AS Pulangkan RM721.4 Juta Berkaitan 1MDB Kepada Malaysia – Kedutaan

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) — Amerika Syarikat (AS) telah memulangkan kira-kira US$156 juta (RM721.4 juta) kepada kerajaan Malaysia yang juga transaksi keempat dana yang diperoleh semula hasil rampasan aset berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Perkara itu disahkan oleh Duta Besar AS ke Malaysia Edgard D. Kagan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Jun, 2024, dan dana itu telah dipulangkan susulan petisyen dikemukakan oleh kerajaan dan diluluskan oleh Jabatan Kehakiman AS.

Dalam satu kenyataan, kedutaan itu menyatakan menerusi pindahan dana itu, AS telah mendapatkan, dan membantu memperoleh semula serta memulangkan kira-kira US$1.4 bilion (RM6.6 bilion) dana yang diselewengkan dari Malaysia, setakat ini.  

“Kami gembira kerana tranche aset keempat daripada siasatan Jabatan Kehakiman ini dalam proses dipulangkan kepada Malaysia.

“Jumlah wang yang besar ini akan dikembalikan kepada rakyat Malaysia yang merupakan penerima sepatutnya dan akhirnya dapat dimanfaatkan bagi tujuan asal – demi meningkatkan kehidupan seharian rakyat Malaysia,” kata Edgard.

Menurut kedutaan AS, sebagaimana didakwa dalam aduan, pihak yang terbabit dalam penyelewengan itu yang turut merangkumi pegawai di 1MDB, saudara mara mereka serta rakan lain, telah menyeleweng dana 1MDB berjumlah melebihi US$4.5 bilion.

Perbuatan itu dilakukan menerusi beberapa siri transaksi yang kompleks dan penglibatan syarikat ‘shell’ mencurigakan atau hanya wujud di atas kertas dengan akaun bank di AS dan luar negara menggunakan dokumen serta representasi palsu.

“Kesemua transaksi ini didakwa bertujuan menyembunyikan sumber, asal serta pemilikan dana yang akhirnya melalui institusi kewangan AS dan kemudian diselewengkan bagi memperoleh selain melabur dalam aset di AS dan di luar negara,” katanya.

Kedutaan AS turut menegaskan bahawa kerajaan negara itu kekal komited dalam usaha mendapatkan semula dan memulangkan dana yang dicuri daripada 1MDB demi manfaat rakyat Malaysia.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

PTPTN salur RM285,500 Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI

TANJONG MALIM, 29 September 2026 — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM285,500 kepada 571 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata setiap pelajar menerima bantuan RM500 secara sekali bayar (one-off) dan tidak perlu dibayar balik, dengan bayaran dikreditkan ke akaun pelajar mulai 2 Oktober ini.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara usaha PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan supaya dapat meneruskan pengajian tanpa terlalu dibebani masalah kewangan.

“PTPTN berbesar hati untuk menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 571 pelajar UPSI yang melibatkan jumlah keseluruhan RM285,500.

“Setiap pelajar akan menerima RM500, tak perlu bayar balik. Ini yang kita berikan secara percuma dan secara one-off,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI, semalam.

Ahmad Dasuki berkata PTPTN memperuntukkan RM120 juta bagi inisiatif berkenaan, dengan kira-kira 5,000 pelajar telah diluluskan setakat ini, namun hanya 1,500 pelajar menerima manfaat tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pelajar yang memenuhi syarat, khususnya mereka yang merupakan anak penerima eKasih dan belum memohon pinjaman PTPTN, supaya mendapatkan maklumat lanjut dan memanfaatkan peluang berkenaan.

Beliau berkata PTPTN bukan sahaja berperanan menyediakan pinjaman pendidikan, malah turut memberi penekanan terhadap budaya menabung menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Beliau berharap Bantuan Lestari Siswa MADANI dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik selain meningkatkan taraf hidup keluarga dan memberi sumbangan kepada masyarakat.

“PTPTN tetap komited untuk memastikan agenda pendidikan negara terus dilaksanakan melalui pelbagai inisiatif yang sedang kita usahakan sekarang, selari dengan moto PTPTN, ‘Peluang Kejayaan Anda’,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata bantuan berkenaan amat bermakna kepada universiti memandangkan hampir 11,000 daripada kira-kira 30,578 pelajar UPSI merupakan golongan B40.

Beliau berkata perkara itu menggambarkan besarnya amanah dan tanggungjawab UPSI dalam memastikan kebajikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka sentiasa terpelihara.

“Agenda kebajikan mahasiswa bukan agenda sampingan. Ia merupakan satu agenda penting yang kita bawa untuk memastikan perjalanan pendidikan adik-adik menimba ilmu di Bumi Mualim ini sepanjang tiga, empat tahun terjaga,” katanya.

Hadir sama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed.

Gambar 1: Ahmad Dasuki (tiga dari kanan, atas) bergambar bersama para pelajar UPSI yang merupakan penerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 2: Ahmad Dasuki bergambar bersama para pelajar UPSI yang menerima Bantuan Lestari Siswa MADANI pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

Gambar 3: Ahmad Dasuki (empat dari kanan) ketika menyerahkan cek cura Bantuan Lestari Siswa Madani yang bernilai RM285,500 kepada Norkhalid (tiga dari kiri) pada majlis penyampaian Bantuan Lestari Siswa MADANI di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT UPSI