production Plant.

Kisah ini menggambarkan salah satu aspek penting pelaburan berkualiti, iaitu pembangunan bakat tempatan.

Pelaburan asing yang disertai peluang latihan, pengalaman teknikal dan laluan kerjaya boleh membantu meningkatkan keupayaan tenaga kerja Malaysia. Dalam jangka panjang, kemahiran ini berpotensi digunakan bukan sahaja dalam satu kilang, tetapi juga dalam keseluruhan ekosistem industri automotif.

Namun, untuk menilai kesan sebenar kepada pasaran buruh, data seperti jumlah pekerjaan berkemahiran tinggi, pertumbuhan gaji, peluang kenaikan pangkat dan jumlah tenaga kerja yang menerima latihan khusus juga perlu dilihat.

RM3 bilion kepada vendor tempatan

Pelaburan dalam sektor automotif turut memberi kesan kepada syarikat-syarikat yang berada di luar kawasan kilang.

Menurut Kementerian Kewangan, kira-kira RM3 bilion telah disumbangkan kepada vendor tempatan, merangkumi komponen, logistik dan pelbagai perkhidmatan sokongan.

Inilah antara aspek penting dalam konsep kesan pengganda ekonomi.

Sebuah kilang automotif bukan hanya memerlukan pekerja di barisan pemasangan. Ia juga memerlukan pembekal komponen, syarikat logistik, perkhidmatan penyelenggaraan, pengurusan gudang, kawalan kualiti dan pelbagai perkhidmatan sokongan yang lain.

Apabila lebih banyak perolehan disalurkan kepada syarikat tempatan, peluang untuk perusahaan kecil dan sederhana berkembang turut terbuka.

Bagaimanapun, nilai RM3 bilion tersebut perlu difahami mengikut skopnya. Ia merujuk kepada sumbangan kepada vendor tempatan yang dinyatakan oleh kementerian, dan tidak semestinya sama dengan nilai tambah bersih kepada ekonomi Malaysia atau keuntungan yang diperoleh oleh vendor.

Mengapa pemindahan teknologi penting?

Malaysia telah lama terlibat dalam industri pemasangan automotif. Tetapi cabaran utama adalah bagaimana untuk bergerak daripada aktiviti pemasangan kepada aktiviti yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

Dalam konteks ini, pelaburan berkualiti boleh dinilai melalui beberapa persoalan:

  1. Adakah syarikat tempatan mendapat peluang membekalkan komponen bernilai tinggi?
  2. Adakah tenaga kerja Malaysia menguasai teknologi dan proses pengeluaran baharu?
  3. Adakah lebih banyak aktiviti kejuruteraan, reka bentuk dan penyelidikan boleh dibangunkan di Malaysia?
  4. Adakah vendor tempatan mampu memenuhi piawaian pengeluar antarabangsa?
  5. Adakah syarikat tempatan berpeluang berkembang daripada pembekal biasa kepada pembekal strategik dalam rantaian bekalan global?

Semakin banyak aktiviti bernilai tinggi dapat dijalankan di Malaysia, semakin besar potensi pelaburan tersebut untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing industri tempatan.

GEAR-uP dan pendekatan capital-to-capabilities

Kementerian Kewangan mengaitkan perkembangan ekosistem Inokom dengan pendekatan capital-to-capabilities melalui program GEAR-uP di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Secara asasnya, pendekatan ini menekankan bahawa modal dan pelaburan perlu digunakan untuk membina keupayaan negara.

Ini termasuk memperkukuh sektor strategik, meningkatkan kemahiran tenaga kerja, memindahkan pengetahuan dan membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk naik ke rantaian nilai.

Dalam sektor automotif, matlamatnya bukan sekadar menghasilkan lebih banyak kenderaan. Ia juga berkaitan dengan keupayaan untuk menghasilkan produk dan perkhidmatan yang lebih kompleks, meningkatkan standard industri serta membina syarikat tempatan yang lebih berdaya saing.

Apa yang perlu diperhatikan selepas ini?

Perkembangan Inokom di Kulim menunjukkan bagaimana pelaburan automotif boleh dikaitkan dengan pekerjaan, vendor tempatan dan keupayaan industri.

Namun, untuk mengukur kejayaan pelaburan secara menyeluruh, beberapa indikator penting perlu dipantau dari semasa ke semasa:

  • Nilai tambah domestik: Berapa banyak nilai ekonomi yang benar-benar dihasilkan di Malaysia?
  • Kandungan tempatan: Berapa besar bahagian komponen dan perkhidmatan yang diperoleh daripada vendor tempatan?
  • Produktiviti pekerja: Adakah kemahiran dan produktiviti tenaga kerja meningkat?
  • Gaji dan kerjaya: Adakah pekerjaan yang diwujudkan menawarkan pendapatan serta laluan kerjaya yang lebih baik?
  • Keupayaan vendor: Adakah syarikat tempatan berjaya memasuki rantaian bekalan global?
  • Aktiviti bernilai tinggi: Adakah Malaysia semakin terlibat dalam kejuruteraan, pembangunan teknologi dan penyelidikan automotif?

Kesemua indikator ini membantu membezakan antara pelaburan yang sekadar menambah kapasiti pengeluaran dengan pelaburan yang turut membina asas ekonomi untuk jangka panjang.

Pelaburan bukan sekadar angka modal

Daripada fasiliti pemasangan Porsche di Kulim kepada vendor tempatan dan tenaga kerja Malaysia, kesan sesuatu pelaburan perlu dilihat secara lebih luas.

Jumlah unit yang dipasang, nilai pelaburan dan kadar eksport memang penting. Tetapi nilai strategiknya juga terletak pada keupayaan untuk membangunkan bakat, memperkukuh syarikat tempatan dan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global.

Kerana pada akhirnya, pelaburan yang memberi kesan jangka panjang bukan sekadar membina kilang. Ia membina kemahiran, syarikat, teknologi dan peluang ekonomi untuk generasi seterusnya.