Pengeluaran Akaun 3 Tidak Pengaruhi Strategi Pelaburan KWSP – CEO

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) — Pengeluaran daripada Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan menjejaskan strategi pelaburan dana persaraan itu berikutan ia akan dilaksanakan dalam jumlah terkawal dan rangka kerja yang teratur, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Zulqarnain Onn.

Beliau berkata KWSP telah menjangkakan pengeluaran sehingga RM25 bilion daripada Akaun 3 pada tahun pertama, diikuti dengan anggaran RM5 bilion pada tahun seterusnya.

“Keseluruhan aset pelaburan KWSP berjumlah RM1.2 trilion. Oleh itu, pengeluaran ini sebenarnya boleh diurus, dapat diramalkan dan tidak membimbangkan,” katanya sambil memaklumkan langkah ini tidak seperti pengeluaran sebelum ini apabila ahli KWSP telah mengeluarkan RM145 bilion daripada dana itu.

Beliau berkata demikian semasa sesi perbincangan ‘Fireside Chat 2’, yang diadakan bersempena dengan Simposium Sasana 2024 anjuran Bank Negara Malaysia.

Sesi berkenaan yang menumpukan kepada aspek simpanan persaraan dikendalikan oleh Pengarah Kanan Ekonomi dan Kewangan di Pejabat Perdana Menteri Nurhisham Hussein.

KWSP dilaporkan telah meluluskan 3.04 juta permohonan untuk mengeluarkan sebanyak RM5.52 bilion daripada Akaun 3 setakat 22 Mei, mencetuskan kebimbangan mengenai potensi peralihan portfolio pelaburan dana itu kepada aset yang sangat cair untuk memudahkan pengeluaran.

Ini, seterusnya, akan memberi kesan kepada pulangan pelaburan dana memandangkan aset yang sangat cair seringkali menjana pulangan rendah.

Mengulas selanjutnya mengenai strategi pelaburan KWSP, Ahmad Zulqarnain berkata pengagihan semula aset berisiko rendah kepada aset berisiko tinggi akan berlaku dalam pasaran domestik, namun akan dilaksanakan secara berhemat.

“Infrastruktur dalam pasaran domestik (adalah sesuatu yang boleh kami lihat), dan kami optimis mengenai bagaimana perkara ini berkembang pada masa ini.

“Segmen tertentu seperti pusat data dan logistik perindustrian sebenarnya berada dalam fasa pertumbuhan kukuh dan meletakkan modal di sini akan memberikan anda jumlah (pulangan) yang lumayan, begitu juga dengan produk semikonduktor, elektrik dan elektronik,” katanya.

KWSP mencapai pertumbuhan sebanyak 4.2 peratus tahun ke tahun pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 dan mengekalkan prospek optimis terhadap ekonomi domestik dan global.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Jimat Berlebihan Boleh Melumpuhkan Ekonomi Negara

Dalam ilmu kewangan, kita sering ditekankan dengan pesanan supaya menyimpan wang untuk kegunaan masa hadapan. Pesanan itu tidak salah sama sekali. Namun, dari sudut ekonomi makro, wujud satu fenomena yang dipanggil sebagai ‘Paradox of Thrift’. Jika semua orang, terutamanya mereka yang masih mempunyai pendapatan stabil memutuskan untuk berhenti berbelanja secara drastik, ekonomi tidak akan menjadi lebih kukuh. Sebaliknya, ia akan menjadi lumpuh!

Suntikan tunai daripada perbelanjaan anda sebenarnya adalah minyak pelincir yang menggerakkan enjin ekonomi negara. Jika pendapatan anda tidak terjejas, berikut adalah tiga perkara yang anda perlu teruskan demi kelangsungan ekonomi komuniti.

1. Terus Makan Di Restoran Seperti Biasa

Apabila anda melangkah masuk ke dalam restoran dan memesan sepinggan nasi atau secawan sirap limau, wang tersebut tidak hanya terhenti di tangan pemilik kedai. Ia sebenarnya memulakan satu rantaian ekonomi yang sangat luas.

