Pelaburan Rintis NETR Dianggar Cecah RM60.7 Bilion, Melebihi Sasaran Awal RM25 Bilion – Hanifah Hajar 

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) — Komitmen pelaburan rintis perdana (flagship) di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dianggar mencecah RM60.7 bilion berbanding sasaran awal RM25 bilion, kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib. 

Beliau berkata ia adalah berdasarkan kepada tahap pelaksanaan 10 projek dan inisiatif rintis perdana yang berdasarkan enam pemacu peralihan tenaga yang telah diperkenalkan.

“Dengan tahap pelaksanaan projek dan inisiatif rintis perdana tersebut, kerajaan turut menganggarkan peningkatan peluang pekerjaan sebanyak 84,544 berbanding sasaran awal 23,000.

“Serta, pengurangan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 24,264 gigagram karbon dioksida setara setiap tahun berbanding sasaran awal 10,000 gigagram karbon dioksida setara setiap tahun,” kata Hanifah Hajar pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini. 

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) yang ingin mengetahui tentang status terkini NETR Fasa Pertama dalam memenuhi sasaran pelepasan sifar karbon bersih termasuk jumlah pelaburan yang dikenal pasti serta bilangan peluang pekerjaan dijana sehingga kini. 

Menurutnya, 10 projek dan inisiatif flagship berdasarkan enam pemacu peralihan tenaga tersebut melibatkan kecekapan tenaga (satu projek flagship); tenaga boleh baharu (tiga projek flagship); hidrogen (dua projek flagship); biotenaga (satu projek flagship); mobiliti hijau (dua projek flagship) dan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) (satu projek flagship). 

“Setiap projek dan inisiatif ini mempunyai tahap kematangan yang berbeza dan kebanyakan masih di peringkat prapelaksanaan dan ikut jadual,” katanya. 

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Sedang Kaji Perluas Guna QR SARA Ke Pasar Tamu, Pasar Tani –  MOF

KUALA LUMPUR — Kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pembayaran kod respons pantas (QR) di Pasar Tamu dan Pasar Tani dan keputusan mengenainya dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2027 jika didapati mampan.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kerajaan telah meningkatkan penglibatan kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA kepada lebih 6,000 premis.

Selain itu, jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA telah mencecah lebih 13,700 kedai di seluruh negara setakat 15 Julai 2026 berbanding 700 buah kedai pada 2024 manakala terdapat 140,000 produk atau barangan yang boleh diperolehi di bawah pelaksanaan SARA.

“Sekiranya Rakan Niaga SARA berkenaan turut terlibat sebagai peniaga di Pasar Tamu/Pasar Tani, penerima SARA boleh menggunakan kredit SARA berkenaan bagi pembelian kategori barangan SARA sahaja.

“Namun, bagi keseluruhan penggunaan SARA melalui kaedah pembayaran kod QR di Pasar Tamu/Pasar Tani, ianya masih dalam peringkat kajian dan penelitian oleh kerajaan. Sekiranya didapati mampan, ini akan diumumkan dalam Belanjawan 2027 kelak,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Senator Larry Anak Asap mengenai peluasan skop perbelanjaan SARA di pasar tamu bagi memberikan manfaat kepada golongan penjaja dan peniaga kecil.

— Bernama