GIP Dipilih Susulan Setuju Kekal Lantik Rakyat Malaysia Sebagai Pengerusi, CEO MAHB – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) — Global Infrastructure Partners (GIP) dipilih berikutan persetujuan syarikat itu untuk mengekalkan pelantikan warganegara Malaysia sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dan pemilikan kolektif saham majoriti milik negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, selain GIP, pihak lain tidak bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut Anwar, Khazanah dan KWSP menetapkan syarat ketat yang akan menyaksikan pemilikan kolektif Malaysia dalam MAHB meningkat kepada 70 peratus berbanding 41 peratus pada masa ini sebaik sahaja penstrukturan pengendali lapangan terbang itu selesai.

“Khazanah melaporkan bahawa, apabila dibuka untuk pertimbangan pengurusan, 145 syarikat yang berminat dan akhirnya lima yang layak. 

“Syarikat lain yang berminat, ia mahu hak mengurus. Maknanya CEO rakyatnya atau ia yang tentukan. Syarat ini tidak diterima (oleh Khazanah dan KWSP). Itulah sebabnya mengapa GIP diambil,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang ingin tahu mengenai merit pemilihan GIP dalam membantu pengembangan MAHB.

Terdahulu, menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin tahu mengenai keputusan penjualan saham MAHB kepada GIP, Anwar berkata soal penjualan itu tidak berbangkit memandangkan pemilikan majoriti saham kekal milik pemain negara.

“Ini berbeza dengan naratif di luar. Naratif di luar seolah-olah penjualan tetapi tidak. Selama ini, syarikat asing memiliki sekitar 27 peratus dan inilah yang diambil alih oleh GIP dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA).

“Apakah kita ada penjualan melibatkan lapangan terbang? Tidak. Ini hanya melibatkan pengurusan dan MAHB hanya syarikat yang menguruskan lapangan terbang. Lapangan terbang kekal milik kerajaan Malaysia,” kata Anwar.

Beliau juga melihat terdapat keperluan mendesak kepada pelaburan besar berjumlah RM10 bilion hasil daripada pengambilalihan saham bagi pengembangan MAHB.

Ini juga membolehkan Khazanah dan KWSP melabur dananya dalam sektor kritikal lain yang memerlukan penekanan.

GIP juga telah bekerjasama KWSP dan syarikat-syarikat Malaysia yang lain sejak 2012.

GIP membawa pengalaman selama beberapa dekad dalam menguruskan dan mengoperasikan lapangan terbang menerusi pelaburannya di Lapangan Terbang Sydney, Lapangan Terbang London Gatwick, Lapangan Terbang Edinburgh, Signature Aviation dan sebelum ini, Lapangan Terbang London City.

Blackrock pula mempunyai kepentingan dalam saham Bursa Malaysia bernilai RM24.7 bilion serta RM7.9 bilion dalam bon kerajaan dan korporat di Malaysia.

— BERNAMA

Previous ArticleNext Article

FCPO: Kembali Ke Fasa Pengukuhan

  • Kekalkan pegangan jualan

FCPO ini menurun MYR9 semasa sesi dagangan lalu untuk ditutup pada harga MYR4,597. Pada hari Jumaat, komoditi ini memulakan dagangan pada paras MYR4,604. Pada awalnya, ia jatuh ke paras terendah sesi tersebut pada MYR4,575. Ia kemudiannya melantun ke paras tertinggi sesi tersebut pada MYR4,608 dan menutup dagangan pada MYR4,597. Di samping pergerakan RSI ke bawah, penutupan dagangan terkini yang menurun menunjukkan momentum menurun kembali menguat.

Komoditi ini mungkin akan melanjutkan fasa koreksi harga dan menguji paras sokongan semula pada MYR4,390. Sementara itu, garisan SMA 50 hari masih bergerak ke paras lebih rendah, lantas mengukuhkan keadaan pasaran menurun. Sekiranya komoditi ini mencatat pergerakan menaik, paras MYR4,700 akan menahan harga daripada menembusi paras berkenaan. Selagi FCPO terus berada di bawah paras ambang MYR4,700, kami tetap akan berpegang pada bias dagangan negatif.

Para pedagang disarankan untuk terus mengekalkan pegangan jualan yang dimulakan pada penutupan 12 Mei (MYR4,481). Untuk menangani risiko-risiko dagangan yang ada, paras ambang henti rugi ditetapkan pada MYR4,700.

Paras sokongan pertama kini berada pada MYR4,390 dan diikuti oleh paras sokongan lebih rendah pada MYR4,250. Paras rintangan pertama pula ialah MYR4,700 yang diikuti oleh paras MYR4,900.