Sebagai contoh, bayangkan anda membayar RM20 untuk makan tengah hari. Wang itu akan digunakan oleh pemilik restoran untuk membayar bil elektrik kedai, sewa premis dan yang paling penting adalah gaji para pekerja. Pekerja tersebut pula akan menggunakan gaji mereka untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya. Selain itu, pemilik restoran juga perlu membayar pembekal ayam, sayur dan beras di pasar borong.

Jika anda dan ramai lagi orang lain berhenti makan di situ, rantaian ini akan putus. Pembekal sayur akan kehilangan pembeli dan pekerja restoran mungkin kehilangan pekerjaan. Ekonomi adalah satu kitaran yang saling berkait.

2. Terus Membeli Di Gerai Tepi Jalan

Peniaga marhaen atau peniaga kecil biasanya tidak mempunyai simpanan tunai yang besar seperti syarikat korporat. Mereka sangat bergantung kepada aliran tunai harian untuk meneruskan hidup.

Ambil contoh seorang peniaga goreng pisang di simpang jalan. Pelanggan utama mereka mungkin terdiri daripada pekerja pejabat di kawasan sekitar yang masih mempunyai gaji tetap. Jika semua pelanggan ini memutuskan untuk berhenti membeli kerana terlalu panik, jualan peniaga tersebut akan jatuh menjunam.

Kesannya, peniaga kecil ini tidak lagi mampu untuk membeli bahan mentah daripada pembekal lain atau membayar keperluan sekolah anak-anak mereka. Apabila peniaga kecil tidak mempunyai kuasa beli, ekonomi di peringkat akar umbi akan mula mati secara perlahan lahan.

3. Terus Gunakan Perkhidmatan Penghantaran Makanan

Mungkin ada yang berasa bersalah untuk memesan makanan melalui aplikasi seperti Grab atau Foodpanda kerana dianggap membazir kos penghantaran. Namun, sedarilah bahawa dalam situasi ekonomi yang mencabar, sektor ekonomi gig adalah penyelamat utama bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan tetap.

Misalnya, anda memesan makanan secara segera kerana tidak sempat memasak atau ada urusan penting. Wang yang anda belanjakan itu bukan sahaja memberi keuntungan kepada vendor makanan, tetapi ia memberikan pendapatan langsung kepada rider yang menghantarnya.

Bagi anda, caj penghantaran mungkin sekadar beberapa ringgit sahaja. Tetapi bagi seorang rider, itulah modal untuk mereka mengisi minyak motosikal dan menyediakan makanan di atas meja untuk keluarga mereka. Dengan terus membuat pesanan, anda sedang memastikan ekosistem logistik ini terus bernafas.

Berjimat Biar Bertempat

Kita perlu bijak membezakan antara amalan berjimat dengan tindakan berhenti berbelanja. Berjimat bermaksud anda mengurangkan pembelian barangan mewah yang tidak perlu seperti gajet terbaharu atau barangan berjenama.

Memang benar, mengurangkan pembelian gajet atau barangan mewah mungkin menjejaskan pekerja di sektor tersebut. Namun, dalam fasa menghadapi krisis, keutamaan kita adalah pada keperluan asas dan ekonomi tempatan.

Wang yang dibelanjakan di gerai nasi lemak atau restoran tempatan berpusing lebih cepat dalam komuniti setempat berbanding pembelian barangan import yang keuntungannya akan mengalir ke luar negara. Pekerja kedai gajet mungkin terkesan, namun kerosakan ekonomi adalah jauh lebih parah jika peniaga makanan dan pembekal bahan mentah (nadi utama rakyat) yang tumbang dahulu.

Jika anda masih mempunyai slip gaji yang stabil dan aliran tunai yang sihat, jadilah wira ekonomi yang tidak didendang. Teruskan menyokong peniaga marhaen di sekeliling anda.